Pekerja yang lebih terdedah kepada gangguan akibat kecerdasan buatan (AI), automasi dan perubahan struktur kos mungkin ditawarkan ‘jambatan kerjaya’ untuk menukar pekerjaan lain yang memanfaatkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Mereka harus ditempatkan dalam laluan tersusun melibatkan latihan, bimbingan kerjaya dan khidmat padanan pekerjaan bagi menyokong peralihan ke “pekerjaan lebih berdaya tahan”, menurut cadangan akhir jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) Singapura yang dikeluarkan pada 13 Mei.

Cadangan itu tidak menyatakan industri atau sektor yang dianggap terancam, atau sektor yang lebih berdaya tahan terhadap gangguan.

Langkah itu akan “membangunkan pelan peralihan tenaga kerja lebih awal sebelum pemberhentian kerja besar-besaran berlaku”, menurut ESR.

“Kami boleh mengutamakan bidang yang menghadapi tekanan gangguan lebih besar, serta mempunyai rakan industri dan persatuan perdagangan yang bersedia menyokong usaha ini,” tambahnya.

Ia sebahagian usaha memperkukuh sistem peralihan kerjaya dan sokongan pekerja, satu daripada lapan teras ESR.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata rakyat Singapura perlu bersedia kerana peralihan kerjaya akan menjadi semakin biasa, ketika membentangkan cadangan itu dalam Persidangan Ekonomi Masa Depan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

“Sesetengah pekerja perlu beralih ke pekerjaan berkaitan, manakala yang lain mungkin memerlukan latihan semula lebih mendalam, dengan sesetengah golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) mungkin menghadapi tempoh penyesuaian lebih panjang.

“Kita perlu memperkukuh sokongan kepada pekerja yang sedang melalui peralihan.

“Sistem sokongan kita mesti lebih bersepadu dan lebih bersedia menghadapi perubahan,” jelasnya.

Lebih separuh daripada golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) berasa perlu meningkatkan kemahiran untuk terus memenuhi keperluan pekerjaan di tengah gangguan AI, menurut tinjauan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Encik Gan berkata sektor penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan awal kanak-kanak, khidmat sosial dan pekerjaan berkemahiran teknikal akan terus menyediakan peluang pekerjaan penting kerana peranan itu “boleh diperkasakan oleh AI tetapi tidak mudah digantikan olehnya”.

“Kita perlu menambah baik pekerjaan ini melalui peningkatan daya penghasilan, pengiktirafan kemahiran lebih kukuh, perkembangan gaji dan laluan kerjaya lebih jelas,” katanya.

ESR turut mencadangkan campur tangan lebih awal dalam sokongan pemberhentian kerja, ketika syarikat kini perlu memaklumkan pemerintah dalam tempoh lima hari bekerja selepas memberitahu pekerja terjejas.

Jawatankuasa itu mengesyorkan agar pemerintah bekerjasama lebih rapat dengan rakan tiga pihak untuk memendekkan tempoh wajib pemberitahuan pemberhentian kerja dan menggalakkan pemberitahuan awal.

Cadangan lain termasuk memperkukuh sokongan kepada PME yang semakin terjejas akibat perubahan struktur dan menghadapi tempoh pencarian kerja lebih panjang.

ESR juga mencadangkan semakan skim seperti Skim Bantuan Pencari Kerja (JS) SkillsFuture untuk meliputi lebih ramai PME.

Ini selain meneroka lebih banyak cara membantu pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan ketika peralihan kerjaya.

Satu lagi bidang penting ialah memantau secara dekat kesan AI terhadap pekerja dan menyesuaikan dasar apabila perlu, memandangkan kesan penuhnya terhadap pekerjaan, gaji dan pasaran buruh masih berkembang.

Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), dalam kenyataannya pada 13 Mei, berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan ESR dan akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) serta NTUC mengenai tempoh memaklumkan pemberhentian kerja.

“Kita mesti mengiktiraf bahawa apabila perniagaan berubah, perubahan tertentu tidak dapat dielakkan dan kami menyokong sepenuhnya usaha membantu majikan serta pekerja menghadapi peralihan ini,” kata Snef.

NTUC berkata pekerja kini semakin merasai kesan ekonomi yang berubah pantas, termasuk ketidaktentuan pekerjaan lebih besar, peralihan kerjaya lebih kerap dan tekanan untuk terus menyesuaikan kemahiran.

Kesatuan itu berkata ia bekerjasama rapat dengan rakan tiga pihak dalam jawatankuasa ESR untuk mengetengahkan kebimbangan pekerja serta “menterjemahkan perubahan hala tuju ini kepada peningkatan nyata untuk pekerja”.

Ini termasuk memperkukuh hubungan antara perubahan ekonomi dan manfaat nyata kepada pekerja, selain membantu mereka mengharungi peralihan kerjaya dengan lebih berkesan, kata NTUC.

Satu lagi teras ESR ialah mewujudkan lebih banyak pekerjaan baik dan memajukan strategi AI yang melengkapi pekerja.

Jawatankuasa itu percaya AI harus digunakan walaupun keupayaan manusia seperti pertimbangan, hubungan sesama manusia dan kepercayaan masih penting kerana ia boleh membuka peluang pekerjaan dan kerjaya baharu.

Sebagai contoh, DBS menerapkan AI dalam operasi termasuk pengurusan risiko dan perbankan institusi, selain melatih semula pekerja untuk peranan baharu seperti pemantau ejen AI dan penilai AI generatif.

Ia juga melatih semula pekerja untuk pekerjaan baharu yang diwujudkan hasil teknologi itu, termasuk membantu pegawai khidmat pelanggan beralih kepada peranan pemantau ejen AI dan penilai penjanaan AI.

ESR turut menghuraikan usaha memperkasa pekerja untuk belajar sepanjang hayat dan mengurus kerjaya sendiri, termasuk memperkukuh sokongan SkillsFuture Singapura (SSG) bagi peralihan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ia boleh melibatkan peluasan pembiayaan program pos siswazah di institut pengajian tinggi (IHL) serta memperluas laluan modular dan fleksibel supaya pekerja boleh membina kemahiran secara berperingkat sambil terus bekerja.

Pengurus projek Engie Services Singapore, Encik Michael Leow, 47 tahun, sedang mengikuti ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Gunaan di Institut Teknologi Singapura (SIT), menggunakan pengalaman dalam kejuruteraan IT dan pengurusan kemudahan.

Laluan itu membahagikan program ijazah kepada kelayakan mikro yang boleh diikuti mengikut kemampuan sendiri.

Encik Leow berkata beliau kini mengikuti kelayakan mikro kelima daripada lapan yang diperlukan.

Beliau berharap kelayakan itu membolehkannya beralih ke peranan berkaitan teknologi awan, penyelesaian dipacu AI, perubahan digital dan kepimpinan teknikal.

“Kelonggaran program ini membolehkan saya belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja, membantu mengekalkan keseimbangan antara pengajian, kerjaya dan keluarga,” katanya.

Profesor Madya Mustafa Shabbir Kurbanhusen dari SIT berkata perjalanan Encik Leow mencerminkan perubahan dalam cara golongan dewasa bekerja mendekati pendidikan tinggi.

Katanya, pembelajaran sepanjang hayat kini bukan lagi sekadar kembali ke sekolah untuk satu pencapaian, tetapi tentang terus menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran dan kekal memenuhi keperluan ekonomi yang berubah pantas.