SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penumpang berlepas dari S’pura hanya dibenar bawa 2 ‘powerbank’ mulai 15 Apr

Penumpang berlepas dari S’pura hanya dibenar bawa 2 ‘powerbank’ mulai 15 Apr

Apr 6, 2026 | 2:16 PM

Penumpang berlepas dari S’pura hanya dibenar bawa 2 ‘powerbank’ mulai 15 Apr

powerbank, Singapura, penerbangan
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata penumpang yang membawa lebih daripada dua bank kuasa atau ‘powerbank’ akan dikehendaki melupuskan bank kuasa berlebihan sebelum menaiki pesawat. - Foto ST

Mulai 15 April, penumpang yang berlepas dari Singapura hanya dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa (powerbank) dalam bagasi tangan mereka, selaras dengan peraturan baharu Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Sekatan ini meliputi semua pek bateri boleh cas semula, termasuk yang berkapasiti sehingga 100 watt-jam (Wh) dan yang berkapasiti antara 100 Wh hingga 160 Wh yang memerlukan kelulusan awal.

Dalam kenyataan pada 6 April, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) memaklumkan bahawa penumpang yang membawa lebih daripada dua bank kuasa perlu melupuskannya sebelum menaiki pesawat.

Peraturan baharu, yang ditetapkan oleh ICAO pada 2 April, bertujuan untuk memperkemas keperluan keselamatan berkenaan pembawaan dan penggunaan bank kuasa di dalam pesawat.

CAAS menyatakan keputusan badan pengawal selia antarabangsa itu bermatlamat mengurangkan risiko kebakaran sambil tetap memenuhi keperluan penumpang, memandangkan bateri litium dalam bank kuasa berpotensi menimbulkan bahaya kebakaran jika terlalu panas semasa penerbangan.

ICAO mengumumkan langkah itu pada 27 Mac, berkuat kuasa serta-merta, dan turut melarang penumpang mengecas bank kuasa mereka semasa penerbangan.

Sejak 1 April 2025, Singapore Airlines (SIA) dan penerbangan kos rendahnya, Scoot, telah melarang penggunaan atau pengecasan bank kuasa oleh penumpang semasa penerbangan, susulan beberapa insiden kebakaran dalam kabin pada syarikat penerbangan lain seperti Batik Air dan Air Busan.

Menurut laman web SIA dan Scoot, bank kuasa diklasifikasikan sebagai bateri litium simpanan.

Di bawah peraturan sedia ada sehingga 6 April, penumpang boleh membawa sehingga 20 bank kuasa jika setiap satunya tidak melebihi 100 Wh.

Bagi bank kuasa berkapasiti antara 100 Wh hingga 160 Wh, hanya dua yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat.

CAAS akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk memastikan pelaksanaan langkah-langkah baharu ini berjalan “lancar dan teratur”, dan syarikat penerbangan masing-masing akan memaklumkan penumpang mereka.

Maklumat mengenai sekatan baharu itu juga akan dipaparkan di pelbagai lokasi Lapangan Terbang Changi bagi memberitahu penumpang tentang peraturan ini.

Walaupun had bilangan bank kuasa ini dikenakan bagi setiap penumpang, pihak berkuasa menasihati penumpang untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing tentang sebarang sekatan khusus bank kuasa yang mungkin dikenakan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg