Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumbangan dua pengetua madrasah jadi landasan pengganti terus corak kecemerlangan
Sumbangan dua pengetua madrasah jadi landasan pengganti terus corak kecemerlangan
Faishal: Peralihan kepimpinan di Madrasah Al-Arabiah, Madrasah Aljunied gambaran komitmen berterusan Muis perkukuh kejayaan akademik dan kerohanian pelajar
Sumbangan dua pengetua madrasah jadi landasan pengganti terus corak kecemerlangan
Setelah berkhidmat di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) selama lebih 20 tahun, Cik Aisha Abdul Manaf, akan melangkah ke alam persaraan.
Pendidik berusia 62 tahun itu telah menggalas jawatan pengetua sejak 2023 dan merupakan naib pengetua di madrasah tersebut sebelum itu.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memberi tumpuan kepada pengukuhan kesejahteraan pelajar dan kakitangan.
Di samping itu, beliau turut memperjuangkan pengajaran dan pembelajaran berteras nilai murni serta komitmen terhadap kecemerlangan perkhidmatan di madrasah.
Justeru, beliau telah menerajui usaha memperkukuh kurikulum bahasa Arab dan pengajian Islam, serta menyokong usaha membentuk pelajar sebagai teladan seseorang beragama Islam melalui amalan kerohanian seperti qiam dan khatam Al-Quran.
Mengulas lanjut tentang perjalanan kepimpinan beliau di MAI, Cik Aisha berkata: “Saya rasa kepimpinan saya banyak berpandukan kepada kejelasan tujuan dan keikhlasan niat dalam berkhidmat di madrasah.
“Saya sentiasa berpegang teguh agar kita tidak sesekali melupakan matlamat, niat dan tujuan utama perkhidmatan kita iaitu mendidik dan membimbing generasi masa depan dengan sebaik mungkin.”
Walaupun menyifatkan tanggungjawab sebagai pemimpin di MAI sebagai amanah yang berat, beliau tetap rasa ia merupakan sesuatu yang berbaloi.
Perjalanan MAI yang berdiri selama 80 tahun sejak 1946 pernah berdepan dengan pelbagai pasang surut seperti kekangan kewangan dan sumber.
Namun begitu, dedikasi Cik Aisha kepada MAI sepanjang lebih 20 tahun itu mencerminkan komitmen dan keteguhan usahanya dalam menyumbang kepada perkembangan madrasah tersebut.
“Selepas 20 tahun dalam menguruskan madrasah ini, alhamdulillah, saya rasa puas melihat kemajuan yang telah dicapai madrasah ini.
“Ini semua tidak berlaku kerana diri saya sendiri tetapi ia lebih kepada usaha bersama secara kolektif,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Encik Herman Cher Ma’in, 59 tahun, yang telah memimpin Madrasah Aljunied Al-Islamiah (MAA) untuk tempoh yang sama sejak 2023, akan menyambung peranannya sebagai Superintenden Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang digalas sekali gus sejak 2025.
Sewaktu berkhidmat di MAA, beliau telah turut memperkasa kurikulum bagi memperkukuh penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris melalui kerangka yang disifatkan sebagai “tempatan dan sejagat”.
Beliau berkongsi: “Di Madrasah Aljunied, kami sudah mula usahakan peningkatan kurikulum yang disebut sebagai Kurikulum Azhar 2.0.
“Kurikulum ini akan membolehkan pelajar yang tidak mengikuti Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) untuk mengambil sekurang-kurangnya satu subjek daripada program IB.
“Pada akhir tempoh prauniversiti, mereka akan menduduki peperiksaan bagi salah satu subjek, iaitu bahasa Inggeris.
“Bagi bahasa Arab pula, kami telah mengadakan inisiatif buat pelajar kami berhubung dan berinteraksi dalam bahasa Arab secara dalam talian bersama rakan sebaya dari Qatar.
“Malah, kami juga adakan projek tamat pengajian atau ‘capstone’ untuk pelajar menulis dan membincangkan tentang isu sosial dalam bahasa Arab. Ini agar mereka jadi lebih bersedia tatkala menyambung pengajian di negara Arab.”
Menyentuh tentang harapannya dengan peralihan kepimpinan MAA, beliau berharap usaha yang sedia ada itu dapat dipertingkatkan lagi agar pelajar MAA terus cemerlang dalam bidang ukhrawi dan bersedia untuk masa depan.
Berkongsi harapan serupa buat MAI, Cik Aisha yakin dengan kebolehan penggantinya, Encik Abdul Ghani Mohammad Isa, dalam mengemudi madrasah itu.
“Saya menaruh keyakinan penuh terhadap Encik Ghani serta pasukan pengurusannya dalam menerajui MAI ke arah lembaran baharu yang lebih cemerlang,” jelas beliau.
Dalam satu kenyataan, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pelantikan itu mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangun kepimpinan pendidikan yang kukuh dalam sistem madrasah.
“Perubahan kepimpinan di madrasah kita mencerminkan usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memperkukuh pembangunan kepimpinan di seluruh institusi pendidikannya.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pengetua yang akan berundur, Cik Aisha dan Encik Herman, atas khidmat mereka dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka.
“Mereka telah menyediakan asas yang kukuh bagi pengetua baharu, Ustaz Dr Afif Pasuni dan Encik Abdul Ghani Mohammad Isa,” jelas beliau.

