Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbadah korban S’pura dapat sambutan meski keadaan tidak menentu
Ibadah korban S’pura dapat sambutan meski keadaan tidak menentu
Minat masyarakat Islam setempat yang berterusan mungkin didorong oleh harga kompetitif
Ibadah korban S’pura dapat sambutan meski keadaan tidak menentu
Sambutan terhadap ibadah korban yang diadakan secara langsung di beberapa tempat di sini, di bawah naungan SalamSG tetap mendapat sambutan memberangsangkan, meskipun keadaan sejagat yang tidak menentu pada masa kini.
Beberapa masjid dan penyedia perkhidmatan korban yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi bahawa masyarakat Islam di sini terus melahirkan minat berterusan terhadap pelaksanaan ibadah korban secara langsung di sini.
Pegawai Dakwah Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukman Hakeem Ahmad, berkata permintaan kambing korban di masjid itu meningkat pada 2026 berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, berdasarkan jumlah kambing yang terjual pada 2025 adalah sebanyak 196 ekor, manakala pada 2026, sebanyak 250 ekor telah habis dijual.
Malah, kesemua 250 slot tempahan itu telah dipenuhi sejak awal Mei, tambah beliau.
Masjid itu merupakan salah satu daripada tujuh masjid di Singapura yang menjalankan ibadah korban secara langsung di bawah naungan SalamSG.
Enam lagi masjid itu ialah Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris; Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang, Masjid Pusara Aman di Lim Chu Kang; Masjid Petempatan Melayu di Sembawang; Masjid Tentera Diraja di Clementi; dan Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road.
Menurut Ustaz Lukman, keadaan itu memperlihatkan kecenderungan masyarakat Islam untuk melaksanakan ibadah korban secara langsung di Singapura.
“Segala urusan daripada tempahan hingga proses pengagihan kini dikendalikan oleh syarikat vendor yang dilantik, sekali gus mengurangkan beban pengurusan (proses korban) pihak masjid sehingga sekitar 70 peratus,” katanya lagi.
“Vendor juga mempunyai rangkaian pembekalan haiwan yang luas, sekali gus melancarkan urusan pembelian sehingga tempahan habis diambil dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.
Syarikat Aliyah Rizq Holdings (ARH), yang merupakan vendor ibadah korban 2026 bagi masjid itu, berkongsi kesemua 250 kambing di masjid itu telah habis ditempah sejak tempahan korban bagi kesemua masjid dibuka pada 9 April.
Selain Masjid Omar Salmah, ARH turut mengendalikan ibadah korban di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, yang menawarkan sehingga 350 ekor kambing atau domba (kibas), serta Masjid Tentera Diraja dengan 200 ekor kambing atau domba (kibas) juga.
Kesemua slot korban bagi ketiga-tiga masjid tersebut telah pun dipenuhi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ARH, Encik Ashraf Bakar, berkata sambutan memberangsangkan itu mungkin didorong oleh harga yang kompetitif selain pengalaman syarikat tersebut mengendalikan korban secara langsung di Singapura sejak beberapa tahun lalu.
“Sambutan yang baik pada tahun ini mungkin disebabkan harga yang kami tawarkan antara paling rendah di pasaran, selain masyarakat sudah mengenali pengalaman kami dalam mengendalikan ibadah korban secara langsung di Singapura,” katanya.
Harga yang ditetapkan bagi setiap kambing dan domba (kibas) di bawah syarikat itu adalah $597.
Syarikat pengelola korban, The Meat Brothers Pte Ltd, turut menyaksikan peningkatan dalam sambutan terhadap ibadah korban secara langsung di sini.
2026 merupakan kali pertama ia dilantik sebagai vendor bagi melaksanakan dan mengagihkan daging korban di sini.
Syarikat itu mengelolakan khidmat korban di Masjid Al-Firdaus, Masjid Pusara Aman dan Masjid Petempatan Melayu.
Salah seorang rakan kongsi syarikat The Meat Brothers, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, berkata sekitar 50 peratus daripada sasaran sebanyak 850 slot tempahan telah dicapai setakat ini.
“Ini merupakan pencapaian yang menggalakkan, khususnya dalam keadaan cabaran sosioekonomi global yang sedang dihadapi masyarakat pada masa ini,” kata Ustaz Muhammad Imran.
Pengalaman sulung itu, tambah beliau, dapat menjadi asas kukuh untuk terus berkembang dan mempertingkatkan khidmat kepada masyarakat pada masa hadapan.
Beliau akur bahawa wujudnya kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara disebabkan faktor kos yang lebih rendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, golongan yang memerlukan di Singapura juga tidak seharusnya diketepikan.
“Walaupun niat untuk membantu mereka yang memerlukan di luar sempadan adalah mulia, kami ingin mengingatkan bahawa mereka yang paling rapat atau yang tinggal berhampiran dengan kita, iaitu di dalam masyarakat kita sendiri, juga tidak harus dilupakan.
“Selain itu, kami percaya bahawa melaksanakan korban secara langsung di sini membawa manfaat yang lebih mendalam – ia bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah, malah turut menjadi pengalaman pembelajaran yang bermakna buat diri sendiri dan keluarga.
“Menyaksikan proses sembelihan secara langsung juga berpotensi mendekatkan seseorang kepada makna sebenar ibadah korban itu sendiri,” katanya.
Bagi The Meat Brothers, setiap domba (kibas) ditawarkan pada harga $655.
Korban secara langsung turut dilaksanakan di Masjid Jamae Chulia buat julung-julung kalinya pada 2026 menerusi kerjasama dengan Agro Master Pte Ltd.
Rakan kongsi syarikat itu, Encik Nizari Eunos, berkata sekitar 50 domba (kibas) telah habis ditempah dan menjangkakan jumlah penyertaan akan terus meningkat menjelang penutupan tempahan.
Harga bagi setiap ekor ditetapkan pada $665.
