SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

S’pura, HK perkukuh hubungan, bincang perluasan kerjasama bidang baru

S’pura, HK perkukuh hubungan, bincang perluasan kerjasama bidang baru

PM Wong, Ketua Eksekutif Hong Kong bincang perluasan bidang pelancongan, penyelidikan dan inovasi
Mar 27, 2026 | 6:14 PM

S’pura, HK perkukuh hubungan, bincang perluasan kerjasama bidang baru

Singapore, Hong Kong, Lawrence Wong, John Lee, HKSAR, bilateral relationship
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), telah bertemu dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), Encik John Lee, sempena lawatan rasmi Encik Wong ke bandar itu dari 26 hingga 28 Mac. - Foto MDDI

Singapura dan Hong Kong mengesahkan hubungan dua hala mereka dan membincangkan cara memperluaskan kerjasama dalam bidang baru, seperti pelancongan, penyelidikan dan inovasi, serta pendekatan belia dan masyarakat, pada 27 Mac.

Ini dilakukan tatkala Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), Encik John Lee, sempena lawatan rasmi Encik Wong ke bandar itu dari 26 hingga 28 Mac.

Ini merupakan lawatan pertama Encik Wong ke Hong Kong sebagai Perdana Menteri.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 27 Mac berkata kedua-dua pihak mengesahkan “keluasan dan kedalaman” hubungan dua hala Singapura dan Hong Kong yang berteraskan perkongsian ekonomi yang kukuh dan hubungan antara rakyat yang mendalam.

Encik Wong turut melahirkan keyakinan terhadap pembangunan dan kemakmuran Hong Kong yang berterusan.

Selain membincangkan cara memperluaskan kerjasama dalam bidang baru, kedua-dua Encik Wong dan Encik Lee juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa di peringkat serantau dan sejagat.

Menulis di Facebook pada 27 Mac, Encik Wong berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang produktif bersama Encik Lee semasa satu jamuan tengah hari, termasuk dalam bidang seperti pelancongan, penyelidikan dan inovasi, dan pertukaran perkhidmatan awam.

“Beliau berkongsi lanjut mengenai rancangan ekonomi Hong Kong, termasuk projek Northern Metropolis.

“Kami turut bertukar-tukar pandangan tentang bagaimana bandar masing-masing boleh mengharungi persekitaran global yang kian kompleks dan tidak menentu – dan di mana kita boleh bekerjasama dengan lebih erat.

“Saya berharap dapat membina kekuatan kita yang saling melengkapi ini dan memperdalam kerjasama kita,” kata beliau.

Pada 27 Mac, Encik Wong turut mengunjungi projek Northern Metropolis untuk mengetahui lebih lanjut tentang keutamaan pembangunan Hong Kong dan meneroka peluang bagi kerjasama lanjut.

Encik Wong kembali ke Singapura pada 28 Mac.

Lawatan beliau ke Hong Kong itu menyusuli kunjungan ke Hainan pada 25 dan 26 Mac.

Semasa di Hainan, Encik Wong telah menyampaikan ucaptama di sesi pembukaan Sidang Tahunan Forum Bo’ao Asia (BFA) 2026.

Platform serantau itu bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi. Ia ditubuhkan pada 2001, tahun yang sama China menyertai Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

Semasa forum itu, Encik Wong turut bertemu dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Encik Zhao Leji, di mana mereka mengesahkan kerjasama kukuh dan lama antara Singapura dengan China dan komitmen untuk terus meneroka bidang kerjasama dalam ekonomi hijau dan digital.

Encik Wong juga telah menghadiri acara makan malam anjuran pemerintah Hainan dan Setiausaha BFA bagi pemimpin yang menghadiri sidang itu.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Hainan, Encik Feng Fei, yang telah berkongsi tentang kemajuan wilayah itu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan bebas.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg