Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Mak Datin’ 85 tahun: Keanggunan Saloma jadi inspirasi gaya
‘Mak Datin’ 85 tahun: Keanggunan Saloma jadi inspirasi gaya
‘Mak Datin’ 85 tahun: Keanggunan Saloma jadi inspirasi gaya
Apabila Cik Noriah Awang melangkah ke khalayak ramai, mata yang memandang pasti akan tertumpu kepadanya.
Bukan sekadar kerana usianya yang sudah mencecah 85 tahun, tetapi kerana keanggunannya yang seolah-olah tidak disentuh masa.
Dengan kebaya yang dipadankan sempurna dan solekan yang rapi, wanita yang mesra disapa ‘Mak Datin’ ini membawa satu definisi baharu kepada istilah penuaan aktif.
Bagi Cik Noriah, penampilan beliau hari ini adalah cerminan minatnya yang mendalam terhadap estetika klasik sejak zaman mudanya.
Beliau tidak menafikan bahawa cita rasa seninya banyak dipengaruhi oleh ikon biduanita, Puan Sri Saloma.
“Saya memang meminati Saloma. Dari dulu saya tengok cara dia berpakaian, cara dia membawa diri dalam kebaya, semuanya nampak sangat manis dan eksklusif.
“Bagi saya, keanggunan Saloma itu tiada galang gantinya,” kata ibu kepada lima anak itu dan nenek kepada 10 cucu. Beliau juga moyang kepada empat cicit.
Minat terhadap gaya klasik diterjemahkan melalui koleksi peribadinya yang masih terjaga rapi.
Cik Noriah menyimpan banyak koleksi kebaya dan baju kurung yang cantik, setiap satunya mempunyai nilai estetika tersendiri.
Malah, setiap persalinan yang dikenakan tidak lengkap tanpa aksesori tambahan – beliau memadankan bajunya dengan koleksi beg tangan yang cantik.
Bagi Cik Noriah, rutin bersolek dan mengenakan kebaya bukan sekadar untuk mencantikkan diri, tetapi satu cara untuk beliau kekal berdisiplin setiap hari.
“Saya rasa kalau kita tak bersiap, kita rasa cepat tua. Setiap pagi, saya akan pastikan saya bersolek sedikit dan memakai baju yang elok.
“Ia bukan untuk orang lain, tetapi untuk kebahagiaan diri saya sendiri. Bila kita nampak kemas, jiwa kita pun rasa lebih bersemangat,” katanya dengan nada suara yang lembut namun penuh keyakinan.
Di sebalik penampilan yang anggun, rahsia sebenar kecergasan Cik Noriah terletak pada kesihatannya yang amat memberangsangkan.
Di saat ramai rakan sebaya mungkin bergantung kepada ubat-ubatan, Cik Noriah bersyukur kerana beliau tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
Beliau juga masih kuat berjalan tanpa alat bantuan.
Kekuatan fizikal ini membolehkan beliau terus bergerak aktif dan menjaga penampilannya dengan penuh teliti.
Cik Noriah juga sangat mementingkan aspek pergaulan sosial untuk memastikan fikirannya sentiasa cerdas.
Beliau percaya bahawa pada usia 85 tahun, seseorang tidak seharusnya membiarkan diri mereka terasing daripada masyarakat.
“Kita kena selalu campur orang. Saya suka berbual dan berkongsi cerita. Itulah yang buat otak kita sentiasa berjalan,” ujarnya yang seringkali berjumpa dengan kawan-kawan di Habib Family Restaurant di Bukit Batok.
Biarpun mesra dengan gelaran ‘Mak Datin’, Cik Noriah tetap rendah diri dan hanya mahu melalui sisa usianya dengan cara yang paling menggembirakan hatinya.
Bagi beliau, mengekalkan identiti diri melalui penampilan adalah caranya menghargai kurniaan umurnya.
“Saya syukur pada Allah kerana masih diberi kesihatan untuk melihat anak, cucu dan juga cicit membesar.
“Rahsia saya mungkin cuma satu – sentiasa tersenyum dan pastikan kita nampak ‘hidup’. Jangan biarkan usia memadamkan siapa diri kita yang sebenarnya,” pesannya.
