Topik diikuti
Pergi ke BHkuMangsa korban Gunung Berapi Dukono penggemar kegiatan kembara jalan kaki
Mangsa korban Gunung Berapi Dukono penggemar kegiatan kembara jalan kaki
Shahin Muhrez yang dijadualkan pulang pada 10 Mei dianggap anak prihatin
Mangsa korban Gunung Berapi Dukono penggemar kegiatan kembara jalan kaki
Sebagai penggemar kegiatan kembara berjalan kaki, Encik Shahin Muhrez Abdul Hamid mendaki tiga gunung tatkala beliau mengembara di wilayah Maluku Utara buat kali pertama, dengan Gunung Berapi Dukono sebagai gunung terakhir untuk didakinya.
Teknisyen syarikat tenaga berbilang negara, ExxonMobil, yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober 2025 dan baru mendapat flat di Sengkang itu, dijangka pulang ke Singapura pada 10 Mei selepas pendakian itu.
Namun, tragedi menimpa apabila gunung berapi itu meletus pada 8 Mei, menyebabkan tiga nyawa terkorban – dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia.
Harapan dan penantian anggota keluarga untuk beliau pulang ke pangkuan mereka berkecai pada 10 Mei setelah Allahyarham Shahin, 27 tahun, yang dilaporkan hilang selepas gunung itu meletus, terkorban.
Hal ini disahkan oleh ibu arwah, Cik Noraini Ibrahim, 64 tahun, seorang guru melalui pesanan Whatsapp kepada Berita Harian (BH).
Dua anggota keluarga arwah kini berada di Tobelo, Maluku Utara, terletak tidak jauh dengan gunung terbabit, bagi pengurusan jenazah Allahyarham Shahin.
Beliau berkata: “Kehilangan Shahin ibarat runtuhnya tembok tempat saya bersandar.
“Sebagai anak bongsu, arwah bukan sekadar penyeri keluarga, malah seorang anak soleh yang sentiasa mengutamakan saya dan kebajikan adik-beradiknya yang lain. Segala bakti dan kasih sayangnya tiada ganti.”
Arwah merupakan anak bongsu dalam keluarga empat beradik.
Isteri Allahyarham Shahin, Cik Nurina Iffah Jusmani, 27 tahun, menyifatkan pemergian suami tercinta sebagai suatu kehilangan yang amat berat buatnya.
“Walaupun Allah hanya meminjamkan beliau selama enam bulan, namun dalam tempoh yang singkat itulah saya meraih kasih sayang yang tiada tolok bandingnya.
“Kami sepatutnya memulakan fasa baharu di kediaman kami di Sengkang, namun saya reda bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang.
“Beliau sememangnya seorang pencinta alam; Gunung Dukono bukanlah cabaran pertamanya, malah beliau baru sahaja menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah beberapa bulan lalu,” jelas Cik Nurina dalam pesanan Whatsapp kepada BH.
Seorang lagi warga Singapura yang terkorban ialah Encik Timothy Heng, yang disahkan oleh adik tirinya, Cik Tessa Oh, kepada akhbar The Straits Times.
Menurutnya, mendiang Heng dipercayai sedang menyelamatkan individu yang terkandas di puncak apabila kejadian berlaku kerana “ia merupakan sesuatu yang akan beliau lakukan”.
“Itulah keberanian yang kami kenali tentang mendiang dan perkara biasa yang diberitahu oleh ibu bapanya ketika kami kecil,” tambah Cik Oh.
Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 10 Mei, menyatakan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia di Tobelo, Maluku Utara, untuk mengenal pasti dua mayat yang ditemui pihak berkuasa tempatan.
MFA sedang berhubung rapat dengan keluarga mangsa untuk memudahkan proses mengenal pasti dan terus menyediakan bantuan konsular.
“MFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia, terutamanya pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada lebih 150 anggota, atas usaha mereka dalam keadaan yang sangat sukar dan berbahaya,” tambah MFA.
Dalam satu kenyataan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 10 Mei, misi mencari dan menyelamat di gunung itu telah ditamatkan setelah kesemua 20 pendaki telah dijumpai.
Kenyataan itu menyatakan pasukan mencari dan menyelamat telah membawa mangsa yang terkorban ke Hospital Wilayah Tobelo untuk proses mengenal pasti.
Semasa dihubungi BH pada 8 Mei, Ketua Polis Halmahera Utara, Encik Erlichson Pasaribu, berkata seramai sembilan daripada pendaki itu adalah warga Singapura, termasuk dua mangsa yang terkorban.
Beliau berkata mereka dipercayai telah berkhemah semalaman berhampiran kawah gunung berapi.
Baki 11 individu merupakan warga Indonesia, termasuk dua porter (pengangkut barangan), tambahnya.
Menukil kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, ia mengekalkan status amaran gunung itu pada peringkat ‘Waspada’, iaitu tahap kedua tertinggi, sejak 29 Mac berikutan kegiatan letusan gunung berapi yang masih aktif.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), iaitu agensi kaji gunung berapi Indonesia, dalam satu kenyataan pada 8 Mei berkata letusan itu berlaku pada 7.41 pagi (waktu tempatan) dan memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
