Topik diikuti
Pergi ke BHkuSIA hadapi tekanan kos meningkat dek lonjakan harga bahan api jet
SIA hadapi tekanan kos meningkat dek lonjakan harga bahan api jet
SIA hadapi tekanan kos meningkat dek lonjakan harga bahan api jet
Singapore Airlines (SIA) mula berasakan tekanan akibat kenaikan harga bahan api jet susulan konflik di Timur Tengah, meskipun telah menaikkan tambang penerbangan di seluruh rangkaiannya.
Dalam pemfailan pada 14 Mei di Bursa Saham SGX, syarikat penerbangan itu berkata kesan penuh kenaikan kos bahan api masih belum sepenuhnya tercermin dalam operasinya dan hanya dijangka jelas dalam keputusan kewangan seterusnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, keuntungan operasi meningkat 39 peratus tahun ke tahun kepada $2.4 bilion.
Ini disokong hasil pendapatan rekod yang meningkat 5 peratus kepada $20.5 bilion.
SIA dan anak syarikat tambang rendah, Scoot, membawa 42.4 juta penumpang antara April 2025 dengan Mac 2026, meningkat 7.7 peratus berikutan permintaan sedunia yang kekal kukuh.
Namun, keuntungan bersih merosot 57.4 peratus kepada $1.2 bilion disebabkan ketiadaan keuntungan perakaunan bukan tunai sebanyak $1.1 bilion daripada penggabungan Air India-Vistara pada November 2024.
SIA juga mencatat kerugian $846 juta dalam tahun kewangan 2025-2026 daripada syarikat bersekutu kerana perlu mengambil kira setahun penuh kerugian Air India, berbanding hanya empat bulan sebelum ini.
Walaupun begitu, lembaga pengarah mencadangkan dividen biasa akhir sebanyak 22 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025-2026, menjadikan jumlah dividen tahunan 27 sen sesaham.
SIA pada November 2025 berkata ia akan memulangkan modal kepada pemegang saham menerusi dividen khas 10 sen sesaham setahun selama tiga tahun kewangan, bernilai kira-kira $900 juta keseluruhannya.
Lembaga pengarah mencadangkan bayaran kedua dividen khas sebanyak tujuh sen sesaham bagi tahun kewangan 2025-2026, yang akan dibayar pada 28 Ogos kepada pemegang saham setakat 12 Ogos, tertakluk kepada kelulusan.
Termasuk bayaran pertama sebanyak tiga sen sesaham pada 23 Disember 2025, jumlah dividen khas tahun kewangan 2025-2026 ialah 10 sen sesaham, melibatkan agihan keseluruhan sebanyak $300 juta.
SIA terus berdepan cabaran berkaitan pelaburannya dalam Air India, termasuk kekangan rantaian bekalan, sekatan ruang udara, operasi ke Timur Tengah dan harga bahan api jet yang tinggi.
Pada April, Air India melaporkan kerugian 220 bilion rupee ($2.93 bilion) selepas kejatuhan jualan susulan nahas Boeing 787 Dreamliner, penutupan ruang udara Pakistan dan konflik Timur Tengah.
Syarikat itu juga menggantung beberapa penerbangan antarabangsa dari Delhi, termasuk ke Singapura dan Shanghai.
Air India turut mencari ketua pegawai eksekutif (CEO) baru selepas mantannya, Encik Campbell Wilson, meletak jawatan, manakala lebih 1,000 pekerja dilaporkan diberhentikan sejak tiga tahun lalu kerana salah laku etika.
Walaupun demikian, SIA menegaskan pelaburannya sebanyak 25.1 peratus dalam Air India kekal sebagai bahagian penting strategi jangka panjangnya bersama Tata Sons.
SIA berkata dalam pemfailannya: “SIA bekerjasama rapat dengan rakan kongsi Tata Sons untuk menyokong program transformasi berbilang tahun Air India.”
Ia menambah, Air India terus mencatat kemajuan dalam pembaharuan armada, pengubahsuaian pesawat, peningkatan pengalaman pelanggan dan prestasi operasi.
Ini berlaku ketika SIA turut menghadapi kenaikan harga bahan api jet di seluruh rangkaiannya.
SIA berkata harga bahan api jet meningkat lebih dua kali ganda sejak konflik bermula.
Walaupun tambang penerbangan dinaikkan, pelarasan itu masih belum mampu menampung sepenuhnya kenaikan kos bahan api, yang merupakan perbelanjaan terbesar kumpulan itu.
Ia berkata konflik berpanjangan di Timur Tengah boleh mengganggu rantaian bekalan, melemahkan ekonomi dan menjejaskan permintaan perjalanan.
Walaupun berdepan cabaran itu, SIA berkata ia akan terus mengembangkan armada dan rangkaian penumpangnya.
Scoot akan memperluas operasi di Indonesia dan meningkatkan penerbangan ke beberapa destinasi di Asia dan Eropah, manakala SIA akan menambah keupayaan ke London dan memulakan penerbangan harian ke Hangzhou.
SIA akan melaraskan keupayaan laluan mengikut permintaan, termasuk menambah penerbangan ke United Kingdom dengan perkhidmatan London Gatwick dua kali sehari dari 3 Julai hingga 29 Ogos.
Bersama perkhidmatannya ke London Heathrow, SIA akan mengendalikan sehingga enam penerbangan sehari ke London.
Ia juga akan memulakan penerbangan harian ke Hangzhou pada Jun, menjadikannya destinasi kesembilan di tanah besar China.
Dari 25 Oktober hingga Mac 2027, SIA merancang meningkatkan keupayaan dan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi Eropah termasuk London Gatwick, Milan dan Munich.
Namun, SIA dan Scoot telah menggantung penerbangan ke Dubai dan Jeddah sejak 28 Februari, sementara pelancaran laluan Riyadh ditangguhkan dari Jun ke September.
Setakat 31 Mac, kumpulan itu mempunyai 218 pesawat dan rangkaian meliputi 134 destinasi di 35 negara dan wilayah.
Saham SIA ditutup tidak berubah pada $6.27 pada 14 Mei, sebelum keputusan kewangannya diumumkan.
