Ulang tahun Encik Razale Said yang ke-64 membawa makna yang cukup istimewa baginya.

Pada 9 Mei, beliau bukan sahaja menyambut hari lahir tetapi berangkat ke Madinah, Arab Saudi, untuk menunaikan ibadah haji.

Rukun Islam kelima itu dikerjakan bersama isterinya, Cik Rashidah Bakar, 59 tahun, dan anak keduanya, Encik Muhammad Luqman Razale, 37 tahun.

Menyifatkan detik tersebut sebagai satu hadiah hari jadi paling berharga, datuk dua cucu yang bertugas sebagai kerani itu memberitahu Berita Minggu (BM): “Saya rasa bersyukur kerana mungkin Tuhan memang ingin berikan (peluang menunaikan ibadah haji) ini pada hari lahir saya.

“Pada saya, ini memang penuh bermakna dan perasaan ini saya rasa bersama anggota jemaah lain.

“Ini pun sesuatu yang bukan jangkauan kita… kalau sudah ditetapkan bila dan mana, itulah masa yang kita pergi.”

Selepas menunggu lebih sedekad sejak mendaftar bagi haji pada Disember 2013, keluarga itu akhirnya menerima Surat Hasrat (LOI) pada lewat 2025 selepas beberapa kali tidak berjaya mendapat tempat disebabkan kuota terhad.

Menjelang keberangkatan ke Arab Saudi, mereka sekeluarga turut melalui pelbagai persiapan yang disusun oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) pakej haji bagi memastikan mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

Ini termasuk menghadiri sesi senaman dan berjalan kaki bagi membina ketahanan fizikal dalam Program Sihat Untuk Haji atau Get Fit For Haj (GFH) demi melaksanakan ibadah seperti tawaf, selain taklimat berkaitan logistik serta keselamatan sepanjang di Tanah Suci.

“Saya rasa sistem yang kita ada di Singapura begitu sistematik, teratur, dan apa yang paling diutamakan ialah keselamatan kita ketika berada di sana.

“Saya rasa Kementerian Ehwal Luar (MFA) juga akan terus memantau keadaan di sana, apatah lagi memikirkan situasi di rantau tersebut kini,” kongsi beliau.

Encik Razale sekeluarga merupakan antara 61 anggota jemaah yang menunaikan ibadah Haji bersama Hagel Travels & Tours pada 9 Mei.

Bagi Encik Muhammad Luqman, peluang mengerjakan haji selepas lebih sedekad menunggu dianggap undangan Ilahi yang tidak disangka.

Sambil menahan sebak, anak kedua dalam empat beradik itu berkata:

“Ini benar-benar sangat menyentuh hati saya… macam ‘Ya Allah, aku tengah tunggu panggilan-Mu.’”

“Saya pergi bersama ibu bapa saya. Ini ibarat rahmat dan hadiah paling besar yang akan saya simpan selamanya kerana ini hanya sekali seumur hidup.”

“Saya hanya berharap semuanya dipermudahkan dan tiada apa-apa yang buruk berlaku.”

Tambah beliau, pengalaman ini turut memberi ruang untuk dirinya membalas jasa ibu bapanya yang banyak berkorban selama ini.

“Ini masa untuk saya beri balik kepada mereka. Bawa mereka makan, luangkan masa bersama mereka, dan biarkan saya pula membalas jasa mereka,” katanya.

“Ini adalah detik paling besar dalam hidup saya,” kata bapa seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota jemaah yang ditemui BH, Encik Muhamad Sabar Adam, berkata faktor tempoh menunggu menjadi antara faktor utama mereka merancang lebih awal sebagai sebuah keluarga.

Ketika itu, ketiga-tiga anaknya masing-masing masih kecil, berusia 10, lapan dan enam tahun, dengan anak bongsu masih di peringkat tadika.

Bagi pasangan suami isteri Encik Muhamad Sabar Adam (kanan) dan Cik Suriah Abdul Rahman (kiri), keputusan mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka bagi ibadah haji pada 2013 merupakan satu perancangan awal keluarga memandangkan tempoh menunggu yang panjang. Turut kelihatan adalah anak-anak mereka iaitu (dari kiri) Cik Nur Adilah Nasuha Muhamad Sabar; Encik Nur Alif Mirza Muhamad Sabar; dan Cik Nur Atikah Amirah Muhamad Sabar.
Bagi pasangan suami isteri Encik Muhamad Sabar Adam (kanan) dan Cik Suriah Abdul Rahman (kiri), keputusan mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka bagi ibadah haji pada 2013 merupakan satu perancangan awal keluarga memandangkan tempoh menunggu yang panjang. Turut kelihatan adalah anak-anak mereka iaitu (dari kiri) Cik Nur Adilah Nasuha Muhamad Sabar; Encik Nur Alif Mirza Muhamad Sabar; dan Cik Nur Atikah Amirah Muhamad Sabar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mereka sekeluarga berdaftar pada 2013, dan merupakan antara 53 anggota jemaah yang akan menunaikan ibadah haji bersama TM Fouzy Travel & Tours pada 9 Mei.

“Kami merancang awal kerana pada waktu itu, kami sudah dimaklumkan tempoh mendapat giliran adalah sangat lama.

“Oleh itu, kami membuat keputusan mendaftar awal sebagai satu keluarga, walaupun ketika itu anak kami masih di peringkat tadika.

“Kami hanya berserah kepada Allah kerana pada masa itu kami sendiri tidak pasti bila giliran kami akan tiba,” ujarnya, yang berusia 51 tahun.

Anak bongsunya, Encik Nur Alif Mirza Muhamad Sabar, 18 tahun, berkata:

“Ibu bapa kami telah mendaftarkan kami semua pada 2013, dan ketika itu saya di Tadika 2 (K2). Sepanjang tahun-tahun itu, mereka sentiasa mengingatkan kami untuk berdoa agar kami dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan bertuah kerana diundang menunaikan ibadah haji pada usia yang muda.

“Ini juga memberi saya peluang untuk berkhidmat dan membantu anggota jemaah lain secara fizikal, insya-Allah,” ujarnya, seorang lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.