TOBELO (Halmahera Utara): Pihak berkuasa Indonesia, pada 9 Mei, telah mengesahkan kematian seorang pendaki yang terperangkap dalam ledakan Gunung Dukono sambil menambah beliau dipercayai merupakan warga negara Indonesia.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Pejabat Ternate), Encik Iwan Ramdani, memberitahu media pihaknya berusaha membawa keluar mayat tersebut, yang dipercayai seorang wanita bernama Angel, untuk dibawa ke hospital daerah untuk proses pengecaman.

Dua pendaki warga Singapura, bagaimanapun, masih hilang walaupun lokasi mereka telah dikenal pasti.

Awal sebelum itu, agensi berkenaan mengenal pasti dua pendaki itu sebagai Encik Timothy Heng, 30 tahun, dan Encik Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27 tahun.

“Kesukaran untuk sampai ke lokasi dua pendaki Singapura ini adalah kerana ledakan gunung berapi itu masih berterusan, turunnya hujan lebat dan banjir berterusan dengan banyak serpihan di kawasan tersebut.

“Selain banjir, bahan (gunung berapi) tersebut juga panas sehingga mendatangkan bahaya kepada pasukan mencari dan menyelamat,” jelas Encik Iwan.

Dalam kemas kini pada 9 Mei, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata maklumat awal menunjukkan dua warga Singapura itu berada kira-kira 20 hingga 30 meter daripada pinggir kawah utama.

“Bagaimanapun, rupa bumi yang ekstrem dan peningkatan kegiatan gunung berapi menghalang penyelamat daripada menjalankan pemindahan.

“Lokasi mereka memerlukan perancangan dan strategi pemindahan yang teliti, dengan mengambil kira kemungkinan peningkatan gunung berapi selanjutnya dan keselamatan semua kakitangan,” jelas agensi itu.

BNPB berkata semua kakitangan pencarian dikehendaki bergerak dengan berhati-hati dan mengikuti cadangan daripada Pos Pemerhatian Gunung Berapi Gunung Dukono, yang membantu operasi tersebut.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi (PVMBG) Indonesia melaporkan Gunung Dukono telah meledak beberapa kali pada 9 Mei, menyebabkan abu yang keluar setinggi 3,000 meter.

Agensi itu berkata aktiviti seismik masih kuat, menunjukkan letusan itu masih berterusan.

Pendaki yang hilang dikhuatiri mati, namun penyelamat dan penduduk di Pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara berkata mereka berharap pendaki itu masih boleh ditemui hidup.

Menjelang 9 Mei, kira-kira 17 pendaki telah diselamatkan, menurut pihak berkuasa Indonesia, walaupun pihak agensi terus mengeluarkan angka yang berbeza ketika usaha menyelamat dijalankan.

Seorang anggota keluarga salah seorang pendaki Singapura memberitahu The Straits Times (ST), kaum keluarga telah dinasihatkan supaya tidak pergi ke Ternate kerana kegiatan gunung berapi dan perjalanan yang mencabar ke Halmahera Utara.

Perjalanan itu melibatkan penerbangan dari Jakarta ke Ternate, diikuti dengan perjalanan bot selama 40 minit ke Sofifi dan perjalanan darat selama empat jam ke pedalaman.

Operasi melibatkan kakitangan BNPB, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), tentera, polis, pegawai vulkanologi, pekerja perubatan dan sukarelawan tempatan.

Seramai 20 pendaki – sembilan rakyat Singapura dan 11 rakyat Indonesia – mendaki pada 7 Mei meskipun terdapat larangan mendaki yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan pada 17 April.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dan kedutaan di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengumpul maklumat serta memberikan bantuan konsular dan sokongan kepada rakyat Singapura yang terjejas serta keluarga mereka, kata MFA dalam satu kenyataan pada 8 Mei.