Pemerintah menyokong lebih daripada 30 saranan yang telah dikemukakan jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) pada 13 Mei untuk menjamin pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan yang baik dan memperluaskan peluang untuk rakyat Singapura.

Ini dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu catatan Facebook pada 13 Mei.

“Pemerintah menyokong strategi dan hala tuju luas ESR.

“Tugas yang menanti di hadapan adalah untuk menterjemahkan hala tuju ini kepada tindakan membina,” kata beliau.

Pada 13 Mei, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, telah membentangkan 32 saranan di bawah lapan teras hasil semakan strategi ekonomi itu, dalam ucaptamanya di Persidangan Ekonomi Masa Depan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) 2026.

Antara saranan yang dikemukakan jawatankuasa ESR itu termasuk menjadikan Singapura sebuah hab dipercayai di mana huraian kecerdasan buatan (AI) dibangunkan, diuji dan dikerahkan.

Ini selain membantu pekerja beralih ke pekerjaan baru atau mempertingkatkan kemahiran dalam peranan semasa, dan memperkukuh sokongan bagi syarikat berpangkalan di sini untuk menebarkan sayap ke luar negara.

Menulis di Facebook, Encik Wong berkata semakan yang dilancarkan pada Ogos 2025 itu bertujuan melakarkan fasa pembangunan ekonomi Singapura yang seterusnya.

ESR itu telah mengenal pasti tiga kepentingan utama: mempertajamkan tawaran nilai dan membangunkan kelebihan yang sukar ditiru, meningkatkan ketangkasan dan mudah menyesuaikan diri, dan memperkukuh daya tahan seiring dengan kecekapan.

Dibimbing tiga kepentingan itu, ESR telah membentangkan lebih 30 saranan itu untuk menjamin pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan yang baik dan memperluaskan peluang untuk rakyat Singapura, kata beliau.

“Saya berterima kasih kepada jawatankuasa ESR, perniagaan, pekerja, kesatuan sekerja, rakan industri, dan semua pihak yang telah menyumbang idea serta perspektif kepada usaha penting ini.

“Sumbangan anda akan membantu membentuk masa depan Singapura dalam dunia yang telah berubah secara drastik,” tambah beliau.