Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi, Nik Nazmi keluar PKR, Parlimen
Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR, Parlimen
Rafizi, Nik Nazmi keluar PKR, Parlimen
Ahli Parlimen (AP) Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan AP Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan mereka keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa 18 Mei.
Kedua-dua mantan menteri itu juga mengumumkan keputusan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (MUP) satu parti politik kecil yang diasaskan di Pulau Pinang sejak 2016.
Menyifatkan keputusan meninggalkan PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen itu sebagai tindakan ‘kamikaze’ atau nekad yang berbaloi, Datuk Rafizi berkata mereka telah hilang kepercayaan pada parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, terutama sejak pemilihan parti pada Mei 2025, yang didakwanya banyak unsur penipuan.
Menambah, Datuk Rafizi juga berkata beliau dan Nik Nazmi tidak gentar dengan sebarang tindakan daripada PKR, kerana telah mengosongkan kerusi Parlimen untuk keluar parti.
Datuk Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan perkara itu di satu acara khas di Petaling Jaya, Selangor yang dihadiri hampir 2,000 penyokong pada 17 Mei.
Di sidang media menyusuli acara tersebut, Datuk Rafizi berkata mereka akan menghantar surat kepada Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul untuk mengosongkan kerusi parlimen masing-masing supaya langkah mereka ini tidak dilihat sebagai lompat parti.
“Kami menghormati mandat pengundi... kami kosongkan kerusi itu kerana kami telah buat keputusan bermula Selasa (19 Mei) bahawa kami akan menyertai Parti Bersama Malaysia.”
Mengulas lanjut mengenai sebarang tindakan saman oleh PKR atas keputusan dibuat itu, Datuk Rafizi yang juga mantan Timbalan Presiden PKR, berkata saman hanya akan berlaku sekiranya mereka keluar parti tanpa mengosongkan kerusi.
“Saman PKR atau bon yang PKR ada itu ialah kalau kami keluar parti dan masuk parti lain sebagai AP. Sebab sebelum ini tidak ada AP yang sanggup kosongkan kerusi.
“Semua nak jadi AP, tetapi nak tukar parti. Jadi yang kami buat hari ini ialah kami kosongkan kerusi dan mengembalikan mandat itu kepada rakyat.
“Maka apabila kami keluar sebagai anggota PKR pada 19 Mei, sebenarnya itu tidak terikat dengan bon. Sebab itu kami memilih langkah ini (keluar parti dan kosongkan kerusi),” katanya.
Selain kehadiran pengasas dan Presiden MUP, Encik Tan Gin Theam, yang turut melakukan simbolik penyerahan parti itu, beberapa AP PKR lain yang juga penyokong Datuk Rafizi turut hadir.
Antara yang kelihatan ialah AP Subang, Encik Wong Chen; Datuk Bakhtiar Wan Chik (AP Balik Pulau); Cik Rodziah Ismail (AP Ampang); Encik Zahir Hassan (AP Wangsa Maju) dan Encik Lee Chean Chung (AP Petaling Jaya).
Mengenai penyertaan AP lain ke dalam MUP, Datuk Rafizi berkata ia terpulang kepada AP terbabit dan kesanggupan mengosongkan kerusi, selepas beliau dan Nik Nazmi mengambil keputusan drastik itu untuk menyediakan platform serta alternatif buat masyarakat memilih parti yang boleh dipercayai, telus dan tidak bermatlamatkan jawatan.
Datuk Rafizi juga menjelaskan beliau tidak melihat keperluan untuk pilihan raya kecil (PRK) diadakan menyusuli kekosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, namun keputusan bergantung sepenuhnya kepada Speaker Dewan Rakyat, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan peruntukan sedia ada, kekosongan kerusi selepas tempoh tiga tahun lazimnya tidak memerlukan PRK diadakan.
Menurut beliau, dalam keadaan semasa, peruntukan itu tidak sepatutnya terpakai kerana kerajaan masih memiliki majoriti yang kukuh di Dewan Rakyat walaupun tanpa dua kerusi yang dikosongkan.
“Kerana majoriti kerajaan ialah 150 tanpa kami berdua. 150 itu sangat kuat berbanding keperluan 112,” katanya.
Mengenai MUP, Datuk Rafizi menegaskan parti itu yang dipilih beliau dan Nik Nazmi selepas menyaring dan menapis 33 parti politik lain, akan bertanding di semua kerusi yang sesuai pada pilihan raya akan datang.
Datuk Rafizi menegaskan gerakan politik baru beliau dan Nik Nazmi itu tidak akan terikat dengan mana-mana gabungan politik sedia ada, sekali gus memberi kebebasan untuk bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya.
“Saya dan Nik Nazmi juga akan bertanding mempertahankan kerusi pada pilihan raya akan datang atas tiket MUP. Kita akan lawan PKR, Umno, DAP (Parti Tindakan Demokratik) dan mana-mana parti,” katanya.
Datuk Rafizi, mantan Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi, mantan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ini umum meletakkan jawatan daripada Kabinet pada Jun 2025, selepas masing-masing tewas dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden, pada pemilihan parti itu Mei 2025.
Sejak meletak jawatan, Datuk Rafizi lantang mengkritik kepimpinan Datuk Anwar.
Datuk Rafizi baru-baru ini juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($360 juta) ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi, untuk projek semikonduktor dengan syarikat gergasi British, ARM Holdings.
