Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lakar pelan strategik ekon perkukuh daya saing, pasaran kerja
S’pura lakar pelan strategik ekon perkukuh daya saing, pasaran kerja
32 saranan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) untuk pacu fasa pertumbuhan ekon, transformasi tenaga kerja S’pura seterusnya
S’pura lakar pelan strategik ekon perkukuh daya saing, pasaran kerja
Singapura telah menetapkan hala tuju strategik jangka panjang untuk memastikan ekonominya kekal berdaya saing selain mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyatnya di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu.
Ini hasil Semakan Strategi Ekonomi (ESR) – dilancarkan pada Ogos 2025 dan diterajui lima jawatankuasa terdiri daripada 10 pemegang jawatan politik – yang membentangkan 32 saranan di bawah lapan teras pada 13 Mei.
Saranan tersebut bertujuan memacu fasa pertumbuhan ekonomi dan transformasi tenaga kerja Singapura seterusnya, dan menumpukan kepada tiga kepentingan strategik: mempertajamkan tawaran nilai, meningkatkan ketangkasan, dan membina daya tahan.
Antara saranan yang dikemukakan jawatankuasa ESR itu termasuk menjadikan Singapura sebuah hab dipercayai di mana huraian kecerdasan buatan (AI) dibangunkan, diuji dan dikerahkan.
Ini selain membantu pekerja beralih ke pekerjaan baru atau mempertingkatkan kemahiran dalam peranan semasa, dan memperkukuh sokongan bagi syarikat berpangkalan di sini untuk menebarkan sayap ke luar negara.
Di samping itu, ia menyarankan agar negara ini membina daya tahan tenaga melalui penampan strategik dan mempelbagaikan sumber import.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata saranan ESR itu bukan sekadar satu respons terhadap cabaran semasa yang dihadapi, malah merupakan pelan tindakan strategik bagi menghadapi peralihan global.
Menyampaikan ucaptama di Persidangan Ekonomi Masa Depan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 13 Mei, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata:
“Ia adalah mengenai bagaimana Singapura meletakkan kedudukannya untuk jangka masa panjang bagi kekal berdaya saing, mewujudkan pekerjaan yang baik, dan kekal relevan dalam dunia yang semakin sengit persaingannya, berpecah belah, dan pantas berubah.”
Encik Gan menyifatkan persekitaran global kini berada dalam fasa yang mencabar akibat ketegangan geopolitik, kemajuan pesat AI, serta kesan perubahan iklim yang menuntut perubahan drastik dalam model perniagaan.
Bahkan, krisis tenaga yang sedang berlaku telah menunjukkan betapa pantasnya gangguan boleh merebak ke seluruh ekonomi global.
“Bagi Singapura, gangguan sedemikian bukanlah peristiwa yang jauh dari kita. Kita mempunyai hubungan yang sangat mendalam dengan ekonomi global.
“Hubungan tersebut memberikan kita pelbagai peluang, namun pada masa yang sama, ia turut mendedahkan kita kepada ketidaktentuan,” kata beliau.
Semakan hala tuju ekonomi itu diterajui lima jawatankuasa terdiri daripada 10 pemegang jawatan politik, bagi melakarkan hala tuju untuk lima hingga 10 tahun mendatang di tengah-tengah persekitaran global baru yang lebih tidak menentu dan berpecah belah.
Jawatankuasa tersebut melaporkan diri pada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang dipengerusikan Encik Gan.
Encik Gan berkata Singapura perlu memberi tumpuan pada sektor-sektor teras, seperti dalam perkilangan termaju, logistik dan kewangan serta teknologi, dan memperdalami kekuatan sedia ada dengan menarik pelaburan bermutu tinggi dan kegiatan perintis dalam sektor tersebut.
Ia juga bermakna negara ini perlu mempergiat usaha bersama firma yang sedia ada di sini bagi menyokong pertumbuhan mereka – dengan membantu mereka menjalankan transformasi operasi, menggunakan AI dan teknologi digital, memperkukuh kemampanan, meningkatkan produktiviti, serta mendalami kerjasama dengan institusi penyelidikan, pembekal, dan tenaga kerja.
Namun, sedang usaha dijalankan untuk memperkukuh kekuatan yang sedia ada hari ini, usaha juga mesti dijalankan untuk membina kekuatan hari esok, kata Encik Gan.
“Ini bermakna mengambil risiko yang terhitung dalam bidang baru di mana Singapura mempunyai kredibiliti untuk bersaing, seperti teknologi kuantum dan angkasa lepas,” tambah beliau.
AI akan memainkan peranan utama dalam usaha ini, kata Encik Gan, sambil menambah bahawa Singapura boleh menjadi antara tempat terbaik di dunia untuk membangunkan, menguji dan mengerahkan huraian AI yang menyelesaikan masalah dunia nyata secara meluas.
Strategi AI Singapura mesti berpaksikan kes kegunaan dunia nyata, terutamanya dalam perkilangan termaju, kewangan, penjagaan kesihatan, logistik dan ketersambungan, di mana Singapura sememangnya sudah mempunyai kekuatan, tambah beliau.
Negara ini akan bekerjasama dengan syarikat berpangkalan di Singapura untuk menjadi pencari laluan, dan juga membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) meraih manfaat daripada AI melalui platform dikongsi, huraian peringkat sektor dan ekosistem sokongan lebih kukuh.
“Kita mesti menyebarluaskan penggunaan AI ke seluruh ekonomi. Matlamat kita bukanlah AI semata-mata demi teknologi tersebut.
“Sebaliknya, ia adalah untuk menggunakan AI bagi melonjakkan produktiviti, memperkukuh perusahaan, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, serta meluaskan peluang bagi rakyat Singapura.
“Inilah cara Singapura kekal relevan – iaitu dengan membina keupayaan, kepercayaan, dan inovasi yang dihargai oleh dunia,” kata Encik Gan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem perusahaan, termasuk membantu lebih banyak firma melakukan anjakan daripada syarikat pemula kepada syarikat skala besar, serta daripada perusahaan tempatan kepada pemain serantau atau global.
Ini akan memerlukan akses yang lebih baik kepada modal pertumbuhan, keupayaan pengurusan yang lebih mendalam, hubungan pasaran yang lebih kukuh, serta lebih banyak laluan bagi syarikat berkembang di luar Singapura.
Penyejagatan terutamanya akan menjadi sangat penting, dengan perlu ada usaha untuk membantu syarikat mengenal pasti peluang, mengurus risiko, membina kerjasama, dan bersaing di peringkat antarabangsa dengan penuh yakin, tambah beliau.
Di tengah-tengah transformasi ini, Encik Gan berkata strategi ekonomi mestilah diterjemahkan kepada peluang yang bermakna bagi rakyat Singapura, dan juga meluaskan rangkaian peluang pekerjaan yang baik.
Walaupun sesuatu pekerjaan itu mungkin terjejas akibat automasi dan AI, beliau berkata pemerintah komited untuk melindungi setiap pekerja melalui sokongan penempatan semula dan latihan kemahiran yang lebih bersepadu.
“Kita harus membina ‘jambatan kerjaya’ sebelum berlakunya sebarang gangguan.
“Kita harus campur tangan dan membantu pekerja yang diberhentikan lebih awal bagi mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk langkah seterusnya,” kata beliau.
“Kita harus menyediakan bimbingan kerjaya yang berkesan, penilaian kemahiran, latihan, serta sokongan pemadanan pekerjaan kepada para pekerja.
“Akhir sekali, kita perlu menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih berkesan dan tetap,” tambahnya.
Dalam membina daya tahan sementara memacu daya saing, Encik Gan menekankan kepentingan memperkukuh peranan Singapura sebagai sebuah hab dipercayai bagi aliran barangan, modal, data, dan tenaga, di samping meningkatkan daya tahan dalam sistem ekonomi.
Misalnya, dalam jaminan tenaga, negara ini perlu terus mempelbagaikan sumber, memperkukuh penampan dan merancang lebih awal bagi gangguan. Dalam daya tahan iklim pula, Singapura perlu bersiap sedia menghadapi isu haba, risiko kawasan pesisir pantai, dan risiko iklim yang lain, di samping mengimbangi penyahkarbonan dengan jaminan tenaga serta daya saing.
Sebagai penutup, Encik Gan berkata Singapura mesti terus memperbaharui ekonominya dengan membina keupayaan penting dan memberikan nilai kepada dunia, membangunkan perusahaan dan pekerja yang tangkas dan mudah menyesuaikan diri, dan memperkukuh hubungan dipercayai.
“Inilah cara Singapura boleh terus berkembang, mewujudkan pekerjaan yang baik, dan meluaskan peluang bagi rakyat kita. Inilah cara kita boleh memandang masa hadapan dengan penuh yakin,” kata beliau.
Dalam satu catatan Facebook pada 13 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah menyokong strategi dan hala tuju luas ESR.
“Tugas yang menanti di hadapan adalah untuk menterjemahkan hala tuju ini kepada tindakan konkrit,” kata beliau.
“Saya berterima kasih kepada jawatankuasa ESR, perniagaan, pekerja, kesatuan sekerja, rakan industri, dan semua pihak yang telah menyumbang idea serta perspektif kepada usaha penting ini. Sumbangan anda akan membantu membentuk masa depan Singapura dalam dunia yang telah berubah secara drastik.”
