Topic followed successfully
Go to BHkuKaedah klasifikasi perubatan bagi individu bakal jalani NS dikemas kini
Kaedah klasifikasi perubatan bagi individu bakal jalani NS dikemas kini
MHA, Mindef: Prosedur latihan asas juga akan dikemas kini; klasifikasi baru bagi SAF mulai Okt 2027, manakala Home Team mulai Nov 2027
Kaedah klasifikasi perubatan bagi individu bakal jalani NS dikemas kini
Kaedah klasifikasi perubatan bagi anggota Perkhidmatan Negara (NS) telah dikemas kini agar ia berkembang seiring dengan keperluan operasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan Home Team (HT) yang kian berubah.
Pengemaskinian terhadap sistem klasifikasi perubatan (MCS) itu bermakna anggota yang bakal menjalani NS tidak akan menerima status piawaian pekerjaan fizikal (PES) selepas pemeriksaan perubatan mulai Oktober 2027.
Sebaliknya, mereka akan dimaklumkan mengenai pengecualian perubatan tertentu, jika ada, berdasarkan keadaan perubatan mereka dan sejajar dengan keupayaan fungsian masing-masing, umum Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Status PES telah diguna pakai SAF dan HT sejak 1970an dan diperhalusi saban tahun bagi menilai kesesuaian peranan bertempur bagi para anggota.
Seiring dengan perubahan itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata prosedur latihan ketenteraan asas (BMT) juga akan dikemas kini.
Ini termasuk Kursus Asas bagi pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Latihan Menyelamat Asas Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Di bawah prosedur latihan asas itu, anggota rekrut akan dibahagikan kepada tiga program berbeza, bergantung pada pengecualian perubatan masing-masing.
Berkongsi kepada pihak media selepas lawatan ke Pusat Klasifikasi Perubatan di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) pada 13 April, Encik Chan berkata pengemaskinian itu dibuat kerana konsep kecergasan tempur telah berubah dan kini digantikan oleh teknologi dan konsep pertempuran perang baru.
Beliau berkata: “Hari ini, terdapat pelbagai jenis konsep kecergasan tempur.
“Ia tidak merangkumi kegiatan fizikal yang melibatkan kekuatan otot semata-mata yang masih dianggap penting hari ini, terdapat juga pelbagai aspek yang membenarkan anggota kerahan melakukan lebih banyak dan lebih baik melalui penggunaan teknologi.
“Semua aspek ini membolehkan anggota kerahan mencapai potensi masing-masing dan membolehkan mereka melaksanakan peranan yang paling sesuai.”
Sementara itu kedua-dua kementerian itu menambah bahawa klasifikasi kecergasan baru akan diguna pakai bagi individu yang bakal menjalani NS dengan SAF mulai Oktober 2027, manakala HT mulai November 2027.
Kohort anggota sedemikian akan menjalani pemeriksaan perubatan seperti biasa, sebelum mereka menerima pengecualian perubatan tertentu, berdasarkan keadaan perubatan masing-masing.
Pada peringkat ini, mereka juga akan dimaklumkan sama ada mereka layak mendapat pengurangan lapan minggu dalam tempoh NS sepenuh masa.
Menurut Mindef dan MHA, pengurangan ini akan diberikan jika anggota sedemikian meraih sekurang-kurangnya 61 mata dalam Ujian Kecergasan Jasmani Perseorangan (IPPT).
Anggota NS dan Anggota Kerahan NS (NSMen) sedia ada mengekalkan status PES semasa mereka, melainkan jika mereka mempunyai sebarang perubahan dalam keadaan perubatan, sementara sistem PES semasa kekal utuh, tambah kedua-dua kementerian.
Dalam pada itu, latihan bagi anggota rekrut akan berpandukan pada senarai pengecualian perubatan yang diseragamkan agar komander dan jurulatih mempunyai garis panduan latihan yang jelas mengenai kegiatan yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh para rekrut, jelas Mindef dan MHA.
Menurut Komander Sekolah 2 Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC), Mejar (MAJ) Muhammad Razali Norman, perubahan pada MCS bermakna para komander dan jurulatih perlu memberi penekanan terhadap pengurusan risiko, menyemak latihan dan memahami secara menyeluruh bagaimana latihan dijalankan.
Berkenaan prosedur BMT, Mindef dan MHA berkata individu yang bakal menjalani NS tanpa pengecualian perubatan berkaitan aktiviti atau latihan akan dihantar ke Program 1 BMT, yang merangkumi latihan fizikal, IPPT, balapan berhalang standard atau Standard Obstacle Course (SOC), dan kegiatan berkawad.
Mereka layak untuk peranan bagi barisan tempur seperti dalam unit Infantri; peranan sokongan bagi barisan tempur dan peranan sokongan perkhidmatan.
Mereka yang ada satu atau lebih pengecualian perubatan akan melalui Program 2 BMT, yang akan mempunyai latihan fizikal dan aktiviti lasak di luar yang disesuaikan, ujar kededua kementerian itu.
Mereka layak melakukan peranan sokongan bagi barisan tempur, yang memberi tumpuan kepada aspek menyokong pasukan tempur secara langsung dalam operasi, dan peranan sokongan tempur. Sesetengah daripada mereka layak untuk peranan barisan tempur tertentu.
Mereka yang mempunyai pelbagai keadaan perubatan atau pengecualian latihan atau aktiviti yang ketara akan melalui Program 3 BMT, dengan kegiatan berteraskan asas ketenteraan pada skala yang tidak begitu memberatkan.
Anggota NS dalam program sebegini layak untuk peranan sokongan perkhidmatan tempur dan beberapa peranan sokongan tempur, seperti pengendali isyarat dan petugas perubatan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di bawah MHA akan melaksanakan struktur latihan asas berteraskan tiga program yang serupa di bawah MCS diperbaharui.
Kohort pertama di bawah MCS yang diperbaharui akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menjalani NS mereka mulai penghujung Jun 2026.
Semakan terhadap MCS kali pertama diumumkan pada Mac 2021 oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan) ketika itu, Encik Heng Chee How, semasa bahas Belanjawan Mindef di Parlimen.
Di bawah MCS semasa, anggota NS diklasifikasikan sama ada mereka sesuai atau tidak sesuai bagi pertempuran.
Ia merangkumi status PES A/B1 bagi peranan di barisan tempur hingga PES F, yang tidak dianggap sesuai dari segi perubatan untuk mana-mana bentuk perkhidmatan, menukil laman rasmi CMPB.
Anggota infantri berperisai, Lans Koperal (LCP), Noor Aizan Anwari, menyifatkan perkembangan itu sebagai satu “kelegaan” kerana anggota NS Sepenuh Masa (NSF) sepertinya dapat memberikan sumbangan lebih bermakna sepanjang menjalani NS.
Beliau berkata penilaian perubatan semula yang dilaluinya meningkatkan status PES beliau daripada PES E9 kepada PES B1, sekali gus membolehkannya beralih daripada peranan sokongan bukan tempur kepada peranan tempur.
Seperti LCP Aizan, pengemaskinian MCS ini membolehkan kira-kira 1,200 anggota dikerahkan setiap tahun untuk peranan yang sebelum ini mereka tidak layak lakukan, kata Mindef dan MHA dalam satu kenyataan bersama pada 13 April.

