Madrasah Aljunied Al-Islamiah (MAA) dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) bakal menyaksikan perubahan kepimpinan mulai 1 Julai 2026.

Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah (MAA), Encik Herman Cher Ma’in akan digantikan Naib Pengetua, Ustaz Dr Afif Pasuni.

Pengetua MAI, Cik Aisha Abdul Manaf pula akan digantikan oleh Encik Abdul Ghani Mohammad Isa.

Cik Aisha, 62 tahun, yang bakal bersara dan menamatkan perkhidmatannya di MAI telah berkhidmat di madrasah tersebut selama lebih 20 tahun.

Beliau telah memegang jawatan pengetua sejak 2023 dan merupakan naib pengetua sebelum itu.

Bagi Encik Herman, 59 tahun, pula, beliau juga telah memimpin MAA untuk tempoh yang sama dan akan menyambung peranannya sebagai Superintenden Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang digalas sekali sewaktu menjadi pengetua MAA.

Dalam satu kenyataan, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pelantikan ini mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangun kepimpinan pendidikan yang kukuh dalam sistem madrasah.

“Perubahan kepimpinan di madrasah kita mencerminkan usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan di seluruh institusi pendidikannya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pengetua yang akan berundur, Cik Aisha dan Encik Herman, atas khidmat mereka dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka,” tambah beliau.