SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Warga S’pura di Melbourne kekalkan tradisi Raya

Warga S’pura di Melbourne kekalkan tradisi Raya

Khutbah dalam bahasa Melayu sentuh hati, terkenang keluarga di tanah air
Mar 27, 2026 | 8:06 PM

Warga S’pura di Melbourne kekalkan tradisi Raya

raya di melbourne
Encik Muhammad Fadhil Abdul Latif (kiri), bersama isteri dan anak lelakinya, menghidupkan suasana Aidilfitri di Melbourne, Australia, demi memastikan tradisi, budaya dan makna Hari Raya terus subur dalam kehidupan keluarga mereka di perantauan. - Foto ihsan MUHAMMAD FADHIL ABDUL LATIF

Di kota Melbourne yang jauh dari tanah air, Encik Muhammad Fadhil Abdul Latif, 36 tahun, berusaha memastikan suasana Syawal terus diraikan dengan penuh meriah dalam kehidupan keluarganya.

Bersama sekumpulan kecil warga Singapura yang akrab, beliau menghidupkan semula kehangatan Hari Raya melalui pertemuan sederhana, juadah tradisional dan semangat kebersamaan yang sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap kampung halaman.

Bagi Encik Fadhil, yang kini bertugas sebagai jururawat di Australia, pengalaman menyambut Ramadan dan Syawal jauh daripada keluarga mencetus rasa kehilangan yang sukar diungkapkan, lebih-lebih lagi dengan tibanya pagi Hari Raya pada 20 Mac lalu.

Jika di Singapura, keadaan berbeza. Seawal 10 pagi suasana kejiranan beliau lazimnya sudah meriah dan syahdu dengan berkumandangnya takbir 1 Syawal.

Pintu dibuka untuk menyambut tetamu, dengan gelak tawa memenuhi ruang tamu.

Namun di Melbourne, menjelang 11 pagi, suasana masih lengang dan serba sederhana.

Ini kerana ramai dalam kalangan mereka masih perlu bertugas pada hari tersebut, memandangkan Hari Raya tidak diisytiharkan sebagai cuti umum di Melbourne.

Malah, anaknya juga masih perlu ke sekolah, yang hanya tamat sekitar 3 petang.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 21 Mac, sehari selepas sambutan Lebaran di Melbourne, Encik Fadhil, berkata:

“Pagi Raya kami dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri di sebuah pusat masyarakat Islam di kawasan tenggara Melbourne, yang dianjurkan oleh masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman itu sedikit sebanyak mengembalikan rasa seakan-akan di Singapura apabila khutbah Aidilfitri 2026 turut disampaikan dalam bahasa Melayu, dengan pengisian yang menyentuh makna Syawal sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

“Itu yang paling menyentuh hati. Bila mendengar khutbah dalam bahasa Melayu, ia terus membawa suasana yang dekat dengan kampung halaman di Singapura,” ujarnya, sambil mengakui rasa rindu terhadap keluarga dan kenalan di Singapura.

Suasana sambutan Hari Raya pada pagi 20 Mac di Melbourne, Australia.
Suasana sambutan Hari Raya pada pagi 20 Mac di Melbourne, Australia. - Foto MUHAMMAD FADHIL ABDUL LATIF

Berbeza dengan suasana di Singapura, di mana kunjungan dari rumah ke rumah begitu dekat dan tidak makan masa, kegiatan kunjung-mengunjung di Melbourne memerlukan perancangan lebih teliti serta memerlukan masa perjalanan yang panjang, dengan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju boleh mencecah sehingga dua jam.

“Selepas asar, barulah kami mula bergerak ke rumah kawan-kawan.

“Kadang-kadang perjalanan itu sendiri boleh mengambil masa hingga dua jam.

“Di Australia, jarak antara rumah memang jauh dan apabila tiba, hari pun sudah hampir maghrib,” katanya.

Meskipun akur sambutan di situ lebih sederhana, masyarakat Melayu/ Islam sedikit demi sedikit bertindak sebagai ‘keluarga’ di perantauan.

Sebahagian daripada mereka dikenalinya menerusi masyarakat Malay Council of Victoria, sebuah pertubuhan yang komited memelihara identiti, nilai dan budaya masyarakat Melayu/Islam di Melbourne, Australia.

Malah, masyarakat itu juga bakal mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya pada April nanti.

Namun, di sebalik semua usaha itu, beliau mengakui perkara yang paling dirindui tetap kehadiran keluarga sendiri.

“Apa yang buat Raya itu ‘Raya’ ialah bila kita tahu keluarga kita masih ada dan kita dapat luangkan masa bersama mereka. Tapi di sini, kawan-kawan itulah yang jadi seperti keluarga,” ujarnya.

Sambil mengetepikan perasaannya, beliau berkata hidangan tradisional tetap menjadi penyeri suasana.

Golongan lebih berusia dalam masyarakat lazimnya menyediakan juadah seperti rendang, lontong, ketupat dan mi goreng – hidangan yang, menurut Encik Fadhil, mampu membangkitkan rasa umpama di ‘rumah’ sendiri walaupun berada di bumi asing.

Bagi beliau, usaha sebegitu amat bermakna dalam memastikan jati diri Melayu terus terpelihara dalam keluarga kecilnya.

Sebagai bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun, Encik Fadhil melihat sambutan Syawal di Melbourne sebagai ruang penting untuk memperkenalkan budaya kepada anaknya, meskipun keluarga itu telah berpindah dari Singapura sejak hujung 2022.

Justeru, nilai seperti amalan bermaaf-maafan, pemakaian busana tradisional dan semangat berhimpun sempena Syawal cuba dipupuk sejak usia muda agar terus kekal menjadi sebahagian identiti anaknya.

“Bagi saya, Hari Raya bukan sekadar tentang juadah dan sambutan. Ia juga tentang bermaaf-maafan, berpakaian untuk meraikan hari itu, dan membina memori untuk anak-anak.

“Penting untuk anak-anak dididik dengan adab dan nilai budaya Melayu sejak kecil, terutama dalam soal menghormati orang yang lebih tua. Itulah antara asas identiti orang Melayu.

“Kalau kita sendiri tak ajarkan perkara ini kepada anak-anak, ia sedikit sebanyak mencerminkan generasi kita,” ujar beliau.

Beliau menambah, dalam konteks kehidupan di luar negara, usaha itu menjadi lebih penting memandangkan anak-anak tidak terdedah secara semula jadi kepada suasana budaya seperti di Singapura.

“Bila lagi dia nak pakai baju Melayu di sini? Jadi Hari Raya ini antara peluang untuk dia rasai sendiri identiti itu,” katanya.

Bagi Encik Fadhil, meskipun Syawal di Melbourne mungkin tidak semeriah di Singapura, namun dalam ruang yang lebih kecil dan serba sederhana itu, makna Hari Raya masih boleh terus dipelihara, selagi ada usaha menjaga tradisi, bahasa dan ikatan silaturahim sesama sendiri.

“Itulah budaya kita. Itulah identiti saya sebagai orang Melayu,” katanya.

“Penting untuk anak-anak dididik dengan adab dan nilai budaya Melayu sejak usia kecil, terutama dalam soal menghormati orang yang lebih tua. Itulah antara asas identiti orang Melayu. Kalau kita sendiri tidak ajarkan perkara ini kepada anak-anak, ia sedikit sebanyak mencerminkan generasi kita.”
Encik Muhammad Fadhil Abdul Latif, warga Singapura yang menetap di Melbourne sejak 2022.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg