Usah sesekali memandang rendah bakat tempatan.

Meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk membahagikan masa antara pekerjaan dengan persekolahan, ia tidak mematahkan semangat 14 peserta terbaik pertandingan realiti tempatan, Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria, untuk terus mengejar impian dalam bidang seni.

Setelah lima tahun menyepi daripada kaca televisyen, program itu kini kembali dengan nafas baharu, antaranya dengan menampilkan ikon televisyen, Najip Ali dan penyanyi, Sezairi, sebagai juri tetap.

Alumni Anugerah 2001 yang juga Juara Gegar Vaganza 12, Iskandar Ismail, turut diundang sebagai juri jemputan bagi pusingan pertama yang disiarkan di Mediacorp Suria pada 25 Ogos lalu.

Setiap peserta juga dinilai berdasarkan teknik suara, penghayatan dan penyampaian lagu serta faktor ‘X’ atau keunikan persembahan.

Namun begitu, apa yang lebih menarik perhatian saya pada malam pembukaan bukan sekadar kembalinya Anugerah selepas lima tahun, malah keberanian 14 pesertanya berdiri di pentas dengan jati diri dan kemampuan yang cukup pelbagai.

Harus diakui, sebagai persembahan pertama dengan tema MY FYP (lagu hit yang memberikan gambaran tentang cita rasa muzik dan identiti peserta), belum semuanya berada pada tahap yang meyakinkan.

Ada yang masih bergelut dengan kawalan vokal, pemilihan nada yang tepat dalam persembahan lagu serta keyakinan diri di atas pentas.

Bagaimanapun, antara peserta yang memperlihatkan penguasaan teknik vokal yang baik ialah Izzan Adlan, 24 tahun, yang tampil meyakinkan menerusi lagu rok, Kamelia, nyanyian asal kumpulan Sweet Charity.

Dengan suara yang bulat dan lantang, disertai kawalan vokal serta permainan dinamik suara yang baik, Izzan jelas memperlihatkan potensi yang membuatkan saya menantikan persembahan seterusnya.

Namun, selepas membawakan lagu Mangu (Fourtwnty), pada pusingan saringan Top 40 Showcase – The Cut, saya berharap Izzan dapat keluar daripada zon selesa dengan mencuba lagu lebih rancak.

Apatah lagi beliau dikatakan boleh memetik gitar.

Jadi, apa salahnya jika Izzan turut menyerlahkan sisi berbeza di pentas dengan mengetengahkan kebolehannya bermain gitar?

Ibu dua anak, Nada Fitri, 25 tahun, pula ibarat ‘kecil-kecil cili padi’.

Menerusi persembahan lagu, Menjaga Jodoh Orang Lain (Ara Johari), Nada, yang pernah mencuba nasib dalam program adu bakat Indonesia, Dangdut Academy, pada 2017, menonjolkan kekuatan vokal dengan kawalan suara serta penghayatan emosi yang seimbang.

Saya juga suka gaya Nada yang perlahan-lahan mendekatkan mikrofon ke mulut, gerakan kecil yang secara tidak langsung membina unsur dramatik dalam persembahannya.

Selain Nada, Farras Qushayyi, 28 tahun, juga bukan calang-calang peserta.

Pernah menyertai beberapa pertandingan di Indonesia termasuk Bintang Radio Indonesia, Farras memiliki warna suara yang cenderung lembut, sesuai dengan cita rasa pendengar generasi kini.

Saya juga suka sentuhan rebana yang diselitkan dalam lagu, Di Matamu (Sufian Suhaimi), yang berjaya memberi kelainan pada lagu balada terkenal itu.

Saya sepakat dengan pandangan Najip yang berkata: “Suara awak sangat ‘current’ untuk seorang (penyanyi) lelaki, tetapi lagu ini belum cukup menyerlahkan kehebatan suara awak.”

Bagi saya, pemilihan lagu memainkan peranan besar dalam pertandingan sebegini kerana ia perlu menyerlahkan identiti dan kekuatan sebenar peserta, bukan sekadar selesa untuk dinyanyikan.

Tahniah Shahar, 24 tahun, yang merupakan penuntut Diploma dalam Muzik di Maktab Seni Lasalle, misalnya mempunyai warna vokal unik yang cukup serasi dengan alunan jaz dan rentak santai dalam lagu yang dibawakan berjudul, Senja (Khodi).

Sayang seribu kali sayang, rasa gementar sedikit mengganggu persembahannya apabila beberapa nada kedengaran tersasar dan tidak begitu kemas.

Perkara sama dirasakan pada peserta, Syafiqah Aziz, 29 tahun, yang bertugas sebagai guru menerusi lagu, Break (Misha Omar).

Warna suaranya pada nada rendah sebenarnya cukup menarik, namun persembahan masih boleh diperkemaskan lagi, terutama apabila beberapa ‘riffs and runs’ (hiasan dan larian vokal) kedengaran kurang tepat pada beberapa bait lirik.

Saya faham, ini baru minggu pertama dan rasa gementar itu lumrah.

Namun begitu, apa yang saya harapkan selepas ini bukan sahaja peningkatan persembahan daripada peserta, malah komen juri yang lebih membina dari sudut teknikal persembahan sebagai penambahbaikan.

Sebagaimana yang sempat dikongsikan penyanyi tempatan, Rahila Rashun, di Instagram Story:

“Komen terlalu baik hingga tidak tahu di mana silapnya. Bagaimana mahu memperbaiki diri?

“Tapi saya faham, mungkin perlu sentiasa kekal positif.”

Barangkali ada benarnya pandangan itu.

Bukan soal mahu mendengar komen ‘pedas’, sebaliknya teguran yang lebih jelas dan membina akan membantu peserta faham apa yang perlu diperbaiki dalam persembahan seterusnya.

Sebagai contoh, ulasan lebih teknikal mengenai ketepatan nada, pernafasan tepat, artikulasi, pemilihan lagu mahupun persembahan pentas tentunya dapat membantu mereka berkembang sepanjang pertandingan.

Dari sudut penyampaian rancangan pula, episod pertama masih terasa sedikit kekok dengan beberapa kegenjotan yang ketara.

Gandingan pengacara, Fadli Kamsani dan Lydia Asyiqin, juga belum cukup ‘menjadi’, dengan gurauan yang boleh diperbaiki dan kadangkala kelihatan janggal.

Mungkin semuanya masih lagi dalam fasa ‘memanaskan enjin’.

Keputusan tanpa penyingkiran pada minggu pertama juga agak mudah dijangka.

Tetapi, lebih membimbangkan adalah apabila peserta yang menyerlah dari segi vokal berada di kedudukan tercorot akibat undian rendah.

Jadi, buat peminat, jangan sekadar menonton sahaja.

Kalau mahu bakat yang betul-betul menyerlah terus bertahan dalam pertandingan Anugerah 2026, undilah dengan sebaik-baiknya.

Pertandingan, ‘Anugerah 2026’, boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, setiap Selasa, bermula 8.30 malam. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.