Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlbum ‘Orale’ buka ruang Pat Machima teroka warna baharu dalam muzik
Berani teroka rentak ‘reggaeton’, ‘dugem’, selain tampilkan rangkaian lagu duet bersama penggiat seni tempatan
Album ‘Orale’ buka ruang Pat Machima teroka warna baharu dalam muzik
Selepas beberapa kali tampil dengan lagu sendiri, keinginan menghasilkan karya yang lebih menyeluruh akhirnya mendorong penyanyi rap setempat, Pat Machima, atau nama sebenarnya Mohammad Al-Hafizd Safiee, melangkah ke fasa baharu menerusi pembikinan album sulung.
Album berjudul Orale, yang dihasilkan bersama pemuzik dan pencipta lagu tempatan, Amyr Abadawn, 43 tahun, itu dibangunkan hampir sepenuhnya daripada idea baharu, sekali gus menjadi ruang buat Pat, 42 tahun, keluar daripada zon selesa.
“Sebelum ini, saya sudah menghasilkan beberapa lagu bersama Amyr.
“Apabila sudah lama keluarkan lagu, Amyr mencadangkan supaya kami tidak lagi sekadar menghasilkan lagu secara satu per satu, sebaliknya mengumpulkan idea yang ada untuk dijadikan album penuh.
“Bagi saya, album ini memberi ruang untuk saya meluahkan kreativiti dengan lebih luas. Pada masa sama, ramai rakan dan pendengar setia sering bertanya, ‘Bila saya mahu menghasilkan album penuh?’
“Jadi, saya anggap album ini juga sebagai buah tangan buat mereka. Selain itu, Amyr memberi saya kebebasan menentukan genre, rentak dan konsep setiap lagu, sekali gus membuka ruang untuk saya meneroka pelbagai idea.
“Biasanya saya akan ‘humming’ (senandung) melodi terlebih dahulu sebelum Amyr mengolah dan menyusunnya menjadi lagu.
“Selepas itu, barulah saya menulis lirik mengikut jiwa lagu tersebut,” katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia seni tempatan sejak 2002, kepada Berita Harian (BH) menerusi Zoom baru-baru ini.
Selain itu, Orale turut menjadi wadah kerjasama Pat bersama barisan pemuzik dan penggiat seni tempatan menerusi beberapa lagu duet.
Antaranya, Jauh, yang menampilkan Syed Mahdzar daripada kumpulan Ground Nation, Kelentong bersama kumpulan D’fusion, dan Apa Kau Nak? bersama Zul Mystroe.
Turut melengkapi rangkaian kerjasama itu ialah Ego bersama Far Puisi, atau lebih dikenali sebagai Far Anwar, penyiar radio Mediacorp Ria 897 bagi program MJ12.
Manakala, penyanyi setempat, Maya Aira pula tampil menerusi dua lagu, Suspicious dan Lupa.
Tidak mahu terikat dengan satu acuan muzik sahaja, Orale turut menjadi ruang buatnya meneroka sisi berbeza sebagai pemuzik dengan menggabungkan unsur seperti ‘reggaeton’ dan rentak ‘dugem’.
‘Dugem’ ialah slanga Indonesia bagi dunia gemerlap, yang merujuk kepada muzik tari rancak dalam suasana kelab malam.
Menurut Pat, kepelbagaian itu sudah menjadi antara perkara yang dibincangkan bersama Amyr sejak awal pembikinan album kerana mereka tidak mahu setiap lagu hanya berlegar dalam genre hip-hop dan rap.
“Sejak awal, saya dan Amyr memang berbincang bahawa kami tidak mahu album ini hanya tertumpu kepada hip-hop atau rap semata-mata.
“Jadi, pendengar akan dapat mendengar beberapa warna muzik berbeza. Malah, ada lagu yang boleh dikatakan agak berani buat kami kerana menggunakan rentak ‘dugem’.
“Saya sendiri tidak pernah membawakan muzik ‘dugem’ sebelum ini. Tetapi Amyr mencadangkan, apa salahnya kami mencuba sesuatu yang berbeza?” ujarnya.
Pemilihan kata ‘Orale’ sebagai judul album pula bukan dibuat secara sembarangan.
Istilah slanga Mexico yang membawa maksud ‘hebat’ atau ‘terbaik’ itu bukan sahaja diselitkan dalam kesemua 12 lagu sebagai identiti album, malah sering dilaungkan Pat ketika membuat persembahan bagi membangkitkan semangat penonton.
Di sebalik kepelbagaian rentak yang diketengahkan, Pat berkata album Orale banyak berkisarkan realiti kehidupan harian dengan menyentuh tema kekeluargaan, percintaan, semangat untuk tidak mudah berputus asa serta keharmonian dalam masyarakat.
Album itu turut membawa pesanan berbentuk peringatan mengenai isu sosial seperti buli siber, penipuan dalam talian dan sikap terlalu mementingkan ego.
“Saya mahu lagu-lagu ini dekat dengan kehidupan seharian supaya pendengar daripada pelbagai latar belakang boleh mengaitkannya dengan pengalaman mereka sendiri,” ujar Pat.
Album Orale kini boleh didengar di seluruh wadah digital.
