SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Siswa Raya di Canada tanpa keluarga demi timba pengalaman di rantauan

Siswa Raya di Canada tanpa keluarga demi timba pengalaman di rantauan

Lebih hargai pengorbanan ibu bapa apabila berlebaran jauh di negara orang
Mar 27, 2026 | 7:38 PM

Siswa Raya di Canada tanpa keluarga demi timba pengalaman di rantauan

Sambil memakai kain samping mengikut cara yang diajar ibunya, Encik Hanafi Jaafar, yang sedang menuntut di Canada menghirup udara segar sambil merakam foto kenangan di Tasik Ontario, di Canada, untuk tatapan keluarganya.
Sambil memakai kain samping mengikut cara yang diajar ibunya, Encik Hanafi Jaafar, yang sedang menuntut di Canada menghirup udara segar sambil merakam foto kenangan di Tasik Ontario, di Canada, untuk tatapan keluarganya. - Foto ihsan HANAFI JAAFAR

Hasrat di hati, Encik Hanafi Jaafar, adalah untuk merantau jauh demi mengikuti pengajian di Queen’s University Canada di Ontario, yang akan membuka mata dan menjadi sebahagian kenangan manis dalam perjalanan hidupnya sebagai mahasiswa.

Lantaran itu, beliau sudah bersedia menyambut Ramadan dan Syawal bersendirian dan jauh daripada keluarga.

Encik Hanafi, 23 tahun, mahasiswa tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Nasional Singapura (NUS), bahkan gigih menabung selama bertahun-tahun lamanya menerusi pendapatan yang dijana sebagai pencipta kandungan di aplikasi TikTok serta elaun yang diperolehi daripada Perkhidmatan Negara (NS). 

Ini sebelum beliau menyedari pada malam sebelum berlepas ke Canada bagi menjalani program pertukaran pelajar pada Disember 2025, keluarganya telah menyimpan wang secara diam-diam untuk menyokongnya.

Ketika sedang mengemas beg di biliknya, ibunya mengejutkannya dengan menyerahkan sebuah kotak merah kecil.

Di dalam kotak itu, terdapat wang untuk biayanya ke Canada.

Rupa-rupanya keluarganya telah menabung selama beberapa bulan untuk keperluan Encik Hanafi meskipun pada awalnya, mereka bimbang tentang kemampuan kewangan kerana datang daripada keluarga sederhana.

“Saya tahu bukan mudah bagi mereka menabung untuk saya, jadi saya benar-benar terharu,” kata Encik Hanafi sambil menahan sebak di dada.

Walaupun gemar mencuba pengalaman baharu, Encik Hanafi mengakui hidup bersendirian di Canada membuatnya terasa sunyi, terutamanya pada Ramadan yang terisi dengan detik ketenangan dan refleksi demi mencari diri.

“Biasanya, saya berbuka dan menunaikan solat tarawih bersama keluarga. Ramadan ialah masa kami lebih banyak makan bersama dan berbual.

“Lebih sedih lagi, abang-abang saya menghantar video keluarga sedang berbuka bersama,” tambah anak bongsu dalam tiga beradik itu.

Menghabiskan Ramadan tanpa keluarga buat kali pertama membuatkan beliau lebih menghargai pengorbanan mereka, katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH) dalam talian. 

Bagi mengatasi rasa sunyi, Encik Hanafi memperkenalkan amalan Ramadan kepada lima rakan serumah, yang juga warga Singapura, tetapi berbangsa Cina.

“Saya bawa mereka berbuka bersama saya. Ada juga yang ingin cuba berpuasa,” katanya dengan nada teruja.

Beliau turut mendapat sokongan daripada siswa Islam lain yang menganggotai Persatuan Muslim Queen’s University Canada.

Hampir setiap hari, kumpulan yang terdiri daripada pelajar pelbagai latar belakang, termasuk beberapa siswa bukan Muslim, berkumpul untuk berbuka puasa bersama.

Beliau turut menunaikan solat tarawih bersama beberapa rakan beragama Islam.

Majlis iftar diadakan dalam suasana meriah dengan pelbagai hidangan disajikan termasuk masakan Bangladesh, Mesir dan Arab.

Keramahan rakan-rakan lain membuatkan Encik Hanafi semakin dekat dengan agama di samping membantu mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga.

“Kami solat bersama, sama ada solat Jumaat atau tarawih. Saya bertemu orang Islam dari pelbagai negara dan sedar terdapat banyak persamaan antara kami,” ujarnya.

Beliau juga mula membaca Al-Quran dengan terjemahan versi bahasa Inggeris, yang diperoleh secara percuma dan diagihkan semasa satu pertemuan yang diadakan.

“Ini sesuatu yang jarang saya lakukan di Singapura, tetapi berada dalam persekitaran ini yang menggalak saya untuk lebih mendekati agama.

“Maka, saya terdorong membaca terjemahan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Namun, kasih sayang tetap terjalin pada jarak jauh dengan ibu bapa yang disayangi.

Baru-baru ini, ibunya membuat panggilan video melalui WhatsApp untuk menunjukkan kepada Encik Hanafi cara memakai kain samping.

Pada Hari Raya yang baru berlalu, Encik Hanafi menggayakan baju Raya berwarna biru bersama samping sempat bergambar di Tasik Ontario sebagai kenangan untuk dikirimkan kepada keluarganya di Singapura.

“Saya cuma rindukan sambal goreng pengantin hasil air tangan ibu saya.

“Tapi ibu saya dah berjanji nak masakkan lauk kesayangan saya itu apabila saya pulang pada Mei ini,” ujarnya sambil menyifatkan Ramadan dan Syawal di Canada sebagai meninggalkan kesan di hatinya.

“Kami solat bersama, sama ada solat Jumaat atau tarawih. Saya bertemu orang Islam dari pelbagai negara dan sedar terdapat banyak persamaan antara kami.”
Encik Hanafi Jaafar, mahasiswa tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Nasional Singapura (NUS), yang sedang menjalani program pertukaran pelajar di Queen’s University Canada.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg