Impian seorang ibu lazimnya tertumpu kepada satu harapan, iaitu melihat anaknya melangkah ke arah kejayaan.

Bagi Cik Siti Noraini, 39 tahun, detik itu terzahir apabila beliau menyaksikan anak sulungnya, Azaan Khan Mohamed Rafi, melangkah masuk ke pintu sekolah menengah pada Mei 2026.

Ini meskipun kemasukannya itu lima bulan lewat daripada rakan sebayanya.

Detik tersebut, katanya, menjadi kemuncak kepada perjalanan panjang yang penuh cabaran bagi keluarganya selepas Azaan disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut (ALL) pada Mei 2025, hanya beberapa bulan sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

“Saya berasa sangat bangga dengannya. Saya sedar perjalanan yang dilalui bukan sesuatu yang biasa.

“Seperti yang saya sering beritahu dia, ini ialah takdir yang perlu dihadapinya.

“Kehidupan tetap perlu diteruskan dan kami hanya melaluinya satu hari pada satu masa,” kata beliau sambil mengimbas kembali keadaan pada 2025.

Sebelum diagnosis itu, kehidupan Azaan, 12 tahun, dipenuhi pelbagai aktiviti, daripada latihan ragbi dan penyertaan dalam pertandingan matematik hinggalah mengisi masa lapang dengan membina set Lego di rumah.

Malah, beliau turut disifatkan gurunya sebagai seorang pelajar berkarisma yang sentiasa menceriakan suasana bilik darjah.

Aktiviti-aktiviti tersebut menjadi sumber semangat dan kegembiraannya di tengah-tengah jadual persekolahan yang padat, kata Azaan sebelum ini kepada Berita Harian (BH).

Namun sejak diagnosis tersebut, rutin keluarga itu berubah sepenuhnya dan digantikan dengan jadual rawatan kemoterapi mingguan yang hanya tamat pada April 2026.

Kini, Azaan sedang menjalani rawatan susulan melalui pengambilan ubat oral dan tidak lagi perlu menghadiri rawatan di hospital setiap minggu.

Ketika ditemui di rumahnya di Bedok seminggu sebelum sesi persekolahan bermula, Azaan melahirkan keterujaannya untuk memulakan alam sekolah menengah.

Sambil menahan sebak, beliau yang juga mengenakan pakaian seragam sekolah ketika ditemui BH berkata antara perkara yang paling dinantikan ialah waktu rehat serta peluang untuk kembali meluangkan masa bersama rakan baiknya sejak sekolah rendah.

“Saya gembira dapat kembali ke sekolah selepas setahun… dan saya tidak berasa gementar kerana ada rakan-rakan dari sekolah rendah bersama saya,” kata Azaan.

Keterujaan tersebut juga banyak dipengaruhi usaha keluarganya mengekalkan suasana kehidupan yang seimbang sepanjang tempoh beliau tidak dapat hadir ke sekolah.

Mereka membuat persiapan seperti biasa, termasuk membeli pakaian seragam dan buku sekolah, selain berbincang tentang kehidupan di sekolah menengah.

“Kami sering berbual dengannya tentang kehidupan di sekolah menengah, termasuk kegiatan kokurikulum (CCA) yang ingin disertainya nanti sebagai persediaan awal untuk beliau kembali ke sekolah.

“Walaupun ketika itu beliau belum dapat hadir ke sekolah, kami tetap memastikan rutin pembelajarannya diteruskan.

“Kami akan meneliti buku-buku sekolah menengahnya bersama-sama, manakala bapanya pula akan duduk bersamanya untuk membuat peta minda bagi subjek-subjek baharu supaya beliau terus mengikuti perkembangan pembelajaran di sekolah.

Sejak Januari, Azaan Khan dibantu pihak sekolah dalam mengumpulkan lembaran kerja serta bahan pembelajaran sebagai persiapan sebelum kembali melangkah ke alam sekolah menengah.
Sejak Januari, Azaan Khan dibantu pihak sekolah dalam mengumpulkan lembaran kerja serta bahan pembelajaran sebagai persiapan sebelum kembali melangkah ke alam sekolah menengah. - Foto BM oleh KHALID BABA

“Walaupun dia tidak berada di dalam bilik darjah, kami mahu fikirannya terus aktif dan bersedia untuk kembali belajar,” kata Cik Siti.

Pihak sekolah yang bersikap bekerjasama turut memainkan peranan penting dalam membantu keluarga tersebut sepanjang tempoh pemulihan Azaan.

“Pihak sekolah tidak pernah memberi tekanan kepada kami atau Azaan untuk beliau kembali sihat dengan cepat, semata-mata mahu mengejar pelajaran.

“Mereka sangat memahami keadaan yang sedang kami lalui.

“Guru-gurunya banyak membantu dengan mengumpulkan lembaran kerja serta bahan pembelajaran yang perlu disiapkannya bersama pelajar lain.

“Hampir setiap bulan, bahan itu dikirim melalui rakan-rakannya dan ada juga masanya saya sendiri mengambilnya di sekolah.

“Sokongan itu memastikan Azaan tidak ketinggalan dan terus mengikuti apa yang sedang dipelajari di sekolah walaupun beliau tidak dapat hadir secara fizikal,” kata bapa Azaan, Encik Mohamed Rafi Khan.

Bagi keluarganya, detik itu membawa makna yang jauh melangkaui permulaan alam persekolahan semata-mata, malah melambangkan proses pemulihan dan ketabahan yang ditempuhi sepanjang setahun lalu.

“Mengharungi tempoh itu ibarat menaiki ‘roller coaster’ kerana ia penuh dengan tangisan, keletihan dan detik-detik tekanan.

“Namun selepas semua yang dilalui, melihat dia masih mampu melangkah ke sekolah menengah terasa seperti satu hadiah.

“Hadiah hari ibu yang terbaik bagi saya,” kata Cik Siti.

Azaan bersama ibunya, Cik Siti Noraini, semasa sesi terakhir rawatan kemoterapinya pada April.
Azaan bersama ibunya, Cik Siti Noraini, semasa sesi terakhir rawatan kemoterapinya pada April. - Foto MOHAMED RAFI KHAN