Hampir kehilangan ibu yang rebah ketika menjalani rawatan fisioterapi menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan bakat muda, Azeva.

Detik mencemaskan pada September 2025, apabila ibunya yang juga penerbit terkenal, Datuk A. Aida, 56 tahun, terpaksa dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU), membuatkan Azeva mula melihat kehidupan daripada perspektif berbeza.

Bagi Azeva, atau nama sebenarnya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25 tahun, pengalaman itu bukan sahaja membuatkannya lebih menghargai keluarga, malah mendorongnya bermuhasabah dan memperbaiki diri sedikit demi sedikit.

“Ketika belajar di Australia dahulu selama setahun, saya banyak terdedah kepada budaya dan cara hidup yang berbeza.

“Cara pemakaian saya ketika itu juga agak terbuka kerana banyak dipengaruhi persekitaran dan rakan-rakan.

“Tetapi, apabila Mama (panggilan buat A. Aida) dimasukkan ke ICU, saya dan keluarga berdepan antara cabaran paling besar dalam hidup kerana ketika itu, kami hampir kehilangannya.

“Saya banyak berdoa dan dalam masa sama, mula bermuhasabah serta melihat kembali kekurangan dalam diri.

“Saya terfikir, apabila meminta dan berdoa kepada Allah, saya sendiri juga perlu berusaha memperbaiki perkara yang dirasakan masih kurang dalam diri.

“Sejak itu, saya mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan, termasuk dalam soal pakaian,” katanya kepada Berita Minggu (BM) selepas persembahan sulungnya di Singapura, baru-baru ini.

Wawancara itu diadakan di kafe Big Mouth Bakehouse, yang terletak di Wisma Geylang Serai (WGS), sempena bazar Geylang Serai Extravaganza, yang berlangsung antara 6 dengan 10 Ogos.

Azeva hadir bersama A. Aida, atas undangan pelakon Malaysia, Lana Nodin, yang sudah sembilan tahun meniaga dalam bazar di Singapura.

Kunjungan itu juga menjadi persembahan pertama Azeva di Singapura sejak meraih tempat keempat dalam program realiti Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Jika sebelum ini namanya lebih dikenali menerusi dunia lakonan, TTMM2 membuka lembaran baharu buat Azeva apabila bakatnya dalam bidang lain mula mendapat perhatian.

Lebih daripada sekadar memperluaskan ruang dalam kerjaya seni, pertandingan itu turut membantu Azeva membina keyakinan diri dan keberanian untuk bergaul dengan orang ramai.

“Selepas menyertai TTMM2, saya sedar saya menjadi lebih berani, yakin dan selesa bergaul dengan orang ramai.

“Sebelum ini, saya memang ada ‘social anxiety’ atau keresahan sosial, jadi saya agak takut untuk keluar dan berjumpa orang.

“Sejak menyertai TTMM2, Alhamdulillah, hidup saya semakin ceria.

“Saya mula keluar, bergaul dan mempunyai kawan baharu seperti Cik B, Viviana, Hussain dan ramai lagi.

“Bukan sahaja peserta lain menjadi kawan rapat, malah ibu bapa mereka juga sudah saya anggap seperti keluarga sendiri.

“Kini, saya rasa seperti mempunyai keluarga, ibu bapa dan lingkungan baharu yang sangat positif,” ujar siswazah dalam bidang perakaunan daripada Universiti Victoria, Melbourne, Australia, itu.

TTMM2 turut membawa makna tersendiri buat Azeva apabila pertandingan itu secara tidak langsung mengeratkan hubungannya dengan bapanya iaitu vokalis kumpulan Spring, Ameng, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 57 tahun.

Keakraban bapa dan anak itu semakin terserlah selepas pertandingan apabila mereka lebih kerap meluangkan masa bersama, termasuk muncul dalam sesi siaran langsung di TikTok.

Malah, pada minggu pertama TTMM2, Azeva mencipta detik istimewa apabila buat julung-julung kalinya bergandingan dengan bapanya di atas pentas menerusi lagu, Sejiwa.

“Memang TTMM2 banyak merapatkan hubungan kami kerana sebelum ini, kami tidak pernah menyanyi bersama di atas pentas.

“Kalau menyanyi bersama pun, rasanya hanya sekali sahaja… itu pun ketika majlis perkahwinan kakak saya beberapa tahun lalu.

“Sepanjang pertandingan itu, Papa (panggilan buat Ameng) juga semakin kerap menghubungi saya untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar, terutama mengenai nyanyian berdasarkan pengalamannya sendiri dalam industri.

“Malah, ketika TTMM2, Mama dan Papa turut bekerjasama buat kali pertama.

“Alhamdulillah, saya rasa pertandingan itu bukan sahaja merapatkan hubungan saya dengan Papa, malah turut menyatukan kembali silaturahim keluarga.

“Selepas itu, saya dan Papa juga semakin kerap meluangkan masa bersama, termasuk membuat kandungan TikTok dan sesi siaran langsung,” ujarnya.

Selepas TTMM2, langkah Azeva dalam dunia seni semakin melebar apabila tidak lagi terhad kepada lakonan dan nyanyian.

Beliau diberi kepercayaan mencuba bidang pengacaraan menerusi program realiti Astro, Big Stage X Rocketfuel, yang melabuhkan tirainya pada 16 Ogos lalu.

Pelakon drama, Bukan Hanya Sekadar Cinta itu, turut digandingkan bersama pengacara berpengalaman, Nabil Ahmad.

“Alhamdulillah, walaupun itu pengalaman pertama saya sebagai pengacara, semuanya dipermudahkan kerana saya sudah selesa dengan kru penerbitan sejak TTMM2 lagi.

“Sebelum itu, saya juga sudah terlebih dahulu mengenali Abang Nabil.

“Bagaimanapun, tekanan mengacara berbeza dengan menyanyi kerana saya lebih bebas menjadi diri sendiri dan menikmati suasana di atas pentas.

“Memang adakalanya saya terlalu memikirkan sama ada tersalah cakap atau melakukan kesilapan.

“Tetapi saya redah sahaja dan cuba buat yang terbaik.

“Bila ada teguran, saya terima secara positif dan jadikannya ruang untuk memperbaiki diri,” ceritanya, yang bakal membuat penampilan sulung di layar perak menerusi filem, Bisikan Nafsu.

Filem arahan Riza Baharudin itu dijadual menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 1 Oktober.

Bukan sekadar berlakon, Azeva turut menyanyikan lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan, Tanpa Rasa Jemu, yang bakal dilancarkan pada 4 September di seluruh wadah digital.