Topic followed successfully
Go to BHkuUsaha cari bahan masak lauk Raya di AS, hidupkan tradisi tanah air
Usaha cari bahan masak lauk Raya di AS, hidupkan tradisi tanah air
Pasangan suami isteri kunjungi pelbagai kedai, lalui perjalanan sembilan jam demi cari kelengkapan Aidilfitri
Usaha cari bahan masak lauk Raya di AS, hidupkan tradisi tanah air
Menyambut Lebaran jauh di rantauan pasti mengundang kerinduan mendalam – daripada juadah tradisi hingga kemeriahan bersama keluarga tercinta. Berita Harian (BH) membawakan kisah warga Singapura yang tetap tekad menyemarakkan Aidilfitri, sama ada dengan menghidupkan semula suasana tanah air atau menimba pengalaman baharu.
Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Singapura umumnya mudah dan serba lengkap, memandangkan rempah-ratus dan daging boleh didapati dengan senang di satu lokasi sahaja, seperti di Pasar Geylang Serai.
Namun, pengalaman menyambut Lebaran bagi Encik Muhammad Hilwan Mohamed Idrus sekeluarga di Missouri, Amerika Syarikat, jauh berbeza dan persiapannya pula lebih mencabar.
Bayangkan, ayah berusia 40 tahun itu bersama isterinya, Dr Khairunisa Mohamad Ibrahim, 37 tahun, perlu mengunjungi beberapa kedai berasingan semata-mata untuk mendapatkan bahan bagi menyediakan hidangan seperti lontong dan nasi beriani.
Mereka perlu memandu sekitar 30 minit hanya untuk mendapatkan tomato puri atau santan kotak.
Bukan itu sahaja, mereka sanggup menempuh perjalanan selama sembilan jam dari St Louis, Missouri, ke Dearborn, Michigan, untuk menikmati kemeriahan bazar Ramadan, serta membeli makanan dan pakaian.
Lampu ‘lap-lip’ yang meriah kelihatan di Singapura juga hanya ditemui di Chicago, terletak kira-kira enam jam dari Missouri.
Ketika ditemu bual oleh Berita Harian (BH), Encik Hilwan, berkata:
“Tahun ini (2026), kami akan masak nasi beriani. Kami perlu mula persiapan seawal seminggu sebelum Hari Raya. Kami mengambil masa dari 11 pagi hingga 4 petang untuk mendapatkan semua rempah-ratus dan bahan-bahan.
Sejak berpindah ke Amerika pada 2019, itulah antara contoh usaha gigih keluarga yang tekad menghidupkan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, meskipun jauh di perantauan.
Encik Hilwan dan Dr Khairunisa berpindah ke Amerika pada 2019 untuk meneruskan kerjaya masing-masing.
Dr Khairunisa mulanya berpindah ke Amerika pada Januari 2019 setelah mendapat jawatan sebagai Penolong Penyelidik Pascadoktoral di Sekolah Perubatan Universiti Washington di St. Louis.
Beliau kini bertugas sebagai Pengajar Ahli Neurosains di situ.
Encik Hilwan kemudian menyusul pada April 2019, setelah menerima jawatan sebagai Jurutera Perisian Kanan di Mastercard.
Beliau kini merupakan Ketua Teknikal Jurutera Perisian di Mastercard.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Akmal Muhammad Hilwan, yang akan mencecah usia tiga tahun pada 2026.
Mereka sekeluarga menyambut Lebaran dengan mengunjungi rumah keluarga lain dari Malaysia dan Singapura.
Lazimnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri di Amerika sangat berbeza berbanding di Singapura, dan perbezaan itulah yang sering kali menimbulkan rasa rindu dalam diri Encik Hilwan sekeluarga.
“Antaranya adalah kesyahduan dan alunan takbir Raya. Laungan takbir Raya di Amerika kurang bervariasi dan tidak dilagu-lagukan seperti di Singapura dan Nusantara Melayu.
“Kami sekeluarga akan melagukan takbir Raya mengikuti alunan di tanah air bersama anak kami di rumah untuk meriahkan suasana,” kongsinya.
Oleh sebab Amerika lazimnya tiada cuti umum bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri, kadangkala mereka perlu kembali ke pejabat setelah selesai ke masjid pada waktu pagi.
Encik Hilwan dan isterinya juga terpegun melihat tradisi golongan Muslim di sana yang tidak memberi sampul duit Raya, tetapi hadiah.
“Saya dan isteri saya pula teruskan amalan memberi duit Raya seperti di Singapura, ia pun lebih mudah,” kata beliau sambil berseloroh.
Walaupun demikian, rasa rindu yang mendalam terhadap keluarga tetap sukar dilupakan.
Perasaan itu kian memilukan kerana sejak 2019, mereka hanya berpeluang menyambut Syawal bersama keluarga sekali sahaja, iaitu pada 2024.
Encik Hilwan meluahkan, “Kami tentunya rindu bermaafan bersama ahli keluarga kami secara bersemuka.”
Susulan perbezaan waktu, mereka sekeluarga akan berjaga hingga lewat malam di Amerika untuk menghubungi ahli keluarga di Singapura melalui panggilan video pada pagi Raya.
“Perasaan bermaafan dan mengambil gambar secara maya tentu berbeza, tetapi kami berazam meneruskan amalan sebegini dengan sebaik mungkin,” tambah Encik Hilwan.
Usaha menghidupkan suasana Lebaran seperti di tanah air menjadi lebih bermakna sejak kelahiran anak mereka.
“Walaupun anak kami masih kecil, kami mahu dia rasai kemeriahan Lebaran mengikut tradisi kami.
“Kami memastikan amalan asal usul kami terpelihara agar dia biasa dengan makanan, bahasa, serta dapat menerap tradisi kami,” jelas Encik Hilwan.
Lantas, Encik Hilwan dan isterinya kekal positif dalam menghadapi pelbagai cabaran demi menghidupkan kemeriahan sambutan Hari Raya seperti di Singapura.
“Kami menjadi lebih mahir memasak hidangan termasuk lontong dan nasi beriani. Kami juga mempelajari cara membakar kuih-muih tradisional, termasuk kuih suji dan kuih tart,” ujar beliau.
Walaupun masih perlu membuat perjalanan jauh untuk mendapatkan segelintir bahan khusus, usaha itu menjadi lebih mudah setelah pembukaan kemudahan baharu.
“Berbanding dengan 2019, kini ada lebih banyak pasar menjual rempah-ratus dari Asia dan bahan-bahan halal.
“Pasar raya seperti Costco menawarkan daging halal yang boleh dibeli secara pukal,” jelas Encik Hilwan.
Mereka juga membeli beberapa set baju Melayu dan menukar pilihan setiap tahun dalam meneruskan tradisi memakai baju Melayu pada hari pertama.
Bagi Aidilfitri 2026, mereka dapat memakai baju baharu yang dibeli di Singapura pada Disember 2025.
Untuk melengkapkan kemeriahan di rumah, mereka memainkan lagu Raya melalui aplikasi muzik.
“Tanpa usaha seperti ini, suasana Lebaran akan terasa sunyi. Kami berusaha memanfaatkan keadaan di sini dengan sebaik mungkin,” tambah Encik Hilwan.

