SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PM Wong: Penting S’pura libat diri dengan China, Jepun bentuk hal ehwal serantau

PM Wong: Penting S’pura libat diri dengan China, Jepun bentuk hal ehwal serantau

China, Jepun rakan kongsi penting; S’pura rakan kededua negara
Mar 28, 2026 | 4:15 PM

PM Wong: Penting S’pura libat diri dengan China, Jepun bentuk hal ehwal serantau

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong bercakap kepada media dari Singapura pada 28 Mac untuk menggulung lawatannya ke China.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong bercakap kepada media dari Singapura pada 28 Mac untuk menggulung lawatannya ke China. - Foto ST

HONG KONG: Adalah penting untuk Singapura melibatkan diri dengan kededua China dan Jepun – yang sedang melalui fasa sukar dalam hubungan mereka – bukan sahaja secara dua hala, malah untuk membentuk hal ehwal rantau ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 28 Mac.

Kededua negara timur laut Asia itu adalah rakan kongsi penting Asean, kata Encik Wong.

China ialah rakan dagang terbesar Asean, sementara Jepun ialah pelabur utama dalam kumpulan serantau itu. Melebihi perdagangan, kededua negara adalah rakan kongsi utama dalam perancangan serantau yang berpusat pada Asean.

Singapura akan menjadi pengerusi Asean pada 2027, peranan yang digalas secara bergilir-gilir oleh anggotanya.

“Untuk Singapura, kededua China dan Jepun adalah rakan kongsi penting,” kata Encik Wong.

“Ini benar untuk Singapura dan ia juga benar untuk Asean dan inilah sebabnya adalah penting untuk kita melibatkan diri dengan kededua negara untuk memperdalam kerjasama dengan mereka dan melibatkan diri dengan mereka secara aktif, bukan sahaja secara dua hala, malah dalam membentuk hal ehwal serantau.”

“Itu adalah pesanan konsisten kami kepada kededua China dan Jepun dan kita telah mengadakan lawatan yang baik ke kededua negara, dan akan terus mengalu-alukan penglibatan membina dan kerjasama selanjutnya dengan kededua China dan Jepun,” kata Encik Wong, menambah.

Beliau berkata demikian semasa bertemu media Singapura untuk menggulung lawatan ke Hainan dan Hong Kong dari 25-28 Mac. Beliau ke Hong Kong selepas menghadiri Forum Boao tahunan China untuk Asia di wilayah Hainan.

Lawatan itu diadakan sejurus selepas beliau mengadakan lawatan rasmi pertama ke Jepun dari 17-19 Mac.

Lawatan Encik Wong ke China ialah yang kedua diadakannya dalam sembilan bulan, selepas beliau mengadakan lawatan rasmi ke sana sebagai Perdana Menteri pada Jun 2025.

Encik Wong telah menyampaikan ucapan ucaptama di pertemuan pembukaan forum Boaa di mana beliau berkata China menggalas peranan genting dalam membentuk aturan sedunia yang lebih berdaya tahan sedang dunia membina laluan baru untuk kerjasama.

Di Tokyo seminggu sebelum itu, Singapura dan Jepun telah mempertingkat hubungan dua hala menjadi rakan kongsi strategik, dengan kerjasama lebih mendalam dirancang dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau.

Encik Wong berkata jadual kededua lawatan itu tidak dirancang berlaku sedemikian.

Lawatan ke Jepun pada asalnya dijadualkan pada 2025, tetapi terpaksa ditangguh kerana kesukaran penjadualan.

Sebelum lawatan ke Jepun diumumkan, China telah mengundang beliau menghadiri forum Boao.

“Ini adalah ulang tahun ke-25 Forum Boao, di mana kita adalah anggota pengasas,” kata beliau.

“Dan saya juga berfikir adalah berguna untuk saya melawat Hainan, kerana pembangunannya sebagai pelabuhan perdagangan bebas. Justeru saya menerima undangan itu. Secara kebetulan, tarikh kededua lawatan dekat, tetapi ia berkesudahan dengan amat baik.”

Hubungan antara China dengan Jepun kian merosot.

Pada November, Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi berkata sebarang tindakan China yang menggunakan kekuatan ke atas Taiwan boleh menyebabkan keadaan yang mengancam kewujudan Jepun, yakni membolehkan Tokyo memberikan respons ketenteraan. Hujah Cik Takaichi itu mengundang kemarahan Beijing.

Tokya dijangka menurunkan taraf hubungan dengan Beijing, menurut laporan diplomatik yang memohon diluluskan pemerintah Jepun pada April.

“Saya akur sepenuhnya China dan Jepun sedang melalui fasa sukar dalam hubungan mereka,” kata Encik Wong.

“Tapi, dari sudut pandang Singapura, kami adalah rakan kepada kededua China dan Jepun... dan juga dengan Amerika Syarikat dan rakan kongsi utama yang lain.”

Pada November 2025, hujah Encik Wong mengenai pendirian jangka panjang Singapura berhubung hubungannya dengan Jepun semasa menjawab soalan yang diajukan kepadanya di forum Bloomberg mengenai hubungan China-Jepun mengundang kritikan dan cemuhan netizen China.

Bercakap di Tokyo pada 18 Mac, Encik Wong berkata Singapura akan terus menjadi rakan kepada kededua China dan Jepun kerana hubungan baik bukan hal kalah menang semata-mata.

Encik Wong sentiasa menekankan pendekatan ehwal luar Singapura adalah untuk mempunyai banyak rakan dan ia tidak berpihak kepada sebarang negara apabila perbezaan berlaku.

“Meskipun kuasa utama mungkin mempunyai cabaran dalam hubungan mereka, kami ingin menjadi rakan kepada mereka semua - China, Jepun, Amerika dan yang lain. Dan perkara ini seharusnya boleh dilakukan oleh kita,” kata Encik Wong pada 28 Mac.

“Inilah pendekatan kita. Ia sentiasa menjadi pendekatan kita secara konsisten dan kita akan terus mencari jalan untuk melibatkan diri dengan semua kuasa utama, terus memperdalam kerjasama dan mencari kesudahan menang-menang.”

Encik wong juga berkata pendekatan Singapura terhadap penglibatan terbuka dan inklusif dengan kuasa utama juga bukan sesuatu yang unik.

“Ini juga adalah pendirian Asean. Tiada negara Asean berhasrat memilih sebarang pihak untuk disokong,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg