Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlumni Madrasah Aljunied bakal kembali sebagai pengetua, anggap amanah berat tapi bermakna
Alumni Madrasah Aljunied bakal kembali sebagai pengetua, anggap amanah berat tapi bermakna
Alumni Madrasah Aljunied bakal kembali sebagai pengetua, anggap amanah berat tapi bermakna
Tatkala menyedari cabaran yang kian berkembang dan berubah dalam pendidikan madrasah, bakal Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah (MAA) yang baharu, Ustaz Dr Afif Pasuni, berhasrat meneruskan legasi institusi bersejarah itu dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang mampu menghadapi cabaran semasa.
Cabaran yang dimaksudkan termasuk keperluan untuk kekal berakar pada tradisi keilmuan Islam di samping menguasai kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan juga pemikiran kritikal dalam era perubahan zaman ini.
Ustaz Dr Afif, 44 tahun, yang menyandang jawatan sebagai Naib Pengetua di MAA sejak 2023, pernah memegang jawatan sebagai Felow Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).
Beliau kemudian menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2019 sebagai Pengurus di Unit Pembangunan Kurikulum Madrasah.
Berbekalkan pengalaman tersebut, matlamat beliau adalah dalam memastikan kurikulum madrasah serta hala tujunya selaras dengan tradisi keilmuan Islam dan pada masa yang sama, menepati keperluan khusus para pelajar.
Dalam meniti pendidikan tradisi keilmuan Islam, terasnya terletak pada penguasaan bahasa Arab.
Justeru, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar dianggap oleh Ustaz Dr Afif sebagai cabaran yang madrasah perlu beri tumpuan.
Beliau berkata: “Secara amnya, kami ingin melihat bagaimana kita boleh memperkukuh kurikulum, khususnya dari segi pengukuhan ilmu-ilmu Islam dan bahasa Arab.
“Lebih-lebih lagi pada zaman ini apabila ramai yang jarang bertutur dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Arab sebagai bahasa ketiga.
“Bagi pembelajaran bahasa Arab, ia bukan sahaja tertakluk kepada pembelajaran yang mengikut kaedah nahu dan saraf, malah ia juga memerlukan pendedahan.
“Jadi, di mana sahaja peluang kita cuba untuk mendedahkan pelajar secara enculturation atau pembudayaan bahasa Arab supaya mereka terdedah dengan cara lebih halus dan dapat memupuk sifat mereka.”
Seiring dengan perubahan zaman dengan kemunculan teknologi baharu seperti AI, Ustaz Dr Afif tidak menolak peluang untuk menyepadukan teknologi seperti itu dalam pelajaran di madrasah.
Justeru, beliau turut menyambut baik akan kewujudan AI dalam pembelajaran bahasa Arab yang dapat menyediakan maklum balas bagi penambahbaikan pelajaran para pelajar.
“AI boleh menjadi alat yang berguna dalam membantu pembelajaran pelajar dalam bahasa Arab ataupun bahasa lain.
“Namun, ia berbalik juga kepada bagaimanakah kita menggunakannya dan bagaimana kita mendidik pelajar kita untuk menggunakannya dengan baik,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut memberatkan latihan pemikiran kritikal dalam pemahaman dan penulisan agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ditubuhkan pada 1927, MAA yang bakal mencecah usia 100 tahun telah dipimpin beberapa asatizah dan ulama tempatan.
Menyingkap perjalanan institusi pendidikan agama yang cukup bersejarah itu, Ustaz Dr Afif, yang juga merupakan alumni MAA, menyifatkan amanah memimpin madrasah itu sebagai satu tanggungjawab yang berat.
“Ia merupakan satu amanah yang berat tapi bermakna.
“Pada masa yang sama, tanggungjawab ini bukan digalas oleh saya sendiri sahaja kerana ia merupakan usaha kolektif antara asatizah, ibu bapa dengan masyarakat dalam mendidik anak-anak kita,” tambah beliau.

