Persiapan awal telah dilakukan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji Singapura yang menunaikan ibadah pada 2026.

Menjelaskan demikian, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menghantar kumpulan pertama jemaah haji Singapura di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 8 Mei, berkata:

“Persediaan jemaah telah dimulakan lebih awal dan secara berterusan selama beberapa bulan.

“Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), Kementerian Ehwal Luar (MFA), ejen pelancongan, pasukan perubatan dan rakan kongsi kami telah bekerja rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menyokong anggota jemaah haji kita,” ujar beliau, yang juga memimpin delegasi Singapura bagi mengerjakan ibadah haji 2026.

Antara persediaannya termasuk memastikan jemaah menerima dan mengaktifkan Kad Nusuk di Singapura sebelum bertolak ke Arab Saudi bagi melancarkan proses ketibaan mereka, tambah Dr Faishal.

“Buat kali pertama tahun ini (2026), jemaah haji Singapura akan menerima dan mengaktifkan Kad Nusuk mereka di Singapura sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Kad rasmi ini memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan haji termasuk urusan penginapan dan pengangkutan, serta membantu melancarkan proses ketibaan mereka di Arab Saudi,” jelasnya.

Ini merupakan kali pertama jemaah haji Singapura menerima kad pengenalan pintar tersebut yang mengandungi butiran peribadi termasuk nama, negara asal dan nombor pasport sebelum berlepas.

Sebelum ini, kad tersebut – yang merupakan dokumen rasmi dan diperlukan oleh semua jemaah haji di seluruh dunia – dikeluarkan di Arab Saudi.

Sekitar 300 anggota jemaah haji telah berangkat ke Tanah Suci sekitar 2.30 pagi pada 9 Mei, dan mereka berangkat bersama tujuh ejen penjualan (GSA) pakej haji.

Tujuh GSA ini adalah Hagel Travel & Tours; Hahnemann Travel & Tours; Halijah Travels; Jalaluddin Travel & Services; Noor Mohamad Services & Travel; Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.

Turut hadir untuk menghantar anggota jemaah haji adalah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at A. Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis dan Pengarah Pejabat Haji SPAO, Encik Mohammad Azree Rahim.

Suasana di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi menjadi semakin meriah menjelang 8 malam, pada 8 Mei.

Kopitiam @ T3 Public di Aras Bawah Tanah 2 di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi turut dipenuhi anggota keluarga yang berkumpul untuk menjamu selera bersama sebelum naik ke balai pelepasan.

Tangisan, pelukan erat dan pesanan ringkas kedengaran memenuhi ruang pelepasan ketika ahli keluarga memanfaatkan peluang untuk mengiringi insan tersayang sebelum mereka menaiki penerbangan Saudia Airlines SV857.

Suasana di balai pelepasan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi tambah meriah pada malam 8 Mei, dengan anggota keluarga memanfaatkan peluang dalam mendakap erat anggota jemaah haji sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Suasana di balai pelepasan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi tambah meriah pada malam 8 Mei, dengan anggota keluarga memanfaatkan peluang dalam mendakap erat anggota jemaah haji sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Dalam pada itu, kumpulan jemaah haji Singapura 2026 berangkat secara berperingkat melalui tiga penerbangan berasingan.

Kumpulan pertama dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 9 Mei, 6.30 pagi waktu Arab Saudi, disusuli kumpulan kedua pada 12 Mei dan kumpulan terakhir pada 14 Mei.

Buat kali pertama juga, semua jemaah akan berangkat dan pulang secara berjadual melalui tiga penerbangan langsung ke dan dari Arab Saudi.

Menurut Muis dalam satu kenyataan media pada 9 Mei, kepulangan jemaah ke tanah air dari Jeddah dijadualkan pada 1, 5 dan 8 Jun, sekitar 3.30 petang waktu Singapura.

Secara keseluruhan, kuota rasmi jemaah haji Singapura bagi musim ini adalah 900 tempat.

Perkembangan ini hadir di tengah-tengah usaha mengetatkan syarat kesihatan oleh pihak Arab Saudi bagi musim haji 2026, yang memerlukan semua bakal jemaah bebas daripada penyakit berjangkit serta mempunyai keupayaan fizikal untuk melaksanakan ibadah secara berdikari.

Pada satu sidang media pada 24 Oktober 2025, Muis telah memaklumkan bahawa semua jemaah perlu mendapatkan sijil kesihatan daripada doktor bagi mengesahkan mereka tidak menghidap penyakit kronik seperti masalah jantung atau buah pinggang sebelum menunaikan haji.

Susulan itu, Jawatankuasa Fatwa turut menjelaskan jemaah yang tidak diberikan visa atas faktor kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah haji sehingga keadaan mereka pulih.

Sementara itu, umat Islam di Singapura dijangka menyambut Hari Raya Haji pada 27 Mei ini.

Dengan dua lagi kumpulan jemaah haji bakal berangkat pada 12 dan 14 Mei, Dr Faishal menghargai sokongan yang diberikan kepada anggota jemaah haji.

“Minggu hadapan, dua lagi penerbangan akan membawa 600 jemaah haji ke Tanah Suci. Saya menantikan peluang untuk bertemu dengan jemaah kita serta keluarga mereka.”

“Semoga jemaah haji kita sentiasa selamat dan sihat sejahtera serta dapat menunaikan haji dengan sempurna insya-Allah.”