Topik diikuti
Pergi ke BHkuHaji 2026: Kumpulan terakhir warga S’pura selamat sampai di Saudi
Haji 2026: Kumpulan terakhir warga S’pura selamat sampai di Saudi
Faishal: Sokongan berterusan kedutaan, kementerian Arab Saudi permudah urusan jemaah
Haji 2026: Kumpulan terakhir warga S’pura selamat sampai di Saudi
Kumpulan jemaah haji terakhir Singapura bagi musim 2026 – sekitar 300 orang – telah selamat tiba di Madinah pada dinihari 14 Mei.
Menurut laman web, Flightradar, rombongan itu mendarat pada 6.08 pagi, waktu Arab Saudi.
Mereka menyusul dua kumpulan jemaah haji setempat yang telah berangkat ke Arab Saudi pada 9 Mei dan 12 Mei.
Ini bermakna kesemua 900 anggota jemaah haji Singapura sudah selamat tiba di Tanah Suci.
Sebagaimana yang dilakukannya pada 9 Mei, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah bertemu kumpulan jemaah itu di Lapangan Terbang Changi sejurus sebelum mereka berangkat pada awal pagi 14 Mei.
Bercakap kepada wartawan yang hadir, Dr Faishal berkata, dua kumpulan pertama seramai 600 orang yang telah tiba di Arab Saudi terlebih dahulu berada dalam keadaan sihat.
Beliau melahirkan penghargaan kepada Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) yang telah pergi ke Arab Saudi lebih awal serta ejen pelancongan yang telah bekerja rapat untuk menjaga kebajikan, keselamatan dan keperluan jemaah di sana.
Menyertai Dr Faishal di Lapangan Terbang Changi pada lewat 13 Mei ialah Duta Kerajaan Arab Saudi ke Singapura, Encik Mohammad Abdullah S. Al Ghamdi.
Menurut Dr Faishal, sokongan berterusan kedutaan Arab Saudi serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mempermudahkan urusan jemaah setempat.
“Kerjasama mereka amat penting dalam memastikan kelancaran ibadah haji bagi jemaah kita,” kata Dr Faishal, yang juga ketua rombongan haji 2026 dan dijadual berangkat ke Arab Saudi tidak lama lagi.
Di Tanah Suci, Dr Faishal akan ditemani Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohammad Azree Rahim, yang selaku Pengarah Pejabat Haji dan SPAO, akan memantau operasi dan sokongan bagi jemaah Singapura.
“Saya menantikan peluang untuk bertemu jemaah dan bekerja rapat dengan SPAO, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), dan ejen pelancongan dalam memastikan perjalanan ini berjalan dengan lancar,” kongsi Dr Faishal.
Turut hadir menghantar jemaah pada 13 Mei ialah Presiden Muis, Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Encik Azree.
Musim haji 2026 berlangsung di tengah-tengah perang di Timur Tengah yang tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.
Wartawan yang berada di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 13 Mei dapat rasakan suasana syahdu dakapan dan tangisan memenuhi ruang pelepasan, apabila ratusan anggota keluarga dan sahabat handai hadir untuk menghantar sekitar 300 anggota jemaah haji.
Mereka yang menaiki penerbangan Saudia Airlines SV857 itu berdaftar dengan tujuh ejen penjualan (GSA) pakej haji, iaitu Hagel Travel & Tours; Hahnemann Travel & Tours; Halijah Travels; Jalaluddin Travel & Services; Noor Mohamad Services & Travel; Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.
Sebelum ini, dua kumpulan dengan 600 anggota jemaah telah selamat berangkat dan tiba di Tanah Suci pada 9 Mei dan 12 Mei, dengan menaiki pesawat Saudia Airlines juga.
Ini merupakan kali pertama penerbangan kesemua jemaah haji Singapura ke Arab Saudi diselaraskan sebegini.
Penerbangan pulang ke Singapura – dari Jeddah pada 1, 5 dan 8 Jun – juga telah diselaraskan dengan cara serupa.
Pada tahun-tahun sebelumnya, jemaah berangkat dan pulang mengikuti rombongan GSA secara tersendiri.
Dalam satu kenyataan media pada 9 Mei lalu, Muis berkata pendekatan terkini itu akan membolehkan penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih baik dan operasi haji yang lebih cekap.
Dr Faishal berkata beliau menghargai usaha Muis, yang telah bekerja rapat dengan syarikat penerbangan Saudia Airlines untuk mengaturkan tiga penerbangan langsung ke Madinah pada musim haji kali ini.
Ini memberikan lebih keselesaan dan kemudahan kepada jemaah Singapura, tambahnya.
Selain penerbangan yang diselaraskan, buat julung-julung kali, jemaah juga menerima Kad Nusuk mereka dan mengaktifkannya di Singapura sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menurut Muis, ini membantu memperkemas proses semasa ketibaan di Arab Saudi dan menyokong pengalaman yang lebih lancar bagi jemaah.
Kad Nusuk merupakan kad pengenalan rasmi bagi jemaah haji. Ia mengandungi maklumat peribadi yang penting, serta menyokong akses ke tapak suci, urusan penginapan, dan pengangkutan sepanjang tempoh haji.
Dalam pada itu, lebih 90 peratus jemaah haji juga telah menyertai acara Program Sihat Untuk Haji atau Get Fit For Haj (GFH) 2026 yang membuka tirainya pada Januari lalu.
GFH merupakan program tiga bulan, dengan jemaah haji menyertai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran GSA dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang merangkumi ceramah kesihatan, senaman dan pemeriksaan kesihatan.
Pada 12 April lalu, seramai 900 anggota jemaah telah menyertai kegiatan berjalan pantas sejauh 2.4 kilometer dengan mengelilingi padang Our Tampines Hub (OTH), yang merupakan satu bentuk “persiapan fizikal penting bagi menempuhi ibadah haji yang mencabar”, ujar Muis.
