Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu hidap palsi serebrum cekal atasi cabaran fizikal besarkan anak
Ibu hidap palsi serebrum cekal atasi cabaran fizikal besarkan anak
Ibu hidap palsi serebrum cekal atasi cabaran fizikal besarkan anak
Sebagai ibu yang menghidap palsi serebrum, Cik Juni Syafiqa Jumat memerlukan bantuan dan perancangan rapi bagi urusan seperti memberi susu kepada anak.
Bagi ibu berusia 31 tahun itu, tugas harian yang sering dianggap remeh oleh ramai sebenarnya memerlukan usaha lebih dan kesabaran yang tinggi.
“Saya perlu bantuan untuk menyenduk (serbuk) susu ke dalam botol.
“Bagi orang lain mungkin mudah, tetapi bagi saya, ia memerlukan perancangan dan sokongan,” katanya.
Cik Syafiqa, merupakan atlet boccia kebangsaan yang pernah mewakili Singapura di peringkat antarabangsa, kini bekerja sebagai pembantu teknologi maklumat (IT) dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
Beliau mendirikan rumah tangga pada usia 27 tahun dan mengakui kehidupan sebagai ibu yang bekerja bukan sesuatu yang mudah.
“Waktu pagi boleh jadi mencabar. Ada hari sukar untuk kejutkan anak kerana dia mahu tidur.
“Ada juga hari saya terpaksa bekerja lebih masa dan perlu bergegas untuk ambilnya dari sekolah,” katanya.
Namun, pengalaman sebagai atlet banyak membentuk dirinya hari ini.
Sukan boccia mengajarnya tentang disiplin, ketahanan mental dan kekuatan untuk bangkit semula apabila berdepan dengan cabaran.
“Mewakili Singapura adalah sesuatu yang saya sangat syukuri.
“Ia membuktikan bahawa ketidakupayaan saya tidak menentukan apa yang saya mampu atau tidak mampu lakukan,” katanya.
Menurutnya, pengalaman bertanding turut menjadikannya lebih kuat dari segi mental dan emosi.
Dalam mengurus kehidupan seharian, Cik Syafiqa belajar menyesuaikan rutin mengikut keupayaannya.
Beliau memastikan rumah dalam keadaan selamat dan mudah diakses selain menyusun keperluan harian agar lebih teratur.
Suaminya, Encik Muhammad Amirul Ismail, 33 tahun, juga merupakan penyokong setia utama dalam perjalanan Cik Syafiqa sebagai ibu.
Namun, cabaran yang dihadapinya bukan hanya dari segi fizikal, tetapi turut berdepan pandangan negatif masyarakat terhadap kemampuannya sebagai seorang ibu.
“Ada yang persoalkan bagaimana saya jaga anak.
“Malah ada yang kata saya tidak patut tambah anak. Ia sangat menyakitkan, terutama ketika saya masih baru menyesuaikan diri sebagai ibu,” ujarnya.
Selain menjaga anak dan bekerja, beliau perlu berdepan isu kemudahan bergerak di tempat tertentu yang kadangkala menyukarkan urusan harian.
“Ada tempat yang tidak mesra pengguna kerusi roda dan itu boleh melambatkan saya atau memerlukan bantuan tambahan.
“Sebagai ibu bekerja, ia beri tekanan kepada saya terutama apabila saya perlu bergegas ambil anak,” katanya.
Walaupun begitu, beliau memilih untuk terus menyesuaikan diri dan fokus kepada keluarganya.
“Saya ingatkan diri kenapa saya lakukan semua ini, untuk keluarga dan untuk menjadi contoh baik kepada anak,” katanya sambil menambah suaminya juga banyak membantu ketika melalui waktu sukar.
Sebelum ini, Cik Syafiqa pernah bekerja sebagai penghantar makanan menggunakan kerusi roda bermotor demi kekal aktif dan berdikari mencari rezeki.
“Ia beri saya rasa tujuan dan peluang untuk menyumbang, walaupun hadapi cabaran fizikal,” katanya.
Kini, beliau berharap masyarakat lebih memahami bahawa ibu yang mempunyai kelainan upaya juga mampu memberi kasih sayang dan penjagaan terbaik kepada anak-anak.
“Perjalanan saya mungkin kelihatan berbeza, tetapi cinta saya untuk anak saya nyata dan kuat.
“Selalunya, orang terlalu fokus pada perkara yang tidak boleh kita lakukan dan bukannya melihat apa yang kita mampu lakukan setiap hari.
“Apa yang kami perlukan ialah pemahaman, penghormatan dan penerimaan, bukan kritikan atau andaian,” katanya.
