Topik diikuti
Pergi ke BHkuNTUC, persekutuan niaga, majikan sokong usul semakan strategi ekonomi
NTUC, persekutuan niaga, majikan sokong usul semakan strategi ekonomi
Susuli pelancaran 32 saranan muktamad di bawah lapan teras
NTUC, persekutuan niaga, majikan sokong usul semakan strategi ekonomi
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta persatuan perdagangan dan dewan perniagaan (TAC) mengalu-alukan saranan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) dan menyokong hala tuju jangka panjang yang ditetapkan untuk memperkukuh daya saing dan daya tahan ekonomi Singapura di tengah-tengah peralihan kecerdasan buatan (AI).
Kenyataan mereka itu menyusuli pelancaran 32 saranan muktamad di bawah lapan teras, hasil semakan strategi ekonomi, yang bertujuan memacu fasa pertumbuhan ekonomi dan transformasi tenaga kerja Singapura yang seterusnya di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu.
Ini termasuk membantu pekerja beralih ke pekerjaan baru atau mempertingkatkan kemahiran dalam peranan semasa, dan membangunkan negara ini sebagai sebuah hab yang dipercayai di mana huraian AI dibangunkan, diuji dan dikerahkan.
Saranan tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 13 Mei dalam Persidangan Ekonomi Masa Depan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) 2026.
Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Choo, dalam satu kenyataan, berkata NTUC menyokong saranan ESR untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan baik dan memastikan pertumbuhan terus memberi manfaat kepada rakyat Singapura.
“Peralihan ke arah membentuk bagaimana hasil pertumbuhan diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih baik adalah penting bagi memastikan inovasi memperkukuh, dan bukannya melemahkan, prospek golongan pekerja.
“Sedang AI terus membentuk semula landskap kerja, kita mesti melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang tepat supaya mereka dapat meraih manfaat daripada anjakan ini dan beralih kepada pekerjaan serta prospek kerja yang lebih baik,” kata beliau, yang juga pengerusi bersama dalam salah satu jawatankuasa ESR itu.
NTUC, dalam kenyataan itu, turut berkata ia menyokong usaha memperdalami sokongan SkillsFuture dan memperluaskan lebih banyak laluan lebih fleksibel dan modular supaya pekerja boleh mempertingkatkan kemahiran melalui cara yang serasi dengan komitmen kerja dan keluarga mereka.
“Pada masa yang sama, adalah penting memastikan latihan kekal mudah diakses, relevan, dan sejajar dengan evolusi landskap kerja, supaya pekerja dapat menggunakan kemahiran mereka secara bermakna di tempat kerja,” kata NTUC.
Sementara itu, SBF pula berkata ia bersetuju bahawa TAC boleh memainkan peranan lebih kukuh dalam memacu penggunaan AI, terutamanya dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (SME).
Namun, ia menambah bahawa penggunaan AI tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan dan perlu seiring dengan reka bentuk semula pekerjaan dan peningkatan kemahiran.
Ini supaya peningkatan daya penghasilan dapat diterjemahkan kepada hasil perniagaan dan tenaga kerja yang lebih kukuh.
Selain itu, SBF menyokong usaha menarik perusahaan terkemuka di peringkat global dan serantau, di samping memperkukuh ekosistem SME tempatan.
“Pelaburan utama seharusnya mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas menerusi pembangunan pembekal, perkongsian, dan peningkatan keupayaan.
“Penyelarasan yang lebih baik merentasi agensi awam, platform berkaitan pemerintah, dan syarikat portfolio Temasek dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi firma Singapura untuk mengesahkan huraian, menyertai rantaian bekalan, dan membina rekod prestasi,” kata SBF.
Sementara itu, Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) berkata ia menyokong saranan untuk mempercepatkan penggunaan AI di seluruh ekonomi, dan membolehkan firma melakukan penyusunan semula dan peralihan dengan lebih lancar.
“Kita perlu mengiktiraf bahawa sedang perniagaan berubah, ada penyusunan semula tidak dapat dielakkan dan kami menyokong sepenuhnya usaha untuk membantu kedua-dua majikan dan pekerja mengharungi peralihan ini.
“Peralihan yang lancar dan cepat adalah lebih baik bagi majikan, pekerja, dan ekonomi secara keseluruhan, terutamanya apabila kitaran ekonomi semakin singkat dan kejayaan menjadi lebih sukar diramalkan,” katanya.
