SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cabaran keluarga campuran: Bila ‘mak tiri’ beriya nak Raya...

Cabaran keluarga campuran: Bila ‘mak tiri’ beriya nak Raya...

Apa jadi apabila anak sendiri tidak mahu jalan raya, atau bekas pasangan muncul beraya di rumah saudara?
Mar 28, 2026 | 5:30 AM

Cabaran keluarga campuran: Bila ‘mak tiri’ beriya nak Raya...

Seperti kuih berlainan acuan, keluarga campuran dihiasi individu unik yang melengkapi meja Raya
Seperti kuih berlainan acuan, keluarga campuran dihiasi individu unik yang melengkapi meja Raya - Foto PIXABAY

Hari Raya boleh membawa cabaran tersendiri bagi keluarga campuran, apatah lagi apabila cuba mengekalkan tradisi sambil memastikan semua pihak tidak berasa terkecuali.

Tahun ini menandakan tahun kedua suami saya menyambut Hari Raya bersama saya dan anak-anak kami.

Kami merupakan keluarga campuran, hasil daripada perkahwinan kedua masing-masing selepas lanjut usia, dengan anak-anak daripada pasangan sebelumnya.

Sejak perkahwinan ini, selain menjadi seorang isteri, saya juga menerima gelaran baru – ‘mak tiri’.

Lazimnya, perkataan ‘tiri’ membawa konotasi negatif – tidak adil, atau kejam terhadap ahli keluarga baru.

Tetapi itu hanyalah generalisasi. Dalam realiti, peranan ibu tiri penuh kasih sayang, asalkan diterima dengan hati terbuka.

Seperti Raya lalu, kami cuba beraya bersama-sama semua anak.

Salah satu tradisi yang kami wujudkan ialah berpakaian sedondon, atau sekurang-kurangnya mengenakan tema warna yang sama.

Pada 2025, anakinstant’ saya, M, berasa kekok kerana merasa dirinya belum sepenuhnya menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

Pada 2026 pula, kami membuat persiapan awal dan saya sendiri membantunya memilih pakaian agar beliau berasa seperti sebahagian daripada keluarga kami dan tidak janggal.

Alhamdulillah, sejak bernikah, penerimaan anak-anak saya dengan M sangat baik walaupun kami tidak tinggal sebumbung.

Memperkenalkan anggota keluarga baru kepada keluarga besar merupakan satu cabaran lain.

Namun, saya bersikap terbuka tidak semua karakter ‘mak cik bawang’ berniat jahat.

Pertanyaan bertubi-tubi sebenarnya usaha ingin mengenali ‘orang baru’ dengan lebih dekat, asalkan tidak menyinggung perasaan, kami membiarkan anak-anak menjawab dan mencelah jika perlu.

Ketidakselesaan lain muncul bila saudara-mara berkumpul beramai-ramai ialah apabila topik masa lampau dibangkitkan – terutama kisah sebelum saya hadir dalam hidup keluarga ini, termasuk kenangan lawatan luar negara bersama bekas isteri suami.

Nyata, perkongsian hidup hampir 20 tahun tentu menyimpan banyak kenangan bersama dengan ramai orang, anggota keluarga dan teman-teman – dan saya terpaksa terima walaupun pahit.

Suami saya tentu merasakan perkara yang sama bila keluarga saya membangkitkan sejarah hidup saya.

Namun, sebagai individu yang matang, kami hanya mampu tersenyum dan menerima perbualan itu tanpa memanjangkan isu.

Saya menaruh harapan besar Hari Raya pertama berlangsung dengan lancar, tetapi cabaran lain muncul.

Anak sulung saya yang introvert enggan mengikuti kunjungan rumah ke rumah.

Baginya, tradisi ini terasa performatif dan gimik semata-mata.

Walaupun saya tidak bersetuju, saya menghormati keputusannya.

Saya berlapang dada bahawa beliau belum bersedia memahami kepentingan merayakan Hari Raya bersama keluarga terdekat, terutama keluarga baru.

Sebagai ibu, saya harus memastikan Hari Raya tetap disambut dengan anak-anak lain yang teruja mahu beraya – dan memberi alasan yang munasabah kepada sesiapa yang bertanya tentang ‘si dia’ yang tidak ikut itu.

“Oh dia nak belajar katanya, banyak kerja sekolah,” jawapan ‘bohong sunat’ yang saya berikan terasa perit bak hempedu.

Seolah-olah sudah jatuh tangga ditimpa tangga, pada Hari Raya kedua, saya dapat tahu bahawa bekas isteri sang suami datang beraya ke rumah kakak ipar (satu-satunya kakak kepada suami saya).

Saya akui, saya terperanjat dan kurang selesa dengan kedatangannya.

Walaupun mungkin niatnya hanya mahu beraya bersama anaknya, M, kehadirannya tetap mengundang rasa canggung.

“Kenapa sekarang? Kenapa tidak tahun-tahun lalu? Apa motifnya?,” hati kecil saya berbisik.

Mungkin beliau tidak ada tempat lain, atau merasakan status dan keakraban sebelumnya memberi hak, tetapi perasaan kami dan keluarga baru, tetap perlu dihormati.

Raya bagi keluarga campuran memang penuh warna – ada tawa, ada canggung, ada cabaran.

Tetapi di sebalik semua itu, saya belajar bahawa kesabaran, keterangkuman dan penerimaan adalah kunci agar setiap ahli keluarga merasa dihargai.

Sebagai ‘mak tiri’, saya sedar bahawa peranan saya bukan sekadar menyesuaikan diri dengan anak-anak mereka, tetapi membina jambatan antara masa lalu dan masa kini, demi harmoni keluarga yang baru terbentuk.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg