Topic followed successfully
Go to BHkuPM Wong, Anwar bincang perkembangan Timur Tengah, komited lindungi kestabilan serantau
PM Wong, Anwar bincang perkembangan Timur Tengah, komited lindungi kestabilan serantau
PM Wong, Anwar bincang perkembangan Timur Tengah, komited lindungi kestabilan serantau
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui telefon pada 25 Mac.
Panggilan itu menyentuh isu terkini di Timur Tengah, dengan kedua-dua pemimpin berikrar melindungi kestabilan serantau, tatkala tekanan bekalan minyak dan ekonomi kian terasa.
Dalam hantaran Facebook pada 26 Mac, Encik Wong berkongsi, beliau dan Datuk Anwar saling bertukar pandangan mengenai risiko pergolakan yang kian meruncing dan kesannya terhadap bekalan minyak dunia.
Ini terjadi sedang Amerika dan Israel meningkatkan serangan ke atas Iran sejak 28 Februari.
Iran kemudian bertindak balas dengan menyerang beberapa negara Teluk, termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Iran turut mengehadkan kapal yang boleh melalui Selat Hormuz – laluan perkapalan bagi kira-kira seperlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia – selepas serangan 28 Februari, lantas mencetuskan gangguan bekalan minyak dan tenaga sejagat.
Encik Wong berkata kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha bersama untuk menjaga mata pencarian dan kestabilan rakyat serantau, sama ada melalui kerjasama dua hala atau platform Asean.
Panggilan telefon itu berlangsung sejurus selepas Encik Wong tiba di China, di mana beliau menyampaikan ucaptama di Forum Bo’ao Asia 2026 di wilayah Hainan.
Beliau menambah, Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama erat dalam menangani isu penting bersama.
Dalam hantaran Facebook berasingan pada 26 Mac, Datuk Anwar turut berkongsi butiran perbincangan mereka.
Menurut beliau, mereka “berkongsi kebimbangan mendalam terhadap penutupan Selat Hormuz serta serangan ke atas prasarana kritikal yang boleh menggugat pasaran minyak dunia dan keselamatan tenaga serantau,” khususnya bagi Asia Tenggara.
“Perdana Menteri Lawrence Wong dan saya sependapat bahawa pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi,” tegasnya.
Beliau menambah, Malaysia menyokong seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata segera, dan bersedia menyokong setiap usaha bagi meredakan ketegangan, memulihkan keamanan, keadilan, dan kestabilan.
Kini memasuki minggu keempat, konflik Israel-Amerika dengan Iran kian memuncak, dengan ungkapan yang menunjukkan kedua-dua pihak enggan mengalah.
Ini meningkatkan risiko konflik yang lebih luas, dengan kesan besar kepada ekonomi sejagat.
Selain tenaga, gangguan bekalan turut dijangka menghambat sektor lain termasuk baja dan pengeluaran makanan, sekali gus mencetuskan kesan rantaian terhadap keselamatan makanan dunia.

