Topik diikuti
Pergi ke BHkuDiuji pemergian suami, ibu tunggal tabah besarkan 2 anak autisme
Diuji pemergian suami, ibu tunggal tabah besarkan 2 anak autisme
Diuji pemergian suami, ibu tunggal tabah besarkan 2 anak autisme
Bukan sekali, tetapi dua kali Cik Noreen Malyssa Noor Affandi, 40 tahun, perlu menelan berita pahit sebuah diagnosis apabila anak sulung dan anak ketiganya disahkan menghidap autisme pada usia dua tahun setengah.
Hidup menjadi satu perjuangan harian buat beliau dan suami dalam membesarkan anak-anak, terutamanya ketika berhadapan dengan situasi di mana anak-anaknya yang mempunyai autisme mengalami meltdown (hilang kawalan emosi) lantas memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi.
Namun, ujian paling berat menimpa Cik Noreen apabila suaminya meninggal dunia akibat barah pada 2023.
Kehilangan itu menjadikannya ibu tunggal yang harus menguruskan tiga anak lelaki sendirian, termasuk dua anak istimewanya yang memerlukan perhatian tinggi.
Menyifatkan tempoh itu sebagai antara yang paling sukar buatnya, beliau mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan supaya dapat mengumpulkan semula semangat buat dirinya dan anak-anak.
“Saya murung selama dua tiga hari, hingga tubuh saya pun jatuh sakit. Saya kemudian beritahu diri saya, ini tidak boleh berterusan. Jika apa-apa berlaku pada saya, bagaimana pula anak-anak saya kan?
“Jadi saya perlu kuat, teruskan kehidupan dan memastikan keperluan mereka dijaga dengan baik,” ujarnya yang menambah bahawa anak-anaknya turut terjejas dengan pemergian arwah ayah mereka yang sangat rapat dengan mereka.
Dalam tempoh sukar itu juga Cik Noreen menghargai sokongan padu daripada keluarga dan sekolah, yang selain memberi khidmat kaunseling, turut membimbing anak-anaknya untuk meniti fasa gelap itu.
Kini, anak-anaknya sudah menginjak usia 10 tahun, 13 tahun dan 16 tahun.
Anak keduanya, Muhammad Rafa Aryan Mohammad Rizal, menuntut di sekolah menengah aliran utama, manakala anak sulung, Muhammad Radhi Adyan Mohammad Rizal, dan anak bongsu, Muhammad Rayees Affan Mohammad Rizal, mendapat pendidikan khas di AWWA School @ Napiri.
Menurut Cik Noreen, menguruskan anak-anak autisme sememangnya mencabar, namun pengalaman itu mengajarnya erti kesabaran dan kerendahan hati.
“Pengalaman ini mengajar saya untuk tidak terburu-buru dan menghargai setiap kejayaan kecil. Sering kali kita melihat kejayaan hanya pada pencapaian besar seperti mendapat tempat pertama atau memenangi pingat. Namun bagi saya, cukup sekadar meraikan kemajuan kecil. Itu sudah memadai untuk membahagiakan saya,” ujarnya yang bekerja dalam bidang sumber manusia.
Mengimbau kenangan lalu, Cik Noreen tidak dapat menahan sebak tatkala menceritakan tentang kejadian dalam sebuah pusat beli-belah di mana salah seorang anaknya mengalami meltdown yang membuatnya tidak berhenti menjerit, gara-gara bunyi guruh yang kuat.
Malah, mereka juga pernah berdepan situasi di mana polis mengetuk pintu rumah setelah aduan daripada jiran yang prihatin apabila mendengar teriakan anak-anaknya yang kuat.
Namun, berbekalkan kepercayaan bahawa “akan sentiasa ada sinar di hujung terowong”, Cik Noreen tidak pernah berputus asa.
Beliau kini bersyukur melihat perkembangan positif anak sulungnya, Radhi, yang sudah mampu berkomunikasi dalam interaksinya bersama beliau dan menunjukkan potensi dalam bidang vokasional di sekolah.
Walaupun anak bongsunya, Rayees, kini masih memerlukan perhatian yang sangat tinggi dan bergantung banyak kepadanya, beliau berharap anak-anaknya akan belajar berdikari dan mampu menjalani kehidupan sendiri suatu hari nanti.
Dalam pada beliau bertungkus-lumus memenuhi keperluan dua anaknya yang mempunyai autisme, Cik Noreen juga memastikan kebajikan anak keduanya tidak terabai.
“Cabarannya sangat berbeza. Anak kedua saya kini melangkah ke alam remaja, jadi saya perlu banyak berbual dengannya tentang isu seperti menyesuaikan diri dengan rakan dan sekolah baru.
“Ia berbeza dengan anak-anak autistik saya, di mana cabarannya lebih kepada memastikan mereka mampu menguruskan diri secara fizikal,” jelas beliau.
Walaupun beliau tidak bergantung sepenuhnya kepada anak keduanya untuk menjaga adik-beradik berkeperluan khas itu, Cik Noreen berharap dia akan sentiasa mengambil berat tentang mereka.
Memberi nasihat kepada ibu bapa yang melalui nasib serupa, Cik Noreen berkata:
“Bersabar dan yakin bahawa anda mampu melalui semua ini. Anak-anak anda memerlukan seorang ibu yang bahagia dan sentiasa ada untuk mereka. Saya tahu ia sukar, tetapi jagalah diri anda terlebih dahulu, kerana hanya apabila anda menjaga diri sendiri, barulah anda mampu menjaga orang lain.”
