Topik diikuti
Pergi ke BHkuTragedi Dukono: Isteri pendaki S’pura reda meski hanya 6 bulan bina mahligai
Tragedi Dukono: Isteri pendaki S’pura reda meski hanya 6 bulan bina mahligai
Allahyarham Shahin pencinta alam, pernah tawan puncak Gunung Kinabalu
Tragedi Dukono: Isteri pendaki S’pura reda meski hanya 6 bulan bina mahligai
Mereka hanya sempat membina mahligai bersama selama enam bulan sejak Oktober 2025, malah merancang kehidupan bersama di rumah baharu di kejiranan Sengkang.
Bagaimanapun, sudah tersurat Cik Nurina Iffah Jusmani, 27 tahun, akan kehilangan suami tercinta, Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid, juga 27 tahun, dalam suatu tragedi menyayat hati.
Sebagai penggemar kegiatan kembara berjalan kaki, Encik Shahin Muhrez Abdul Hamid, mendaki tiga gunung tatkala beliau mengembara di wilayah Maluku Utara buat kali pertama, dengan Gunung Berapi Dukono sebagai gunung terakhir untuk didakinya.
Teknisyen syarikat tenaga berbilang negara, ExxonMobil, yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober 2025 dan baru mendapat flat di Sengkang itu, dijangka pulang ke Singapura pada 10 Mei selepas pendakian itu.
Namun, tragedi menimpa apabila gunung berapi itu meletus pada 8 Mei, menyebabkan tiga nyawa terkorban – dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia.
Harapan dan penantian anggota keluarga untuk beliau pulang ke pangkuan mereka berkecai pada 10 Mei setelah Allahyarham Shahin, 27 tahun, yang dilaporkan hilang selepas gunung itu meletus, disahkan terkorban.
Hal ini disahkan oleh ibu arwah, Cik Noraini Ibrahim, 64 tahun, seorang guru, melalui pesanan WhatsApp kepada Berita Harian (BH).
Dua anggota keluarga arwah kini berada di Tobelo, Maluku Utara, terletak tidak jauh dengan gunung terbabit, bagi pengurusan jenazah Allahyarham Shahin.
Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 10 Mei, menyatakan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia di Tobelo untuk mengenal pasti dua mayat yang ditemui pihak berkuasa tempatan.
MFA sedang berhubung rapat dengan keluarga mangsa untuk memudahkan proses mengenal pasti dan terus menyediakan bantuan konsular.
“MFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia, terutamanya pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada lebih 150 anggota, atas usaha mereka dalam keadaan yang sangat sukar dan berbahaya,” tambah MFA.
Dalam satu kenyataan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 10 Mei, misi mencari dan menyelamat di gunung itu telah ditamatkan setelah kesemua 20 pendaki telah dijumpai.
Kenyataan itu menyatakan pasukan mencari dan menyelamat telah membawa mangsa yang terkorban ke Hospital Wilayah Tobelo untuk proses mengenal pasti.
Kata Cik Nurina, ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi WhatsApp pada malam 10 Mei:
“Walaupun Allah hanya meminjamkan Shahin selama enam bulan, namun dalam tempoh yang singkat itulah saya meraih kasih sayang yang tiada tolok bandingnya.
“Kami sepatutnya memulakan fasa baharu di kediaman kami di Sengkang, namun saya reda bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang.
“Beliau sememangnya seorang pencinta alam; Gunung Dukono bukanlah cabaran pertamanya, malah beliau baru sahaja menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah beberapa bulan lalu.”
Allahyarham Shahin ialah sebahagian daripada kumpulan seramai 20 orang – sembilan warga Singapura dan 11 warga Indonesia – yang telah mendaki gunung berapi tersebut pada 7 Mei.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), tujuh pendaki Singapura yang berjaya dipindahkan dipercayai telah pulang ke Singapura pada 10 Mei.
Apabila pihak ST tiba di balai ketibaan Terminal 3 pada 10 Mei, kakitangan lapangan terbang dilihat mengalihkan enam beg galas besar dari tuntutan bagasi bagi penerbangan SQ963, yang tiba dari Jakarta sekitar 9 malam.
Beg tersebut menyerupai beg yang dilihat dibawa oleh pendaki dalam gambar yang tersebar sebelum ini.
Dari sekitar 9.15 malam hingga 9.30 malam, empat orang dilihat keluar dari balai ketibaan sambil membawa beg mendaki dan memakai pelitup muka.
Tidak dapat dipastikan sama ada ketujuh-tujuh mereka menaiki penerbangan yang sama.
Keempat-empat individu tersebut enggan memberikan komen apabila dihampiri pihak ST.
Pada 17 April, agensi vulkanologi Indonesia telah mengeluarkan larangan sementara untuk mendaki Gunung Dukono disebabkan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Malah, malim gunung warga Indonesia bagi kumpulan tersebut, Encik Reza Selang, menyatakan bahawa malim tempatan mahupun sesiapa pun di kampung yang terletak di kaki Gunung Dukono tidak memberitahunya bahawa gunung itu dilarang untuk didaki.
