Topic followed successfully
Go to BHkuKembara rohani siswa S’pura di Maghribi menjelang Aidilfitri
Kembara rohani siswa S’pura di Maghribi menjelang Aidilfitri
Jauh daripada keluarga, undangan ke perjumpaan Raya pelajar Asia lain ceriakan suasana
Kembara rohani siswa S’pura di Maghribi menjelang Aidilfitri
Sedang ramai orang menyambut Ramadan dan Syawal dengan keluarga tercinta di teratak indah mereka, sambutan dua bulan yang mulia itu berbeza buat Encik Muhammad Faqih Mohamad Sani.
Encik Faqih, 22 tahun, seorang mahasiswa Singapura yang sedang menuntut di Universiti Abdelmalek Essaâdi di Tetouan, Maghribi, menyambut Hari Raya kali ini dengan cara berbeza.
Tidak pulang ke tanah air pada musim perayaan ini, beliau berkelana di merata Maghribi bagi satu ‘kembara kerohanian’ sejak hujung Ramadan.
Encik Faqih bersama tiga lagi pelajar Singapura telah mengambil kesempatan terbang ke kota Marrakech bagi menziarahi beberapa tempat bersejarah yang cukup sinonim dengan jiwa kerohanian Islam.
“Memandangkan kami tidak pulang ke Singapura semasa Hari Raya pada tahun ini (2026), kami mengambil keputusan untuk pergi ke Marrakech dari Tetouan.
“Kami bercadang menziarahi beberapa tempat suci yang terkenal dalam sejarah Islam,” jelas pelajar jurusan Usuluddin itu.
Memandangkan kota tersebut terkenal sebagai tempat bersemadinya beberapa tokoh sufi dan keilmuan dalam sejarah Islam, Encik Faqih, mengambil peluang menziarahi setiap kawasan itu untuk lebih menghayati nilai yang terkandung dalam sejarah hayat tokoh itu.
Anak bongsu dua beradik itu berkata:
“Kami menziarahi makam seperti Imam Jazuli, pengarang kitab Dalail-ul Khayrat.
“Sebagai penuntut ilmu, khususnya di Maghribi ini, penting untuk kita mengenali tokoh seperti ini serta sumbangan mereka dalam keilmuan Islam.
“Para alim ulama di bumi Maghribi ini mungkin tidak terkenal seperti ulama dari negara seperti Mesir.
“Namun, sumbangan dan hasil ilmu mereka sangat penting dan bermanfaat untuk kami ambil iktibar.”
Demi terus menikmati suasana hujung Ramadan di kota itu, Encik Faqih serta teman-temannya telah melawat dan menunaikan solat tarawih di Masjid Koutoubia, salah satu masjid terkenal di Marrakech.
Setelah menghabiskan waktu di Marrakech di ambang Ramadan, mereka pulang ke Tetouan sehari sebelum Hari Raya untuk menyambut Lebaran bersama pelajar lain dari Asia.
Menurut Encik Faqih, suasana ibadah sewaktu Ramadan disambung terus pada Syawal bagi masyarakat di Maghribi.
Merenung makna ‘Aidilfitri’ sebagai satu hari kebesaran dalam Islam, masyarakat di Maghribi tidak lekang dalam meningkatkan amalan pada Hari Raya pertama itu.
Selain laungan takbir dan solat Aidilfitri, majlis zikir secara beramai-ramai turut diadakan dalam lingkungan masyarakat Maghribi di beberapa tempat.
Malah, majlis bacaan kitab, Dalail-ul Khayrat, juga diteruskan pada hari pertama Syawal.
“Di sini mereka benar-benar meletakkan fokus yang kuat dalam melakukan ibadah pada Hari Raya,” jelasnya.
Bagi beliau, keadaan solat Aidilfitri yang dibanjiri lautan manusia di Maghribi merupakan satu pengalaman luar biasa dan berbeza berbanding Singapura.
“Apabila ramai manusia berkumpul, melafazkan doa dan zikir dengan bersungguh-sungguh, ini memberi satu rasa kerohanian yang sangat kuat dengan nilai keagamaan,” jelas beliau.
Justeru, beliau menyifatkan pengembaraannya di Maghribi pada akhir Ramadan dan hari pertama Hari Raya sebagai pengalaman yang ‘membangunkan’ kerohanian.
Meski terkesima dalam suasana ibadah di Maghribi sewaktu Lebaran, beliau tetap merindukan suasana perayaan bersama keluarga di Singapura.
Lantas, majlis perjumpaan Hari Raya bersama pelajar dari negara Asia itu mengizinkan beliau untuk mengubati rindu menyambut Lebaran di kampung halaman.
“Ini merupakan kali pertama kami menyambut Hari Raya secara beramai-ramai dalam sebuah majlis perjumpaan.
“Para pelajar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia, menganjurkan perjumpaan ini dan mereka menjemput kami untuk ikut serta,” ujarnya.
Tidak ingin melepaskan peluang tersebut, sejurus selesai solat Aidilifitri di Masjid Muhammad V, Encik Faqih bersama empat lagi pelajar dari Singapura telah berkumpul di rumah salah seorang pelajar dari Malaysia untuk beraya.
Majlis yang disambut dengan suasana riang, diisi juga dengan lantunan bacaan qasidah dan hidangan juadah Raya untuk jamuan bersama.
Justeru, setiap kumpulan pelajar dari negara berbeza membawa lauk-pauk tradisional yang berbeza untuk dikongsi beramai-ramai.
“Kami (pelajar Singapura) telah memasak lauk ayam masak merah untuk dikongsi bersama sewaktu majlis perjumpaan itu.
“Pastinya, dengan perjumpaan dan jamuan hidangan seperti ini, ia membuat kami rasa seperti berada di tanah air atau kampung halaman sendiri,” kongsinya.


