Topik diikuti
Pergi ke BHku2 penduduk S’pura dalam kapal persiaran dilanda hantavirus disahkan negatif
2 penduduk S’pura dalam kapal persiaran dilanda hantavirus disahkan negatif
2 penduduk S’pura dalam kapal persiaran dilanda hantavirus disahkan negatif
Dua penduduk Singapura yang berada di atas kapal persiaran MV Hondius disahkan negatif bagi jangkitan hantavirus, termasuk spesies hantavirus Andes yang bertanggungjawab bagi penularan di kapal tersebut.
Setakat ini, Andes merupakan satu-satunya spesies hantavirus yang diketahui boleh berjangkit daripada manusia ke manusia.
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengumumkan keputusan ujian tersebut pada 8 Mei, sehari selepas ia mendedahkan bahawa seorang warga Singapura berusia 67 tahun dan seorang penduduk tetap Singapura berusia 65 tahun sedang diasingkan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Lelaki yang pertama pulang ke Singapura pada 2 Mei, manakala yang kedua pula pulang pada 6 Mei.
Kedua-duanya turun dari kapal sebelum wabak itu dikesan, dan telah menaiki penerbangan yang sama dengan seorang penumpang yang jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia.
CDA menyatakan bahawa sebagai langkah berjaga-jaga, kedua-dua individu tersebut akan dikuarantin selama 30 hari dari tarikh terakhir mereka terdedah kepada risiko.
Tempoh ini ditetapkan memandangkan kebanyakan kes hantavirus dijangka menunjukkan tanda-tanda jangkitan dalam jangka masa tersebut.
Mereka akan menjalani ujian sekali lagi sebelum dibenarkan keluar dari kuarantin.
Bagi baki tempoh pemantauan selama 45 hari, keadaan kesihatan mereka akan terus dipantau melalui panggilan telefon.
Kedua-dua lelaki itu berada di atas kapal MV Hondius apabila ia berlayar dari pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 1 April lalu.
Mereka adalah antara 30 penumpang yang turun di Pulau Saint Helena pada 24 April.
Pada keesokan harinya pada 25 April, mereka menaiki penerbangan yang membawa 88 penumpang ke Johannesburg, Afrika Selatan.
Terdapat seorang wanita dalam penerbangan yang sama yang kemudiannya meninggal dunia dan disahkan dijangkiti hantavirus.
Maklumat mengenai warga Singapura yang turun di St Helena itu telah disampaikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
