Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga percaya penganjur ekspedisi S’pura maut cuba bantu rakan pendaki
Keluarga percaya penganjur ekspedisi S’pura maut cuba bantu rakan pendaki
Mangsa kembali ke gunung untuk bantu ahli kumpulan, keberanian dipuji
Keluarga percaya penganjur ekspedisi S’pura maut cuba bantu rakan pendaki
Selama dua hari yang penuh resah, keluarga Encik Timothy Heng tidak pernah berputus harapan bahawa beliau terselamat di cerun curam Gunung Dukono – sebuah gunung berapi di Halmahera, Indonesia, yang memuntahkan lahar pada 8 Mei.
Harapan mereka berakar pada kemungkinan lelaki 30 tahun itu sekadar cedera, menanti diselamatkan, sementara pasukan pencari Indonesia gigih melawan hujan, abu tebal, dan ancaman letusan susulan yang sentiasa menghantui operasi di puncak gunung.
Namun, sekitar 11 pagi pada 10 Mei, khabar yang amat mereka takuti akhirnya diterima, apabila mereka mendapat panggilan daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.
Dua mayat telah ditemui berhampiran puncak gunung tersebut – Encik Heng dan juga Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid.
“MFA tidak mengesahkan secara tepat kematiannya, tetapi dari nada dan pilihan kata-kata mereka, kami seolah-olah sudah dapat menjangkakannya,” ujar kakak tiri Encik Heng, Cik Tessa Oh, seorang wartawan di The Business Times (BT) berusia 30 tahun.
Bagi keluarganya, berita tersebut amat menyedihkan.
“Keluarga saya sangat terkesan. Terutamanya ibu bapa saya, dan bakal tunangnya memang menaruh harapan tinggi yang beliau masih hidup.
“Maka, pengesahan bahawa beliau telah meninggal dunia sangat sukar untuk mereka terima,” kata Cik Oh.
Encik Heng merupakan sebahagian daripada kumpulan seramai 20 orang – sembilan warga Singapura dan 11 warga Indonesia – yang mendaki gunung berapi aktif di wilayah Halmahera Utara itu pada 7 Mei.
Gunung berapi tersebut meletus pada pagi 8 Mei, mengakibatkan hujan batu panas dan abu menimpa para pendaki.
Seramai 17 pendaki berjaya diselamatkan, manakala tiga orang – dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia – telah terkorban.
Encik Heng merupakan penganjur ekspedisi tersebut, dan telah merancang perjalanan itu hampir setahun lebih awal melalui masyarakat pelancongan yang dikendalikannya di Singapura.
“Apabila saya mendengar butiran lanjut tentang apa yang berlaku, fikiran pertama saya ialah beliau mungkin patah balik untuk menyelamatkan seseorang. Itulah Tim (panggilan buat Encik Heng) yang kami kenali,” kata Cik Oh.
Beliau menegaskan bahawa adiknya tidak meninggal dunia kerana mengambil risiko yang tidak perlu. Sebaliknya, beliau terkorban semasa cuba membantu orang lain.
Kepercayaan itu dikuatkan selepas Cik Oh membaca artikel The Straits Times (ST) bersama malim gunung warga Indonesia, Encik Reza Selang.
Encik Reza berkata bahawa Encik Heng sebenarnya boleh menyelamatkan diri bersama pendaki Singapura yang lain, tetapi sebaliknya patah balik ke atas gunung untuk membantu ahli kumpulan yang lain.
“Kesaksian Reza sendiri menyatakan bahawa beliau (Encik Heng) boleh melarikan diri bersama warga Singapura lain yang dipindahkan, tetapi beliau patah balik ke atas. Beliau menunjukkan keberanian, benar-benar cuba membantu, dan mengedepankan kebajikan semua peserta sebelum dirinya sendiri,” kata Cik Oh.
