Topic followed successfully
Go to BHkuNurul Izzah nafi letak jawatan Timbalan Presiden PKR
Nurul Izzah nafi letak jawatan Timbalan Presiden PKR
Kekal komited jalankan amanah yang diberikan, selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi
Nurul Izzah nafi letak jawatan Timbalan Presiden PKR
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletak jawatan dalam parti tersebut.
Menerusi satu kenyataan rasmi, beliau merujuk kepada khabar angin yang tular di media sosial berhubung kedudukannya dalam kepimpinan parti dan menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya saya meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PKR pada malam 30 Mac.
Puteri sulung kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu juga menegaskan bahawa beliau kekal komited untuk menjalankan amanah yang diberikan, selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi.
“Saya kekal komited menjalankan amanah yang diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi. Tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada.
“Tumpuan utama saya kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti,” tambah beliau.
Cik Nurul Izzah turut menggesa orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan spekulasi dan maklumat palsu yang sedang tular, dan menegaskan bahawa segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti.
“Saya menghargai keprihatinan semua pihak, namun saya menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau spekulasi yang berniat jahat,” ujarnya.
Cik Nurul Izzah mengakhiri kenyataan dengan menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti.
Sebelum kenyataan penafian peletakan jawatan itu dibuat oleh Cik Nurul Izzah, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, juga menolak dakwaan itu dan melabelkannya sebagai “berita palsu”.
Cik Nurul Izzah, yang juga mantan Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh (Pulau Pinang), memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 23 Mei 2025, bagi penggal 2025-2028.
Mantan Naib Presiden PKR itu yang memperoleh 9,803 undi telah menewaskan penyandang jawatan ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang hanya meraih 3,866 undi.
Keputusan Cik Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR ketika itu telah mencetuskan rasa kurang senang Datuk Rafizi, sehingga beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 28 Mei, selepas tewas dalam pemilihan parti.
Datuk Rafizi mendakwa keputusan meletak jawatan dalam kerajaan adalah kerana Datuk Anwar sudah hilang kepercayaan terhadap beliau apabila memberi restu untuk Cik Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden.

