Topik diikuti
Pergi ke BHkuRapat Hari Pekerja: PM Wong bakal bentang bantuan hadapi AI, teknologi baru
Rapat Hari Pekerja: PM Wong bakal bentang bantuan hadapi AI, teknologi baru
Rapat Hari Pekerja: PM Wong bakal bentang bantuan hadapi AI, teknologi baru
Lebih banyak butiran tentang usaha membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan peranan akibat teknologi baru akan dikongsi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (gambar sisipan), semasa ucapan Rapat Hari Pekerja 2026 beliau pada 1 Mei.
Dalam satu hantaran di wadah X pada 30 April, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata:
“Dengan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baru, peranan pekerjaan akan berubah.
“Namun satu perkara tidak berubah: Keazaman kami untuk menyokong setiap pekerja untuk menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.”
Rapat Hari Pekerja akan bermula pada 9.30 pagi pada 1 Mei, dengan Encik Wong dijadual menyampaikan ucaptama.
Februari lalu beliau telah membentangkan Belanjawan berjumlah rekod $154.7 bilion yang, selain menyokong keluarga dan individu, turut menyediakan lebih banyak sokongan kepada syarikat agar kekal berdaya saing serta menggerakkan usaha nasional untuk memanfaatkan keupayaan AI.
Dalam ucapan Belanjawan tersebut, Encik Wong memperuntuk satu bahagian bagi dasar baru merangkumi perniagaan, pekerja dan pelajar bagi memanfaatkan AI sebagai kelebihan strategik.
Encik Wong mengakui dalam ucapannya kebimbangan mendalam akibat kemajuan pesat AI, namun, menegaskan Singapura mesti menghadapi kegusaran tersebut serta melabur dalam bidang itu secara terancang dan teratur.
Pengumuman berkaitan AI dalam ucapan Belanjawan Encik Wong termasuk penubuhan satu majlis AI kebangsaan baru, yang beliau pengerusikan, serta usaha menggalak rakyat mempelajari dan menguasai kemahiran berkaitan AI melalui kursus SkillsFuture dan pelbagai alat lain.
Semasa perbahasan Belanjawan, Encik Wong berjanji penggunaan AI secara meluas tidak akan menyebabkan pertumbuhan tanpa pekerjaan, selepas beberapa Anggota Parlimen (AP) mengemukakan pelbagai senario segmen pekerja Singapura yang boleh tercicir atau hilang pekerjaan akibat penggunaan AI.
Ia termasuk bagaimana AI akan menggantikan secara tersendiri pekerjaan yang lazim dilakukan lulusan baru.
