Membesar sebagai anak sulung, Cik Liyana Sinwan sering menyaksikan ibunya yang merupakan suri rumah, mengetepikan cita-cita sendiri demi membesarkan anak-anak serta mengurus keperluan keluarga.

Pengorbanan yang dilakukan itu membentuk kepekaan beliau terhadap cabaran yang dihadapi ramai wanita, khususnya golongan ibu yang terpaksa memikul tanggungjawab keluarga dalam keadaan serba mencabar.

Nilai tersebut dibawa Cik Liyana, 37 tahun, yang juga ibu kepada tiga anak perempuan, dalam peranannya di jawatankuasa Pusat Bantuan Tuntutan Nafkah, atau Maintenance Support Central (MSC) sebuah pusat di bawah Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), yang membantu wanita menangani cabaran selepas perceraian.

Ditubuhkan pada 2011, pusat itu menyediakan bantuan di bawah Piagam Wanita, termasuk kaunseling serta sokongan berkaitan tuntutan nafkah bagi membantu wanita mendapatkan dan menguatkuasakan perintah nafkah demi menjamin kestabilan kewangan anak-anak mereka.

Selain bantuan guaman, MSC turut menyediakan kumpulan sokongan bagi ibu tunggal untuk berkongsi pengalaman, membina rangkaian sokongan serta memulihkan keyakinan diri selepas melalui episod sukar dalam kehidupan mereka.

Sebagai anggota jawatankuasa MSC dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat pertubuhan itu, beliau antara yang menyelia program-program yang dijalankan, serta menasihati kakitangan dan pasukan yang mengendalikan operasi harian pusat tersebut.

Terdapat 12 anggota di bawah jawatankuasa itu, yang telah membantu lebih 2,000 kes penyelenggaraan perkahwinan sejak ia ditubuhkan.

Lebih daripada 2,000 wanita juga dibantu melalui klinik bantuan guaman, dan sekitar 900 wanita menerima sokongan kaunseling.

“Ramai wanita datang dalam keadaan amat tertekan kerana mereka bukan sahaja berdepan keruntuhan rumah tangga, tetapi juga perlu memikirkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak.

“Kadangkala mereka hanya memerlukan seseorang untuk mendengar dan meyakinkan mereka bahawa masih ada ruang untuk membina kehidupan yang lebih stabil bagi diri mereka dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, antara golongan yang kerap mendapatkan bantuan termasuk suri rumah, wanita tanpa pendapatan tetap serta isteri warga asing yang kurang arif tentang sistem bantuan di Singapura.

Sebahagian daripada mereka juga berdepan penderaan kewangan apabila bekas pasangan gagal menyalurkan nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah.

Cik Liyana berkata pengalaman dibesarkan oleh seorang ibu yang penyabar dan cekal menjadikannya lebih memahami tekanan emosi yang dipikul wanita-wanita tersebut.

“Ibu saya bukan seorang yang garang, tetapi beliau sangat tegas dan banyak mendidik kami tentang kesabaran dan ketabahan melalui kelembutan caranya,” katanya.

Kini sebagai seorang ibu, beliau turut memahami mengapa ramai wanita memilih untuk bertahan dalam hubungan yang tidak sihat kerana memikirkan masa depan anak-anak mereka.

Pelbagai lagi peranan dipikul beliau, yang kebanyakannya tertumpu kepada usaha memperkasa wanita dan keluarga.

Ini termasuk tugasnya sebagai Naib Presiden PPIS serta kerjayanya sepenuh masa sebagai peguam di K&L Gates Straits Law LLC.

Apabila ditanya bagaimana beliau mengimbangi tuntutan kerjaya, kerja sukarela dan tanggungjawab keluarga, beliau meluahkan penghargaan yang tinggi kepada suaminya.

Lebih-lebih lagi jadualnya sering dipenuhi mesyuarat di luar waktu kerja, manakala suaminya banyak membantu menguruskan keperluan anak-anak di rumah apabila beliau tidak dapat berbuat demikian.

“Suami saya banyak menjadi sumber kekuatan buat saya. Beliau sangat sabar dan memahami jadual saya.

“Walaupun saya kadangkala pulang lewat atau perlu menghadiri mesyuarat dari rumah, beliau akan memastikan anak-anak terjaga dan rutin harian mereka berjalan seperti biasa,” kata beliau.