Topik diikuti
Pergi ke BHkuMembonceng kasih 60 tahun: Dari Vespa ke Harley-Davidson ke PMD
Membonceng kasih 60 tahun: Dari Vespa ke Harley-Davidson ke PMD
Membonceng kasih 60 tahun: Dari Vespa ke Harley-Davidson ke PMD
Jika anda terserempak dengan sepasang warga emas yang menaiki alat mobiliti peribadi (PMD) di sekitar kawasan Yishun, kemungkinan besar mereka ialah pasangan suami isteri Encik Awi Ali, 87 tahun, dan isterinya, Cik Salamah Junied, 84 tahun.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin selama enam dekad ini, kenderaan dua roda menjadi simbol perjalanan cinta dan dedikasi mereka yang tidak pernah luntur ditelan zaman.
Zaman berubah, namun semangat mereka tetap sama.
Encik Awi bukanlah asing dalam dunia permotoran. Beliau merupakan ahli veteran dalam kumpulan peminat Harley-Davidson di Singapura yang disertainya sejak 1981.
Minat mendalam terhadap dunia permotoran ini telah membawa pasangan ini mengembara jauh ke serata dunia.
Jika dahulu mereka meniti hari muda dengan membonceng Vespa putih dan kemudiannya motosikal Harley-Davidson, kini PMD menjadi “kenderaan rasmi” untuk Encik Awi menghantar dan menjemput Cik Salamah dari tempat kerjanya di Sekolah Rendah Yishun.
Rutin ini adalah nadi kehidupan mereka – seorang nakhoda yang memastikan permaisuri hatinya dapat terus menabur bakti di bilik darjah.
Cik Salamah bukan sekadar warga emas yang aktif; beliau ialah khazanah hidup dunia pendidikan Singapura.
Sejak mula mengajar pada 1961, minatnya terhadap pendidikan kanak-kanak tidak pernah padam.
Walaupun sudah bersara pada 1996, Cik Salamah hanya mampu bertahan dua tahun di rumah sebelum kembali ke sekolah.
“Saya rindu suara budak-budak. Saya beritahu suami, saya rindu sekolah. Habis, dia terus hantar saya,” ceritanya, yang merupakan ibu kepada empat anak, enam cucu dan dua cicit.
Kehadiran beliau di sekolah sering menjadi tumpuan murid-murid yang berebut untuk bersalaman dengannya.
“Mereka kata saya ada ‘aura nenek’ atau ‘aura ibu’. Guru-guru lain pun kata budak-budak dengan saya kelihatan seperti cucu sendiri,” tambahnya sambil tersenyum.
Kini, pada usia 84 tahun, beliau masih gigih mengajar, membuktikan bahawa “usia pencen” hanyalah angka bagi mereka yang memiliki jiwa besar.
Dedikasi Cik Salamah di bilik darjah turut diiktiraf oleh pengetua sekolahnya, Encik Marvin Chan.
“Cikgu Salamah bukan sahaja membentuk penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya, tetapi juga menyentuh hati rakan-rakan sekerja yang beruntung dapat belajar bersamanya.
“Dengan kasih peribadi dan minat yang mendalam terhadap bahasa, beliau terus menyemai rasa cinta terhadap Bahasa Melayu dalam diri setiap pelajar, yang melangkaui dinding bilik darjah,” ujar Encik Chan.
Sepanjang 65 tahun mengajar, beliau jarang sekali mengambil cuti sakit.
“Arwah bapa saya dulu kalau saya demam sikit, dia kata ‘Pergi sekolah, murid-murid tunggu kau’. Dah kahwin, suami pula ambil alih perangai bapa. Dia kata jangan bagi budak-budak tunggu. Jadi cuti saya selalunya cuti bersalin saja,” selorohnya.
Bagi Cik Salamah, hidup pada usia 84 tahun adalah tentang memberi kasih sayang dan terus belajar. Beliau tidak mahu ketinggalan zaman dan gigih belajar menggunakan komputer serta aplikasi pengangkutan dalam talian.
“Selagi boleh menyumbang, saya akan terus mengajar. Budak-budak inilah yang buat saya rasa muda,” tambah beliau yang mengajar lima kali seminggu di bawah kontrak guru ‘flexi-adjunct’.
Namun, di sebalik keteguhan Cik Salamah di sekolah, Encik Awi adalah tulang belakang yang memastikan segala urusan di rumah berjalan lancar.
Encik Awi, seorang bekas perokok tegar yang telah 20 tahun “bersih” selepas menjalani prosedur jantung (stent), mengambil peranan sebagai ‘suri rumah’ dengan penuh dedikasi.
Setiap pagi seawal 4 pagi, Encik Awi sudah bangun untuk menyiapkan sarapan buat isterinya.
“Dia manja, saya kena siapkan telur tujuh minit dan air suam sebelum dia pergi sekolah pukul 7 pagi. Saya yang buat kerja rumah, masak dan siram pokok. Saya tak mahu dia penat,” kata Encik Awi dengan penuh kasih sayang.
Apabila ditanya apa rahsia mereka berdua masih kuat dan aktif setelah bersama lebih lapan dekad, mereka mula mengongsi bahawa dari segi pemakanan, banyak juga yang mereka teliti.
Misalnya lemak daging dan ayam akan dibuang terlebih dahulu. Mereka tidak gunakan pes-pes segera malah lebih suka masak rempah sendiri rasa keaslian dan demi menjaga kesihatan mereka berdua.
Di samping itu mereka juga menjauhi minuman sejuk atau minuman berais dan hanya mengamalkan air suam atau air panas sahaja.
Memberi pesanan buat generasi muda dalam meniti cabaran hidup dan mengekalkan keharmonian rumah tangga, pasangan itu menekankan bahawa kunci utamanya bukanlah kemewahan, tetapi kekuatan sifat sabar dan toleransi.
“Nasihat saya, hati mahu baik. Kita kena banyak tolak ansur. Jangan terlalu serius atau mudah panik apabila berhadapan dengan masalah,” nasihat Cik Salamah. Beliau percaya bahawa setiap ujian hidup harus dihadapi dengan tenang melalui doa dan istighfar.
“Jangan suka terburu-buru. Bila terima sesuatu yang sukar, fikir dahulu baik dan buruknya. Luahkan perasaan kepada orang yang kita percaya, dan paling utama, sentiasa berdialog dengan Allah. Itulah yang membuatkan jiwa kita tenang,” tambahnya lagi.
Encik Awi pula menambah bahawa kunci kepada kesihatan dan umur yang panjang adalah dengan sentiasa menjaga niat dan hubungan sesama manusia.
“Kita kena husnuzan – sentiasa berbaik sangka. Kalau kita niat baik, insya-Allah pengakhirannya pun baik. Jangan simpan niat jahat kerana nanti yang jahat itu akan berbalik kepada kita,” pesannya ringkas namun penuh makna.
