Topic followed successfully
Go to BHkuJaga lisan, bina kenangan: Peri penting adab bertanya ketika ziarah
Jaga lisan, bina kenangan: Peri penting adab bertanya ketika ziarah
Keluarga baru timang anak angkat, orang bujang, kongsi pengalaman tangani soalan ‘cepumas’, cara berlapang dada
Jaga lisan, bina kenangan: Peri penting adab bertanya ketika ziarah
“Bila nak kahwin?”; “Dah dapat kerja?”; atau “Bila nak tambah lagi?”.
Soalan-soalan ini sering menjadi ‘skrip’ semasa kunjungan Hari Raya.
Ia boleh datang daripada sesiapa sahaja – anggota keluarga terdekat, saudara-mara jauh, malah kenalan lama yang baru bertemu semula.
Walaupun kedengaran biasa, bagi sesetengah individu, pertanyaan ini boleh menyentuh perkara yang sangat peribadi.
Bagi Cik Kasmirah Kasmani, 27 tahun, soalan tentang jodoh adalah antara yang paling kerap diterima setiap kali beraya.
“Saya selalu dapat soalan seperti, ‘Dah ada pasangan? Bila nak cari? Bila nak kahwin? Terlalu memilih nanti jadi anak dara tua’,” kata perunding perkhidmatan kewangan di TAQWA Organisation (AIA) itu.
Walaupun ketika itu beliau selesa dengan status bujang, Cik Kasmirah mengakui kurang senang apabila kebahagiaan seseorang seolah-olah ditentukan oleh status perkahwinan.
Namun, beliau memilih untuk menjawab dengan tenang.
“Saya akan jawab, ‘Saya ‘happy’ bujang, Cik. Cik doakanlah untuk saya supaya jumpa jodoh yang baik’,” katanya.
Namun, cabaran tidak terhenti di situ.
Cik Kasmirah juga pernah berdepan komen mengenai penampilan ketika berdepan masalah kesihatan.
“Dulu saya ada masalah kulit yang teruk. Ada yang tanya, ‘Kenapa muka macam gitu? Banyak jerawat. Stres sangat ke?’ Ia sangat menjejaskan keyakinan diri,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu berkait dengan penyakit endometriosis yang sering disalah faham.
Endometriosis ialah keadaan di mana tisu lapisan rahim tumbuh di bahagian luar, menyebabkan kesakitan.
“Ada yang anggap ia berpunca daripada diet atau kebersihan, sedangkan puncanya lebih kompleks,” jelasnya.
Dalam situasi seperti itu, Cik Kasmirah belajar untuk menetapkan batas dengan lembut untuk fokus pada kesihatan dalaman dulu dan untuk mendoakan kebaikannya.
Soalan tentang kerjaya juga tidak terkecuali, terutama kerana beliau memilih laluan yang tidak konvensional.
“Ada yang tanya, ‘Kenapa pilih kerjaya itu? Tidak ada CPF? Berapa dapat komisen?’ Kadang-kadang rasa seperti mereka sudah buat kesimpulan,” katanya.
Namun, beliau cuba melihatnya dari sudut yang lebih berempati dan saya faham ia datang daripada kebimbangan mereka.
Bagi Cik Kasmirah, cara orang bertanya dan berbual memainkan peranan besar dalam mencipta suasana yang selesa.
“Elakkan soalan sensitif. Lebih baik tanya ‘Apa khabar?’ atau ‘Macam mana kerja?’. Itu lebih bermakna,” katanya.
Jika Cik Kasmirah berdepan tekanan sebagai individu bujang, pengalaman berbeza pula dilalui oleh Cik Syazwani Ashraff, 36 tahun, guru sekolah rendah yang melalui perjalanan yang panjang untuk bergelar ibu.
Selepas enam setengah tahun berkahwin dan empat kali melalui rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang tidak berjaya, Cik Syazwani akhirnya membuat keputusan yang bukan mudah, untuk berhenti mencuba dan membuka hati kepada pilihan lain.
“Saya sebenarnya ambil masa untuk terima idea pengambilan anak angkat. Pada awalnya, saya memang mahu cuba IVF sekurang-kurangnya lima kali,” katanya.
Namun, segalanya berubah ketika beliau menunaikan umrah.
Di Tanah Suci, beliau berdoa penuh harapan agar usahanya berhasil. Sebaliknya, sesuatu yang tidak dijangkanya berlaku.
“Bila keputusan tetap gagal, saya rasa itu satu petunjuk. Saya ingat lagi, dalam kereta saya menangis dan beritahu suami, saya tidak mahu teruskan lagi,” katanya perlahan.
Dari saat itu, sesuatu dalam dirinya berubah.
“Suami saya memang lebih terbuka untuk mengambil anak angkat sejak awal. Bila beliau beri cadangan itu, tiba-tiba hati saya pun terbuka,” katanya.
Namun perjalanan itu juga menuntut kesabaran.
Selepas menghadiri kursus wajib bagi proses pengambilan anak angkat, beliau menunggu hampir dua tahun tanpa kepastian.
“Ada masa saya rasa mungkin ini bukan rezeki saya. Saya dah hampir putus asa,” katanya.
Sehinggalah satu hari, panggilan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.
“Bila saya jumpa dia buat kali pertama, saya berdepan dengan pelbagai emosi. Saya tunggu lama untuk saat itu,” katanya, mengimbas detik pertemuan dengan anak angkatnya ketika bayi itu baru berusia tiga minggu, yang Cik Syazwani ingin kenali sebagai ‘Siti Maryam’.
Kini, kehidupannya berubah sepenuhnya.
“Rumah jadi lebih hidup, tidak sunyi lagi. Semuanya berubah, tapi dalam cara yang sangat indah,” katanya.
Cik Syazwani akur pernah menerima pertanyaan semasa kunjungan Raya tentang zuriat, satu topik yang sangat dekat di hatinya.
“Ada yang tanya kenapa belum ada anak. Saya cuma senyum dan cakap, ‘Doakanlah’,” katanya.
Baginya, tidak semua perkara perlu dijelaskan.
“Saya rasa itu hak saya untuk tidak berkongsi jika saya tak selesa. Tidak perlu marah atau kecewa, sebab ada yang bertanya dengan niat baik.
“Cuma kadang-kadang mereka tidak sedar ia boleh melampaui batas,” katanya.
“Kali ini bila beraya dengan anak, ramai yang sangka saya mengandung kerana tak berjumpa setahun,” katanya.
Menurut Cik Syazwani, reaksi awal itu sering bertukar menjadi kejutan apabila beliau menjelaskan perkara sebenar.
“Saya akan beritahu, ‘Tidak, saya tidak pernah mengandung’.
“Mereka terkejut, tapi pada masa yang sama sangat gembira untuk kami. Melihat kegembiraan mereka itu pun buat saya rasa bahagia,” katanya.
Bagi Cik Syazwani, Hari Raya kini membawa makna yang berbeza.
“Saya dulu memang suka Hari Raya sebab dapat jumpa sepupu-sepupu, luangkan masa bersama.
“Saya harap anak saya juga dapat rasai perkara yang sama, bermain dengan sepupu, rasa kasih sayang daripada orang sekeliling,” katanya.
Tambahnya, sokongan dan kasih sayang daripada keluarga serta rakan-rakan memberi makna besar dalam perjalanan hidupnya.
Mengulas tentang pergaulan semasa kunjungan Raya, Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, menekankan bahawa adab dalam pertuturan adalah tunjang dalam Islam, lebih-lebih lagi ketika ziarah.
Beliau merujuk sabda Nabi Muhammad saw:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
“Hari Raya adalah kesinambungan Ramadan. Ia sepatutnya menjadi ruang untuk kita mengamalkan akhlak yang telah dilatih, termasuk menjaga lidah,” katanya.
Menurut beliau, jika berdepan soalan sensitif, seseorang boleh menjawab secara ringkas tanpa membuka ruang yang tidak selesa.
“Contohnya, ‘Insya-Allah masih dalam perancangan. Doakan yang baik-baik,’” katanya.
Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu lebih berempati.
“Tidak semua perkara perlu ditanya. Fikir dahulu, jika kita di tempat mereka, bagaimana perasaan kita,” jelasnya.
Seiring dengan itu, Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang juga kaunselor bebas, Ustazah Kalthom Isa, berkata:
“Selain menjaga akal, perasaan dan hati, umat Islam juga perlu peka terhadap keadaan sekeliling ketika berbicara.
“Setiap tutur kata harus kena pada tempat dan waktunya, sambil sentiasa terbuka menerima nasihat agar diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa semangat Ramadan tidak seharusnya terhenti selepas Syawal menjelma.
“Raya ini biarlah lebih baik daripada raya tahun lalu, dan Ramadan yang dilalui memberi kesan dari segi rohani dan jasmani,” ujarnya.
Dalam kemeriahan kunjungan Hari Raya, mungkin sudah tiba masanya untuk kita mengubah cara berinteraksi, daripada bertanya soalan yang menekan, kepada membina perbualan yang lebih bermakna.
“Kadang-kadang, pujian ringkas seperti ‘sedapnya lauk’ atau ‘meriahnya rumah’ sudah cukup untuk menggembirakan,” kata Cik Kasmirah.
“
“Hari Raya ialah kesinambungan Ramadan. Ia sepatutnya menjadi ruang untuk kita mengamalkan akhlak yang telah dilatih, termasuk menjaga lidah. Tidak semua perkara perlu ditanya. Fikir dahulu, jika kita di tempat mereka, bagaimana perasaan kita.”“
“Selain menjaga akal, perasaan dan hati, umat Islam juga perlu peka terhadap keadaan sekeliling ketika berbicara. Setiap tutur kata harus kena pada tempat dan waktunya, sambil sentiasa terbuka menerima nasihat agar diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.”
