Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan tukang masak tenang hidup berdikari pada usia 81 tahun
Mantan tukang masak tenang hidup berdikari pada usia 81 tahun
Kekuatan dalaman, keluarga harmoni kunci kebahagiaan
Mantan tukang masak tenang hidup berdikari pada usia 81 tahun
Bagi pelanggan setia D’Johara Wedding Palace, nama Cik Johara Bee Bee Ahamed adalah sinonim dengan kelazatan nasi beriani dan ayam masak merah yang sering menjadi pelengkap majlis walimatulurus.
Selama 45 tahun, empayar kateringnya juga menjadi jenama popular yang pernah menguruskan majlis resepsi pasangan selebriti popular, Amar Baharin dan Amyra Rosli, untuk pertemuan bersama peminat mereka di Singapura pada 2016.
Cik Johara juga pernah mengendalikan gerai makan di Pusat Makan Maxwell, D’Johara, dengan menjual masakan Melayu seperti nasi ambeng, lontong dan beraneka mi, bersama anak keduanya, Cik Diyana Mustaffa.
Namun hari ini, pada usianya 81 tahun, Cik Johara sudah menggantung apron perniagaannya untuk mengejar ‘santapan rohani’ dan ketenangan jiwa di sisa usia.
Selepas perniagaan katering yang diusahakannya sejak 1980 tutup pada 2025 sebab ingin rehat, Cik Johara tidak pernah menganggapnya sebagai satu titik akhir.
Malah beliau melakukan perubahan hidup yang mungkin dianggap sukar bagi sesetengah warga emas: beliau memilih untuk berdikari.
Sejak tiga tahun lalu, beliau menetap di sebuah flat sewa di Sembawang yang dihias cukup rapi dan cantik, mencerminkan cita rasa estetikanya yang tidak pernah pudar.
Keputusan itu diambil dengan penuh keikhlasan demi keharmonian keluarga besarnya yang kini merangkumi empat anak, 10 cucu, dan tujuh cicit.
“Saya sudah fikir masak-masak, ada baiknya saya mempunyai ruang sendiri untuk berehat. Bila ada rumah sendiri, saya bebas hendak memasak atau berehat tanpa mengganggu rutin orang lain.
“Sebagai orang tua, saya mahu mengalah demi keselesaan cucu-cucu yang sudah semakin dewasa dan perlukan bilik sendiri.
“Bagi saya, kebahagiaan mereka lebih utama,” ceritanya yang sebelum ini menetap bersama anak ketiganya selama lebih dua dekad.
Kini, di rumah baharunya, Cik Johara menikmati kebebasan untuk mencorak waktu mengikut rentak sendiri.
Beliau menguruskan rutin hariannya dengan penuh disiplin, bermula dengan ibadah seawal jam 4 pagi.
“Pagi biasalah, kadang-kadang sekitar 4 pagi sudah bangun. Kalau saya sihat, saya sembahyang tahajud sampailah subuh. Lepas itu, kalau saya nak keluar jalan, saya keluarlah. Pukul 8 pagi saya sudah keluar pergi pasar atau jumpa kawan-kawan.
“Saya kalau dengan kawan-kawan memang ramai, dari zaman kerja sampai kawan makan angin,” ujar beliau.
Kecekalan Cik Johara teruji apabila beliau terjatuh tahun lalu sehingga mengakibatkan tulang bahu kanannya patah.
Namun, di saat doktor menyarankan pembedahan, beliau memilih kekuatan dalaman sebagai penawar.
Bagi Cik Johara, rahsia ketajaman minda dan ketenangan hati pada usia senja itu terletak pada hubungan dengan Sang Pencipta dan kebersihan serta ketulusan hati.
Beliau tetap gigih menaiki pengangkutan awam sendirian dari Sembawang ke Masjid Al-Khair, di Teck Whye Crescent, setiap Selasa untuk menuntut ilmu agama.
“Lepas subuh kita berdoa pada Allah minta kesihatan. Jauhkan marabahaya, lindungkan kita. Kita minta pada Allah, Allah izinkan insya-Allah.
“Saya juga tak mahu banyak fikir-fikir... apa orang nak cakapkan, saya buat bodoh sudah. Tak nak ingat-ingat lagi, nanti lagi saya sakit kepala, jadi penyakit pula,” ujar beliau.
Walaupun sudah tidak lagi menguruskan katering secara besar-besaran, minat beliau terhadap dunia masakan tetap subur.
Beliau masih membantu anak-anaknya sekiranya ada tempahan khas, namun kini lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan memahami maknanya.
“Saya kalau baca Al-Quran, saya juga akan baca tafsiran bahasa Melayu sekali supaya faham dan dapat memperhalusi apa kita baca,” katanya lagi.
Apabila ditanya mengenai pesanan buat generasi muda dalam meniti cabaran hidup, Cik Johara menekankan kepentingan menjaga hati dan kesabaran yang berteraskan kerohanian.
“Kesabaran itu separuh daripada iman. Jangan kita busuk hati pada orang. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang,” nasihatnya.
