GENEVA: Lapan orang yang dijangkiti penyakit hantavirus di atas kapal persiaran MV Hondius telah diuji positif, satu-satunya virus yang berjangkit antara manusia, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 13 Mei.

“Lapan kes telah disahkan oleh makmal untuk jangkitan virus Andes (ANDV), dua mungkin dijangkiti dan satu kes masih belum dapat disahkan kerana sedang menjalani ujian lanjut,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam kemas kini mengenai wabak tersebut.

Tiga penumpang kapal itu telah meninggal dunia sejak ia belayar daripada Argentina pada 1 April untuk pelayaran merentasi Lautan Atlantik.

Dua daripada mangsa telah disahkan mengalami jangkitan virus Andes, dan yang ketiga disenaraikan sebagai kes “kemungkinan”, menurut WHO.

Ini bermakna 11 kes telah dikesan daripada kapal persiaran itu.

Hantavirus biasanya merebak daripada air kencing, najis dan air liur tikus yang dijangkiti.

Tiada vaksin atau rawatan khusus untuk jangkitan tersebut.

Semua kes yang diketahui dijangkiti virus itu sejauh ini adalah mereka yang menaiki kapal persiaran itu.

Kes yang disenaraikan sebagai tidak muktamad ialah seorang penumpang daripada Amerika Syarikat yang telah dihantar pulang ke negaranya.

Beliau yang “kini tidak menunjukkan sebarang gejala” dan menjalani ujian lanjut selepas satu hasil ujian positif dan satu lagi negatif, kata WHO.

Ia mengekalkan penilaian risiko kesihatan awam daripada wabak itu pada tahap “sederhana” bagi mereka yang berada di atas kapal dan “rendah” bagi seluruh dunia.

Punca sebenar wabak itu masih belum diketahui dan setakat ini pakar mengesahkan virus yang dikesan merupakan varian jarang ditemui yang dikenali sebagai virus Andes yang boleh menular antara manusia.

WHO menyatakan jangkitan asal berlaku sebelum kapal berkenaan memulakan pelayaran.

Ini kerana mangsa pertama, seorang lelaki Belanda berusia 70 tahun, mula menunjukkan simptom pada 6 April, manakala tempoh inkubasi virus adalah satu hingga enam minggu.

Kapal tersebut bertolak dari Ushuaia, Argentina pada 1 April, dan kematian pertama dilaporkan pada 11 April.

Pegawai Argentina memberitahu mangsa pertama yang maut itu telah melawat Chile, Uruguay, dan Argentina sebelum menyertai pelayaran, sambil menambah, sekumpulan pakar akan dihantar ke Ushuaia untuk menjalankan ujian terhadap tikus di kawasan tersebut.

Argentina mencatat peningkatan kes hantavirus, namun, ia masih belum diklasifikasikan sebagai wabak, kata pakar perubatan, Profesor Madya Raul Gonzalez Ittig.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dilaporkan media sebelum ini sebagai berkata bahawa hantavirus tidak seperti pandemik Covid-19 dan “risiko kepada dunia adalah rendah”.

Mengenai pelayaran kapal itu, WHO menyatakan ia tiba di Pulau Canary, Sepanyol, pada 10 Mei.

Di pulau itu, kebanyakan anak kapal dan penumpang dihantar pulang atau transit ke negara asal masing-masing melalui penerbangan bukan komersial yang diatur khas untuk mereka.

Kapal itu telah meninggalkan Pulau Canary pada 11 Mei dan sedang belayar ke Belanda, dengan 25 anak kapal yang tinggal di atas kapal, bersama dua petugas kesihatan dan penjagaan kesihatan Belanda untuk menjalankan pemantauan kesihatan mereka. – Agensi berita.