Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbarat ‘enjin’ enggan berhenti: Guru 81 tahun giat mengajar
Ibarat ‘enjin’ enggan berhenti: Guru 81 tahun giat mengajar
Ibarat ‘enjin’ enggan berhenti: Guru 81 tahun giat mengajar
Bagi Cikgu Sies Senan, usia 81 tahun bukan isyarat untuk memperlahankan langkah, sebaliknya masa untuk memacu ‘enjin’ diri dengan lebih ligat.
Meskipun telah bersara sejak 2005, ketajaman memori dan fizikalnya yang masih tegak menjadi bukti bahawa penuaan aktif bukan sekadar teori sahaja.
Di saat rakan sebaya memilih kerusi rehat, warga emas ini masih aktif mengajar empat hari seminggu secara kontrak dan menghabiskan masa di padang golf setiap Khamis.
Bagi beliau, rahsia kesihatannya terletak pada disiplin minda yang enggan dibiarkan ‘karat’.
Kecekalan Cikgu Sies sering mengundang rasa kagum dalam kalangan rakan-rakan, yang sering tertanya-tanya bagaimana beliau masih mampu mengekalkan stamina dan daya tahan untuk mengajar meskipun sudah menjangkau usia lapan dekad.
Membalas kehairanan rakan-rakannya, Cikgu Sies hanya menjelaskan bahawa minatnya untuk mendidik tidak putus dan tidak pernah luntur.
“Saya seronok mengajar. Orang kata ini passion (minat mendalam). Saya bukan bekerja untuk pengetua, saya bekerja untuk pelajar. Setiap kali saya datang ke sekolah, fikiran saya hanya pada anak-anak murid saya,” ujar bapa kepada tiga anak dan datuk kepada lima cucu itu kepada Berita Minggu (BM).
Beliau kini tinggal di flat Jurong West bersama isterinya, Cik Samawiah Ahmat, 74 tahun.
Mula berkhidmat sebagai pendidik sejak 1965, Cikgu Sies kini bertugas di bawah kontrak tahun-ke-tahun di Sekolah Menengah Juying.
Beliau menyifatkan rutin bangun pagi dan interaksi bersama pelajar sebagai senaman terbaik untuk mengelakkan penyakit lupa atau demensia.
“Saya kerja kerana fikir, ‘Esok pukul berapa nak bangun? Apa nak buat?’. Jadi minda selalu berfikir dan berjalan. Kita tidaklah nanti jadi orang pelupa,” tambah beliau yang juga merupakan mantan jurulatih bola sepak termasuk pasukan bola sepak belia nasional pada tahun 1990-an.
Dedikasi Encik Sies di bilik darjah turut diakui oleh Pengetua Sekolah Menengah Juying, Encik Kyris Ang.
Menurut Encik Ang, Encik Sies sumber inspirasi yang sentiasa relevan dengan peredaran zaman.
“Beliau sangat dedikasi dalam menyokong pelajar daripada pelbagai keperluan pembelajaran dengan penuh sabar. Walaupun sudah berpengalaman luas, beliau tetap berfikiran terbuka dan bersemangat untuk belajar daripada guru-guru muda, terutamanya dalam bidang teknologi pendidikan,” ujar Encik Kyris.
Malah, Encik Kyris berkongsi bahawa Encik Sies tidak kekok menggunakan peralatan IT dalam pelajarannya untuk meningkatkan kemahiran lisan pelajar, sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik bagi generasi Z.
“Di luar bilik darjah, Encik Sies juga dikenali dengan sifat pemurahnya yang sedia berkongsi sumber pengajaran, kepakaran, serta pandangan bersama guru-guru muda, yang mencerminkan semangat sebenar pembelajaran sepanjang hayat,” tambah Encik Ang lagi.
Ketabahan Cikgu Sies sebenarnya berakar umbi daripada kepayahan masa muda yang membentuk jati dirinya.
Beliau pernah membanting tulang sebagai buruh kasar mengorek tanah di kawasan Eunos dan menangkap belalang untuk dijual demi sesuap nasi pada zaman remajanya.
Malah, beliau pernah bekerja sebagai tukang kebun di rumah pegawai British untuk membeli sebuah basikal bagi berulang-alik ke sekolah.
“Dulu saya cuci longkang dan sabit rumput. Sebulan dapat $10. Daripada duit itulah saya beli basikal secara ansuran, bayar $5 sebulan. Kalau orang malas, kita tak akan ke mana-mana. Semangat itulah yang saya bawa sampai sekarang untuk kekal cergas,” katanya.
Meskipun kini menghidapi masalah saraf sciatica pada tulang belakang, Cikgu Sies enggan menyerah kalah.
Beliau memilih untuk menguruskan kesihatannya melalui senaman regangan yang dipelajarinya sendiri.
“Doktor syorkan pembedahan, tapi saya tak yakin. Saya buat stretching sendiri untuk kurangkan sakit. Bila main golf dengan kawan, kita lupa (sakit). Hidup mesti ada semangat. Kalau tak, badan ada, tapi jiwanya sudah tiada,” singkapnya yang juga aktif melakukan kerja amal seperti membina tadika di Batam dan masjid di Kemboja melalui acara golf amal.
Di sebalik kecergasan fizikalnya, Cikgu Sies juga memegang teguh prinsip untuk tidak membebankan sesiapa.
Walaupun anak-anaknya sudah berjaya menjawat jawatan tinggi – termasuk sebagai pedagang kewangan dan komander pasukan penyelamat – beliau enggan bergantung harap kepada mereka secara kewangan.
“Saya memang sudah putuskan dari dulu yang saya tak mahu bergantung pada anak-anak. Saya beri mereka pendidikan supaya mereka boleh berdikari.
“Sekarang, saya ada gaji sendiri, ada simpanan sendiri. Kesihatan lebih penting daripada duit. Kita banyak duit tapi kalau tak sihat, kita tak boleh buat apa-apa.”
Nasihatnya kepada warga emas lain secara ringkas:
“Cari aktiviti dan teruskan berkawan. Pastikan minda kita tetap ada tujuan dan semangat untuk terus aktif.”
