SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Raya dulu dan sekarang: Keikhlasan, kebersamaan dan adab kekal tidak berubah

Raya dulu dan sekarang: Keikhlasan, kebersamaan dan adab kekal tidak berubah

Tokoh budaya negara Nadiputra dan Som Said renung perubahan sambutan Raya dulu dan sekarang
Mar 28, 2026 | 5:30 AM

Raya dulu dan sekarang: Keikhlasan, kebersamaan dan adab kekal tidak berubah

Raya dulu dan sekarang, Nadiputra, Som Said, adab Lebaran
Menziarahi satu sama lain sudah menjadi kelaziman sambutan Raya. (Dari kiri) Suami isteri, Ahmad Sawal dan Som Said, menerima lawatan pasangan, Suriyani Pani dan Nadiputra. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Zaman silih berganti, namun kemeriahan Hari Raya tetap diraikan dengan penuh makna.

Bagi pelopor teater Singapura, Nadiputra, dan ikon seni tari Melayu, Som Said, kenangan beraya semasa kecil terus segar; sarat dengan nilai kebersamaan yang masih dipegang hingga hari ini.

Menurut Nadiputra, atau nama sebenarnya, Almahdi Al-Haj Ibrahim, 80 tahun, perubahan dalam cara sambutan bukanlah sesuatu yang harus dipersoalkan.

“Zaman mencorak perayaan kita hari ini, tetapi itu bukan bermakna ia salah – cuma berbeza,” jelasnya.

Namun di sebalik perubahan itu, semangat Hari Raya sebagai waktu untuk bergembira, mengeratkan silaturahim dan mengunjungi keluarga serta jiran tetangga masih kekal utuh dalam masyarakat.

Dulu erat kerana keperluan, kini kerana pilihan

Bagi Som, 75 tahun, yang membesar di kuarters Balai Bomba (Central dan kemudian di Bukit Timah), kehidupan bermasyarakat suatu ketika dahulu membentuk hubungan yang lebih akrab.

“Dulu kami hidup dalam komuniti yang saling memerlukan... memberi dan menerima. Jadi keakrabannya lebih terasa,” katanya.

Nadiputra pula mengimbau suasana kampung di Jalan Eunos, di mana persiapan Hari Raya menjadi satu kegiatan bersama.

“Orang kampung akan rebus ketupat di halaman rumah. Suasananya meriah – penuh kesibukan yang menyeronokkan. Kita tidak perlu jemput, semuanya datang dengan sendiri,” katanya.

Kini, dengan kemudahan teknologi, cara beraya berubah. Jemputan dibuat melalui telefon, dan kunjungan diatur agar lebih terancang.

“Ini memudahkan kedua-dua pihak; tetamu tidak menunggu lama, dan tuan rumah lebih bersedia,” tambahnya.

Dalam kehidupan zaman sekarang, mereka akur soal privasi dan batasan peribadi kian diutamakan, khususnya bagi golongan lebih muda.

Adab beraya tetap utama

Dalam era media sosial, timbul juga perbincangan tentang soalan sensitif yang sering diajukan ketika beraya – terutama soal jodoh dan anak.

Kededua budayawan itu sepakat bahawa adab dalam berkomunikasi perlu dijaga.

“Perkara peribadi sebaiknya tidak dibincangkan di hadapan orang ramai. Cara bertanya dan menjawab perlu berhemah,” ujar Nadiputra.

Beliau turut menambah bahawa rasa hormat harus wujud dalam kedua-dua generasi.

“Yang muda dan yang tua perlu saling menghormati. Orang muda juga berhak menegur, asalkan dengan cara yang baik.”

Som pula menekankan prinsip lima ‘S’ yang diamalkannya iaitu Salam, Sapa, Senyum, Sopan dan Santun – sebagai asas dalam pergaulan.

“Kita semakin jarang berjumpa. Jadi di manakah anak-anak belajar adab? Sudah tentu di rumah, daripada ibu bapa,” katanya.

Duit Raya: Bukan soal nilai, tetapi niat

Dalam soal duit Raya, kedua-dua tokoh itu mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu menumpukan kepada jumlahnya.

Som berkongsi kenangan menerima duit syiling melalui amalan yang dikenali sebagai ‘salam keruk’.

“Sambil bersalaman, orang dewasa beri duit syiling, kadang-kadang tanpa sampul. Walaupun sedikit, kita tetap gembira,” katanya.

Nadiputra pula menegaskan bahawa duit Raya pada asasnya adalah satu bentuk sedekah.

“Ia dianggap sebagai hadiah untuk menggembirakan kanak-kanak dan warga emas.

“Zakat dilakukan pada Ramadan, dan pada Hari Raya, amalan baik itu diteruskan secara ikhlas sebagai satu limpahan kebaikan,” jelasnya.

Busana tradisional kekal jadi identiti

Walaupun fesyen sentiasa berubah, pemakaian busana tradisional masih menjadi lambang penting Hari Raya di Singapura.

Nadiputra melihat usaha masyarakat Melayu mengekalkan pakaian tradisional sebagai sesuatu yang membanggakan.

“Ada kaum lain yang semakin kurang mengenakan pakaian budaya mereka pada hari perayaan mereka, dan berasa kagum masyarakat Melayu masih berusaha mengekalkannya,” kata beliau.

Malah, perubahan seperti ‘samping instant’ dilihat sebagai penyesuaian yang praktikal tanpa mengorbankan nilai budaya. 

Walaupun cara sambutan Hari Raya berubah mengikut peredaran zaman daripada gotong-royong di kampung kepada kunjungan yang lebih terancang hari ini – nilai terasnya tetap sama: Keikhlasan, kebersamaan dan adab. 

Selagi nilai itu terus dipelihara, semangat Hari Raya akan sentiasa hidup, tidak kira bagaimana bentuk sambutannya pada masa hadapan, kata Nadiputra dan Som.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg