Topic followed successfully
Go to BHkuFaishal hadiri rumah terbuka Hari Raya di Brunei
Faishal hadiri rumah terbuka Hari Raya di Brunei
Faishal hadiri rumah terbuka Hari Raya di Brunei
Hubungan akrab yang terjalin sekian lama antara Singapura dengan Brunei ditekankan semula oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Keistimewaan hubungan dua hala itu terserlah menerusi lawatan Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), ke Brunei dari 22 hingga 24 Mac.
Beliau diiringi isteri, Cik Hayati Haron; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, bersama isteri, Cik Afizah Mohd Hassan; serta Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Cik Lee Hui Ying, semasa lawatan tahunan Hari Raya para menteri Singapura ke Brunei.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan pada 24 Mac, Dr Faishal dan delegasinya turut menyampaikan ucapan Hari Raya bagi pihak pemimpin Singapura kepada para pemimpin Brunei.
Sepanjang lawatan tersebut, mereka menghadiri beberapa majlis rumah terbuka anjuran pemimpin kanan Brunei, lambang jalinan erat kedua-dua negara.
“Hubungan Singapura-Brunei ini diperkukuh ikatan peribadi yang mesra antara para pemimpin kedua-dua negara, disokong kerjasama mendalam dan pelbagai dalam bidang pertahanan, pertukaran mata wang, perdagangan, jaminan bekalan makanan dan budaya,” jelas MFA.
Antara pemimpin yang ditemui termasuk Menteri Ehwal Agama, Pehin Badaruddin Othman, Mufti Negara, Pehin Abdul Aziz Juned dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Dato Ahmaddin Abdul Rahman.
Dr Faishal turut melahirkan rasa penghargaan di Facebook pada 24 Mac atas jemputan sebagai tetamu terhormat di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Brunei.
“Detik-detik begini mengingatkan kita betapa hubungan dua hala yang utuh dapat merapatkan lagi ikatan antara rakyat kedua-dua negara kita,” katanya.
Menurut MFA, lawatan tahunan Hari Raya ini sudah menjadi tradisi sejak 2012.

