Topik diikuti
Pergi ke BHkuEka Mairina lebih berdebar lihat anak sulung bertanding dalam ‘Anugerah 2026’
Selain turun padang sokong Chariska Diva Anugrah kejar impian seni, juara ‘Anugerah 2003’ buka gerai makanan Indo di NYP
Eka Mairina lebih berdebar lihat anak sulung bertanding dalam ‘Anugerah 2026’
Penyanyi tempatan, Eka Mairina, pernah melalui sendiri tekanan dan debaran di pentas adu bakat tempatan, Anugerah, sehingga muncul juara pada 2003.
Lebih dua dekad kemudian, penyanyi tempatan, Eka Mairina, kembali dihimpit rasa gementar.
Namun begitu, kali ini dalam keadaan yang cukup berbeza.
Anak sulungnya, Chariska Diva Anugrah, 22 tahun, kini menyambung jejak yang pernah dilaluinya apabila menyertai Anugerah 2026, membuatkan Eka, 48 tahun, rasa pengalaman menyaksikan anak sendiri bertanding jauh lebih mendebarkan.
“Pada awalnya, dia (Chariska) takut untuk menyertai Anugerah.
“Saya yang sedikit sebanyak mendorongnya untuk mencuba.
“Malah, sebulan selepas diingatkan, dia masih belum menghantar rakaman uji bakat.
“Sampai saya tanya dia, ‘Kakak (panggilan buat Chariska), kamu betul-betul suka menyanyi atau tidak? Kalau sekadar suka menyanyi tetapi tak mahu mencuba, sampai bila-bila pun kita tak akan tahu sejauh mana kemampuan kita.
“Kemudian, dia meluahkan kepada bapanya dia belum bersedia kerana bimbang penyertaannya akan dikaitkan dengan nama saya.
“Saya faham kebimbangan itu, tetapi kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada bercakap atau membuat perbandingan.
“Orang memang akan sentiasa membandingkan.
“Walau macam mana dia cuba mengelak, perbandingan itu tetap ada.
“Maka itu, saya berpesan dia perlu membuktikan kemampuan dan membina identitinya sendiri,” kata Eka kepada Berita Minggu (BM) dalam satu sesi wawancara menerusi Zoom, baru-baru ini.
Tegas mendidik, mahu anak manfaatkan usia muda
Malah, menyifatkan dirinya sebagai ibu yang tegas dan sentiasa bersedia memberi sokongan, Eka turut menemani Chariska ke sesi uji bakat di Taman Warisan Melayu (MHC), pada Jun lalu.
“Waktu itu, saya agak berbelah bahagi sama ada mahu menunggu di dalam kereta atau turun menyaksikan persembahannya.
“Tetapi, sebagai ibu, tetap juga mahu ambil tahu. Sekurang-kurangnya kalau dia tersalah pilih lagu, bolehlah saya tegur!
“Apabila masuk ke dalam dewan, saya mula rasa gementar.
“Ketika saya sendiri bertanding dahulu pun ada rasa gementar, tetapi tak adalah sehebat menunggu giliran Chariska menyanyi.
“Tidak sangka pula dia berjaya mara ke pusingan seterusnya,” ujarnya.
Chariska merupakan antara 14 peserta terpilih yang berjaya melangkah ke pentas Anugerah 2026, yang mula bersiaran di saluran Mediacorp Suria pada 25 Ogos lalu.
Tampil dengan gaya genit, bertenaga dan diserikan gerak tari, mahasiswi jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu membawakan lagu Gatal, nyanyian asal Janna Nick.
Eka turut memeriahkan persembahan pembukaan minggu pertama Anugerah 2026 menerusi lagu Satu Suara (Iman’s League), bersama barisan alumni Anugerah lain seperti Sarah Aqilah, Hyrul Anuar, Iskandar Ismail dan Abdul Thaqif Bani, yang juga vokalis utama kumpulan berbilang kaum, O.M.A.
Dalam soal mendidik anak pula, Eka banyak mengambil inspirasi daripada pendekatan ibu bapanya yang sentiasa memberi ruang kepadanya meneroka bakat dan mengisi masa dengan kegiatan bermanfaat sejak usia muda.
“Sejak di bangku sekolah, hampir setiap minggu saya ada persembahan.
“Ibu saya juga tidak pernah jemu mendaftarkan saya dalam pelbagai pertandingan nyanyian sehingga berjaya mengumpul lebih 100 piala.
“Walaupun ibu bapa tidak pernah mendorong saya untuk menjadi penyanyi, mereka sentiasa memberi peluang kepada saya meneroka pelbagai kegiatan yang bermanfaat.
“Itulah yang saya pelajari dan prinsip sama saya terapkan kepada anak-anak.
“Bagi saya, usia muda tidak akan datang dua kali.
“Sebab itu, saya mahu mereka menggunakan waktu sebaik mungkin dan meneroka pelbagai kemahiran.
“Chariska sendiri saya dedahkan kepada pelbagai kegiatan sejak kecil, termasuk kelas piano.
“Saya memang tidak suka melihat anak-anak hanya bermalas-malasan di rumah,” katanya yang mempunyai dua lagi orang anak berusia, 13 dan 17 tahun.
Ceburi dunia kulinari, buka gerai makanan di Politeknik Nanyang (NYP)
Bakat Eka ternyata tidak hanya terbatas dalam bidang nyanyian.
Beliau turut menyerlah di dapur apabila pernah menempatkan diri dalam kalangan 12 peserta terbaik rancangan, MasterChef Singapore, pada 2022.
Minat terhadap dunia kulinari itu kini dibawa selangkah lebih jauh menerusi pembukaan gerai, My Indo Cook, di Politeknik Nanyang (NYP) baru-baru ini, yang mengetengahkan masakan Indonesia menerusi hidangan seperti nasi uduk.
Dengan lembaran baharu ini, Eka justeru memilih untuk memperlahankan langkah dalam kerjaya nyanyian.
Ini bagi memberi ruang kepada Chariska membina nama dan identitinya sendiri dalam industri seni.
Dalam pada itu, Eka turut berharap dapat membuka jalan buat puterinya mengembangkan bakat ke Indonesia, termasuk mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian di negara berkenaan sekiranya berpeluang.
“Sebenarnya, itu memang antara perancangan kami sekiranya ada rezeki dan peluang.
“Chariska masih muda dan saya tidak mahu suatu hari nanti, dia ada penyesalan sama seperti saya.
“Dahulu, saya tidak berpeluang melebarkan sayap ke Malaysia atau kembali ke Indonesia, kerana ketika itu, saya sibuk membesarkan Chariska.
“Jadi, saya selalu berpesan kepadanya, selagi masih muda dan belum mempunyai komitmen, lebarkan sayap dan jangan hanya berhenti di pasaran atau industri seni Singapura sahaja.
“Kalau ada persamaan antara saya dengan Chariska, kami sama-sama tidak mudah menyerah dan sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam hidup,” kata Eka.
