Topik diikuti
Pergi ke BHkuTikus hanta(r)virus: Jarang berlaku tapi tetap bahaya
Tikus hanta(r)virus: Jarang berlaku tapi tetap bahaya
Manusia boleh dijangkiti apabila sedut partikel halus di udara yang berasal daripada air kencing, najis atau air liur haiwan yang dijangkiti
Tikus hanta(r)virus: Jarang berlaku tapi tetap bahaya
Hantavirus dan Risiko Jangkitan
Hantavirus ialah sekumpulan virus yang disebarkan oleh tikus dan haiwan kecil lain yang boleh menyebabkan penyakit serius serta berpotensi membawa maut kepada manusia.
Manusia boleh dijangkiti apabila menyedut partikel halus di udara yang berasal daripada air kencing, najis atau air liur haiwan yang dijangkiti.
Dalam kes tertentu, jangkitan juga boleh berlaku melalui gigitan haiwan yang dijangkiti atau apabila seseorang menyentuh permukaan tercemar sebelum menyentuh muka.
Kegiatan yang melibatkan pendedahan kepada haiwan perosak meningkatkan risiko jangkitan, termasuk membersihkan ruang tertutup atau kurang pengudaraan, kerja pertanian, perhutanan, serta tidur di tempat yang dipenuhi tikus.
Terdapat dua sindrom utama berkaitan hantavirus.
Yang pertama ialah Demam Berdarah Dengan Sindrom Renal (HFRS) yang menjejas ginjal dan banyak berlaku di Asia serta Eropah.
Sindrom kedua ialah Sindrom Pulmonari Hantavirus (HPS), juga dikenali sebagai Sindrom Kardiopulmonari Hantavirus (HCPS), iaitu penyakit pernafasan serius yang lebih banyak berlaku di benua Amerika.
Kadar Jangkitan Hantavirus Di Dunia dan Asia Tenggara
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 10,000 dengan 100,000 jangkitan hantavirus berlaku setiap tahun di seluruh dunia, dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Asia dan Eropah.
Di Asia Timur, khususnya di China dan Korea Selatan, ribuan kes HFRS dilaporkan setiap tahun walaupun jumlah kes berkurang dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Di Asia Tenggara pula, hantavirus tidak banyak dilaporkan tetapi ia tidak boleh dipandang ringan.
Satu analisis meta bagi 2026 yang diterbitkan dalam jurnal Penyakit Tropika Terabai PLOS melibatkan 28 kajian dan lebih 11,800 haiwan kecil di Asia Tenggara, ia mendapati kadar hantavirus dalam kalangan tikus adalah sekitar 6.07 peratus.
Kadar lebih tinggi dicatat di Singapura sebanyak 10.53 peratus dan Indonesia 17.49 peratus.
Walaupun penyakit ini boleh menjadi serius, jangkitan hantavirus masih dianggap jarang berlaku, terutama di kawasan bandar yang mempunyai kawalan kesihatan awam yang baik.
Di Singapura, hantavirus dikategorikan sebagai penyakit yang amat jarang berlaku.
Gejala awal jangkitan hantavirus
Gejala awal biasanya muncul antara satu dengan lapan minggu selepas pendedahan dan sering menyerupai selesema.
Antara gejala awal termasuk demam, keletihan, sakit otot yang teruk terutama di paha, pinggul dan belakang badan, sakit kepala, pening, menggigil, loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Fasa awal ini biasanya berlangsung antara tiga dengan tujuh hari.
Hantavirus menjadi berbahaya apabila komplikasi serius berlaku selepas fasa awal jangkitan.
Hantavirus boleh menyebabkan dua jenis sindrom.
Gejala Demam Berdarah Dengan Sindrom Renal (HFRS) boleh muncul satu hingga dua minggu selepas pendedahan.
Dalam HFRS, pesakit boleh mengalami tekanan darah rendah, gangguan pendarahan dan kegagalan ginjal.
Yang kedua ialah Sindrom Pulmonari Hantavirus (HPS).
Dalam keadaan ini, empat hingga 10 hari selepas gejala awal muncul, pesakit boleh mengalami masalah pernafasan serius secara tiba-tiba seperti batuk teruk, sesak nafas akut dan edema pulmonari atau pengumpulan cecair dalam paru-paru.
Setakat ini, tiada ubat antivirus khusus yang diluluskan untuk merawat hantavirus.
Oleh itu, rawatan bergantung kepada penjagaan sokongan intensif seperti bantuan oksigen, ventilator dan bagi menstabilkan tekanan darah.
Risiko Bahaya Hantavirus dan Kesan Terhadap Paru-paru
Hantavirus dianggap berbahaya kerana penyakit ini boleh menjadi serius dan membawa maut dengan cepat apabila memasuki fasa kritikal.
Jangkitan ini boleh menyebabkan keradangan dan pengumpulan cecair dalam paru-paru sehingga mencetuskan sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS).
Keadaan ini boleh menyebabkan kejutan pada tubuh dan kegagalan pelbagai organ.
Sindrom Pulmonari Hantavirus (HPS) boleh membawa maut.
Hantavirus Lebih Berbahaya Kepada Golongan Tertentu
Walaupun hantavirus boleh menjangkiti sesiapa sahaja termasuk individu yang sihat, terdapat beberapa kumpulan yang mempunyai risiko lebih tinggi.
Bagi individu yang mudah terdedah, sesetengah jenis hantavirus boleh mencetuskan tindak balas imun yang kuat di paru-paru sehingga menyebabkan keradangan, pengumpulan cecair dan masalah pernafasan yang cepat menjadi serius.
Golongan yang bekerja dalam persekitaran berisiko seperti petani, pekerja perhutanan, pekerja pembinaan di kawasan luar bandar, anggota tentera yang menjalani latihan di lapangan, dan pekerja kawalan perosak mempunyai risiko lebih tinggi kerana kerap terdedah kepada kawasan dipenuhi tikus.
Mereka yang berkhemah atau mendaki di kawasan perlindungan atau laluan yang menjadi tempat tikus bersarang juga berisiko dijangkiti.
Dari segi tahap keseriusan penyakit, individu yang mempunyai sistem imun lemah, warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru mungkin kurang mampu menghadapi komplikasi pernafasan atau peredaran darah yang serius jika dijangkiti.
Merebak Melalui Persekitaran Tercemar
Cara utama hantavirus merebak ialah melalui penyedutan partikel halus di udara yang tercemar dengan virus.
Apabila tikus yang dijangkiti membuang air kecil atau najis, virus boleh tersebar ke udara terutama apabila habuk terganggu di ruang tertutup atau kurang pengudaraan seperti bangsal, gudang, kabin atau tempat simpanan.
Membersihkan bilik yang pernah didiami tikus tanpa perlindungan yang sesuai juga boleh menyebabkan jangkitan.
Sentuhan secara langsung dengan tikus, bahan sarang tikus atau gigitan haiwan itu juga boleh menyebarkan virus.
Virus ini juga boleh terus hidup di persekitaran selama beberapa minggu.
Ini bermakna seseorang tidak perlu berada berhampiran tikus ketika dijangkiti.
Menyentuh permukaan yang tercemar dan kemudian menyentuh mulut atau hidung juga boleh menyebabkan jangkitan.
Penularan Hantavirus Antara Manusia Masih Jarang Berlaku
Bagi kebanyakan jenis hantavirus, penularan daripada manusia kepada manusia belum pernah dibuktikan.
Ini merupakan satu jaminan penting kepada orang ramai di Asia.
Walaupun hantavirus biasanya tidak merebak antara manusia, satu spesies dikenali sebagai virus Andes di beberapa kawasan di Amerika Selatan pernah dikaitkan dengan penularan antara manusia.
Cara penularan bagi kes yang dikaitkan dengan kapal persiaran, ‘MV Hondius’, masih dalam siasatan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kemungkinan penularan daripada manusia kepada manusia tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
Setakat ini, risiko berlakunya wabak hantavirus di Asia masih dianggap sangat rendah.
Tikus penyebar hantavirus; rawatan atau vaksin khusus
Tikus dan haiwan perosak lain merupakan pembawa semula jadi hantavirus.
Hantavirus biasanya tidak menyebabkan gejala pada tikus yang dijangkiti.
Ini bermakna tiada tanda jelas menunjukkan seekor tikus membawa virus tersebut.
Pada masa ini, belum ada vaksin hantavirus yang diluluskan secara meluas untuk kegunaan umum.
Tiada vaksin khusus bagi virus Andes atau HPS yang diluluskan di Singapura, Eropah, Amerika Syarikat atau Amerika Latin.
Selain itu, tiada ubat antivirus khusus yang diluluskan untuk merawat hantavirus.
Rawatan yang diberikan bergantung kepada penjagaan sokongan dan rawatan di hospital jika diperlukan.
Langkah pencegahan dan pengesanan awal amat penting dalam mengurangkan risiko jangkitan hantavirus.
Kadar kematian jangkitan
Kadar kematian berbeza mengikut jenis sindrom dan lokasi geografi.
Walaupun jangkitan hantavirus agak jarang berlaku di seluruh dunia, penyakit ini mempunyai kadar kematian antara kurang 1 peratus dengan 15 peratus di Asia dan Eropah, dan boleh mencecah sehingga 50 peratus di benua Amerika.
Kelompok virus Andes di kapal persiaran pada 2026 mencatat kadar kematian sekitar 38 peratus.
Bagaimanapun, kes serius secara keseluruhannya masih jarang berlaku dan pengesanan awal serta rawatan sokongan intensif yang cepat boleh meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.
Langkah pencegahan
Langkah pencegahan utama tertumpu kepada mengurangkan sentuhan dengan tikus dan persekitaran yang mungkin tercemar.
Antara langkah penting termasuk menutup lubang dan ruang yang membolehkan tikus memasuki rumah; menyimpan makanan dalam bekas kalis tikus; memastikan rumah bersih dan tidak berselerak; menggunakan perangkap atau mendapatkan bantuan kawalan perosak di kawasan yang mempunyai tikus; serta mengelakkan menyentuh tikus hidup atau mati tanpa sarung tangan dan pelitup muka.
Ketika membersihkan kawasan yang pernah dimasuki tikus, elakkan menyapu atau menggunakan vakum kaedah kering kerana ia boleh menyebabkan partikel tercemar tersebar ke udara.
Sebaliknya, kawasan itu perlu dibasahkan terlebih dahulu menggunakan cecair pembasmi kuman seperti peluntur yang dicairkan sebelum dibersihkan dan dibuang dalam beg plastik tertutup.
Gunakan sarung tangan, kasut bertutup dan sebaik-baiknya pelitup N95 ketika membersihkan kawasan tersebut.
Mereka yang melawat atau pulang dari kawasan yang mempunyai kes aktif HPS juga disarankan lebih berwaspada.
Perbezaan hantavirus dan Covid-19
Hantavirus dan Covid-19 kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit pernafasan serius, tetapi kedua-duanya sangat berbeza dari segi biologi, cara penularan dan skala jangkitan.
Covid-19 disebabkan oleh virus SARS-CoV-2, iaitu sejenis koronavirus yang mudah merebak antara manusia melalui titisan pernafasan dan partikel halus di udara.
Hantavirus pula ialah penyakit zoonosis yang merebak daripada tikus kepada manusia dan kebanyakan jenisnya tidak merebak antara manusia.
Covid-19 muncul sebagai patogen baharu tanpa kekebalan sedia ada dalam kalangan manusia sehingga menyebabkan penularan di peringkat sejagat.
Hantavirus pula sudah wujud dalam kalangan haiwan selama ribuan tahun dan jangkitan kepada manusia berlaku secara terpencil dari semasa ke semasa.
Skala kesan kedua-dua penyakit ini juga sangat berbeza.
Covid-19 telah menjangkiti ratusan juta manusia di seluruh dunia, manakala hantavirus dianggarkan menyebabkan antara 10,000 dengan 100,000 jangkitan setiap tahun.
Walaupun serius, penularannya lebih terhad kepada kawasan tertentu.
Perbezaan Kesan Hantavirus dan Covid-19 Terhadap Paru-paru
Covid-19 biasanya bermula dengan demam atau menggigil, sakit tekak, hidung tersumbat, keletihan dan sakit otot atau badan.
Gejalanya hampir menyerupai jangkitan saluran pernafasan atas biasa.
Covid-19 juga boleh menyebabkan kerosakan paru-paru sehingga membawa kepada radang paru-paru, sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) atau parut pada paru-paru.
Covid-19 juga boleh menyebabkan keadaan dikenali sebagai long Covid-19, iaitu gejala yang berterusan atau muncul dalam tempoh tiga bulan selepas fasa akut jangkitan.
Long Covid-19 boleh menjejas pelbagai organ termasuk paru-paru, jantung dan otak.
Pengambilan vaksin terkini boleh membantu mengurangkan risiko penyakit serius.
Hantavirus pula boleh menyebabkan HPS terutama menjejas paru-paru.
Penyakit paru-paru dalam HPS berlaku akibat pengumpulan cecair dalam paru-paru yang bukan disebabkan masalah jantung dan boleh berkembang menjadi kegagalan pernafasan dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Apabila HPS memasuki fasa paru-paru, keadaannya biasanya lebih cepat dan lebih serius berbanding Covid-19, termasuk dalam kalangan individu yang sebelum ini sihat.
Penularan hantavirus berbeza daripada Covid-19
Ini merupakan perbezaan paling penting dari sudut kesihatan awam.
Covid-19 merebak antara manusia melalui titisan pernafasan dan partikel halus di udara, terutama di ruang tertutup yang sesak, pengangkutan awam dan dalam rumah.
Disebabkan keupayaan penularannya yang tinggi, Covid-19 akhirnya menjadi pandemik sejagat.
Hantavirus pula hampir sepenuhnya dijangkiti melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti atau najis dan air kencing haiwan tersebut.
Walaupun jarang berlaku, penularan terhad daripada manusia kepada manusia pernah dilaporkan dalam wabak virus Andes, iaitu sejenis hantavirus tertentu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika ini menilai risiko kejadian tersebut kepada penduduk sejagat sebagai rendah dan akan terus memantau keadaan epidemiologi serta mengemas kini penilaian risiko dari semasa ke semasa.
Covid-19 Mudah Merebak, Hantavirus Lebih Terhad
Covid-19 merebak melalui titisan pernafasan dan partikel halus di udara, termasuk daripada individu yang mempunyai gejala ringan atau tiada simptom langsung.
Hantavirus pula bergantung kepada sentuhan setempat dengan tikus yang dijangkiti atau bahan buangan haiwan tersebut.
Seperti yang ditegaskan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu, “ini bukan satu lagi Covid-19”, dan risiko sejagat kekal rendah selagi langkah kesihatan awam standard dipatuhi.
Covid-19 masih menjadi risiko kepada semua orang kerana virus itu masih terus menular.
Di Singapura, kira-kira 5 hingga 10 peratus penyakit saluran pernafasan atas ketika ini disebabkan oleh Covid-19.
Tidak seperti hantavirus, Covid-19 mudah merebak daripada seorang individu kepada individu lain termasuk kepada ahli keluarga dan orang tersayang.
Terdapat juga vaksin Covid-19 yang berkesan disediakan secara percuma di klinik tertentu untuk penduduk Singapura.
Vaksin Covid-19 kekal sebagai langkah penting bagi mengurangkan risiko penyakit serius, terutama dalam kalangan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.
Bagi sesetengah individu, vaksin juga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan.
Seperti hantavirus, Covid-19 juga boleh menyebabkan penyakit lebih serius dalam kalangan warga emas dan individu yang mempunyai tahap kesihatan lemah.
Vaksinasi kekal sebagai cara paling berkesan untuk mengelakkan Covid-19.
Dengan vaksinasi, seseorang sama ada dapat mengelakkan jangkitan sepenuhnya atau mengurangkan tahap keterukan penyakit.
Syarikat farmaseutikal Moderna sedang menjalankan penyelidikan praklinikal peringkat awal terhadap calon vaksin hantavirus menerusi kerjasama saintifik luar.
Penulis ialah Tutor Klinikal di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS. Beliau merupakan ahli fakulti di Sekolah Perubatan Siswazah Duke-NUS dan masih mengekalkan jawatan tambahannya sebagai penolong profesor semasa bekerja di Hospital Mount Elizabeth Novena. Beliau kekal sebagai perunding pelawat di Hospital Besar Singapura, Pusat Barah Nasional Singapura dan Hospital Hospis Dover Park.

