Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura, Brunei bincang cara perkukuh kerjasama pertahanan maritim
S’pura, Brunei bincang cara perkukuh kerjasama pertahanan maritim
Perkembangan keselamatan serantau dan kerjasama maritim dibincang
S’pura, Brunei bincang cara perkukuh kerjasama pertahanan maritim
Singapura dan Brunei mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang “rapat dan telah lama terjalin” semasa pertemuan antara Menteri Pertahanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, dengan Panglima Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Sahibul Bahari Zainal Abidin, di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 15 April.
Kededua pihak membincangkan kaedah untuk memperluas kerjasama antara Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dengan Tentera Laut Diraja Brunei dalam bidang kepentingan bersama serta perkembangan keselamatan serantau.
“Lawatan Laksamana Sahibul menekankan hubungan pertahanan dua hala yang rapat dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Brunei, yang disokong oleh lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional, serta latihan dua hala seperti Latihan Pelican.
“Interaksi ini telah memperdalam persefahaman bersama dan mengukuhkan hubungan antara anggota kededua tentera laut,” kata Mindef dalam satu kenyataan pada 15 April.
Menurut Mindef, pertemuan itu diadakan sempena ulang tahun ke-50 bermulanya jalinan hubungan pertahanan antara kededua negara tersebut pada 2026.
Ia merupakan lawatan pertama Laksamana Sahibul ke Singapura.
Beliau berada di sini dari 14 hingga 16 April untuk lawatan pengenalannya.
Laksamana Sahibul juga bertemu dengan Panglima Tentera Laut, Laksamana Muda Sean Wat, dan mengunjungi Unit Penyelam Tentera Laut (NDU) RSN di Kem Sembawang.
Beliau diberi taklimat mengenai persekitaran keselamatan maritim Singapura dan perkembangan RSN termasuk keupayaan bergerak tanpa pemandu.
Sebelum ini, Encik Chan telah menemui Panglima Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (BG) Haszahaidi Ahmad Daud, di Mindef pada 5 Januari.
Kededua pihak turut membincangkan cara memperdalam dan memperkukuh kerjasama pertahanan antara Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dengan Tentera Udara Diraja Brunei.

