Topik diikuti
Pergi ke BHkuBakal pengetua baru Al-Arabiah ingin manfaat data, perangkaan bagi perkukuh pengajian ukhrawi
Bakal pengetua baru Al-Arabiah ingin manfaat data, perangkaan bagi perkukuh pengajian ukhrawi
Bakal pengetua baru Al-Arabiah ingin manfaat data, perangkaan bagi perkukuh pengajian ukhrawi
Terdorong untuk menyumbang kepada pendidikan menyeluruh yang menyepadukan iman, akhlak dan kecemerlangan akademik, bakal pengetua baharu Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), Encik Abdul Ghani Mohammad Isa, telah beralih daripada sekolah sekular kepada sektor madrasah pada 2017.
Beliau dilantik menjadi Naib Pengetua MAI pada 2023.
Pada 2025 pula, Encik Abdul Ghani, 45 tahun, beralih ke Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai pakar pendidikan untuk tugasan sementara bagi meningkatkan pemahamannya tentang tadbir urus pertubuhan serta operasi sektor.
Peranannya termasuk memberi nasihat mengenai operasi madrasah, pembangunan kurikulum dan semakan bahasa Arab.
Pemindahan strategik sementara di Muis itu telah melengkapkan Encik Abdul Ghani dengan pemahaman menyeluruh tentang visi lebih luas dan rangka kerja operasi Muis, sekali gus meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik untuk kembali kelak ke Madrasah Al-Arabiah sebagai pengetua pada Julai 2026.
Ditanya Berita Harian (BH) tentang perbezaan dalam pengendalian sekolah sekular dengan madrasah, beliau berkata: “Di madrasah, bagi kurikulum akademik, kita mengikut cara sama seperti sekolah sekular.
“Namun, perbezaannya ialah madrasah atau MAI khususnya mempunyai tambahan kurikulum ukhrawi yang merangkumi bahasa Arab, Pengetahuan Agama Islam (IRK) dan Pengajian Al-Quran.”
Sebagai guru Matematik di MAI, Encik Abdul Ghani, mempunyai kecenderungan semula jadi terhadap penggunaan data dan perangkaan.
Justeru dengan kecenderungan itu, beliau terdorong menggunakan perangkaan dan penyelidikan berasas data dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan pendidikan, perancangan kurikulum dan pembangunan profesional guru.
Bagi beliau, ini dapat merapatkan jurang dan cabaran dalam sektor pendidikan madrasah dengan lebih berkesan.
Dengan meletakkan pelajar sebagai tumpuan utama, Encik Abdul Ghani, merancang mendekati pembangunan kurikulum dengan cara yang selaras dengan minat pelajar dalam menguasai pendidikan ukhrawi, apa lagi dengan penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Dengan wujudnya SCIS yang bermatlamat melahirkan asatizah masa depan bagi masyarakat Islam di Singapura, Encik Abdul Ghani, melihat faktor tersebut sebagai pendorong memperkukuh pengajian ukhrawi di MAI.
Beliau berkongsi: “Salah satu matlamat utama saya di MAI adalah memperkukuh kurikulum ukhrawi, khususnya susulan pengumuman mengenai SCIS yang akan dibuka tidak lama lagi.
“Kami mempunyai ramai pelajar yang berbakat dan cemerlang dalam pengajian agama, dan sebahagian daripada mereka berminat meneruskan pendidikan ukhrawi serta menjadi asatizah pada masa hadapan.
“Justeru, SCIS merupakan salah satu laluan yang boleh mereka sasarkan. Oleh itu, kurikulum ukhrawi perlu dipertingkat, khususnya dari segi penguasaan bahasa Arab.”
Bagi mempertingkatkan dan membantu pendidikan pelajar dengan lebih baik, beliau telah merancang untuk menambah tenaga kerja dalam pasukan perancangan kurikulum.
Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkata kededua pengetua baharu Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh penyepaduan setiap madrasah dengan SCIS.
“Ketika Muis terus melabur dalam pembangunan kepimpinan di seluruh madrasah kita, kami berbesar hati melihat peralihan ini berlaku.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Cik Aisha dan Encik Herman atas tahun-tahun dedikasi mereka, dan mengalu-alukan Ustaz Dr Afif Pasuni, dan Encik Abdul Ghani Mohammad Isa, ke dalam peranan baharu mereka.
“Kededuanya berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh penyepaduan setiap madrasah dengan SCIS.
“Bersama-sama, mereka akan membantu melengkapkan lulusan madrasah dalam menyumbang secara bermakna kepada masyarakat Muslim kita dan Singapura,” katanya.

