Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, menarik perhatian ramai selepas Ahli Parlimen (AP) Pandan itu memaklumkan akan mengumumkan hala tuju politik baharu bersama AP Setiawangsa (Kuala Lumpur), Nik Nazmi Nik Ahmad, pada 17 Mei ini, di Petaling Jaya, Selangor.

Ia adalah pada hari sama Konvensyen PKR 2026 berlangsung di Johor Bahru, yang antara lain, bertujuan menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju PH dalam mendepani cabaran politik semasa.

Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menyampaikan amanat khas kepada perwakilan di konvensyen itu.

Datuk Rafizi, yang baru-baru ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian projek kerajaan bernilai RM1.1 bilion ($360 juta) ketika beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi, berkata pengumuman itu akan dibuat selepas setahun mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor dalam memutuskan hala tuju politik seterusnya.

“Tempoh setahun yang lalu telah memberi ruang kepada kami berdua mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor untuk memutuskan hala tuju politik kami yang seterusnya,” kata mantan Menteri Ekonomi itu dalam hantaran di Facebook pada 13 Mei.

Dalam pada itu, Datuk Rafizi, yang ditemui media Malaysia pada 14 Mei selepas hadir untuk memberi keterangan tambahan dan mengemukakan bukti secara sukarela berkait siasatan terhadapnya oleh SPRM, berkata pengumuman 17 Mei ini adalah luar biasa.

“Yang saya boleh sebutkan hanyalah ia bukan pengumuman biasa-biasa. Kalau setakat pengumuman biasa, saya buat di TikTok sajalah,” katanya sambil enggan mendedahkan apa yang bakal diumumkannya, termasuk jangkaan beliau akan meninggalkan PKR.

Siasatan terhadap Datuk Rafizi bermula selepas terdapat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan antara Kementerian Ekonomi semasa beliau menerajuinya, dengan syarikat ARM Holdings (ARM) dalam perjanjian strategik industri semikonduktor bernilai RM1.1 bilion.

Datuk Rafizi, meletak jawatan Menteri Ekonomi pada Jun 2025, selepas gagal mempertahan jawatan dan tewas di tangan mantan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah, yang juga puteri sulung Datuk Anwar, dalam pemilihan parti pada Mei 2025.

Nik Nazmi juga tewas dalam mempertahankan jawatan Naib Presiden dan meletak jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sejak tidak lagi berada dalam barisan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Datuk Rafizi lantang mengkritik kerajaan, terutama kepimpinan Datuk Anwar, yang dianggapnya gagal menunaikan janji reformasi yang dibuat sebelum berjaya menerajui kerajaan.

Sementara itu, mengulas pengumuman hala tuju politik yang dimaksudkan Datuk Rafizi kepada Berita Harian (BH), penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, berkata kebarangkalian besar wujud kemungkinan beliau akan mengisytiharkan gerakan politik baharu, sekali gus meninggalkan PKR.

Namun, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar itu juga berpandangan tidak mustahil pengumuman yang bakal dibuat bukan berkaitan tindakan keluar parti, sebaliknya sekadar memberi tekanan politik kepada Datuk Anwar supaya lebih peka terhadap isu yang timbul dalam pentadbiran kerajaan ketika ini.

Pada masa sama, beliau berpandangan sebagai wajah politik berpengalaman, Datuk Rafizi sudah tentu memahami implikasi di bawah Akta Anti Lompat Parti yang boleh mengakibatkan beliau hilang kerusi Parlimen, sekiranya pengumuman itu membabitkan penubuhan parti politik baharu dan keluar daripada PKR.

“Untuk bertindak dengan meninggalkan PKR, saya tidak berasa ia merupakan langkah strategik kerana politik Malaysia ini sememangnya sarat dengan perpecahan di atas nama bangsa dan agama,” katanya.

“Sudah tentu pengumuman beliau nanti sudah diperincikan dan jika benar beliau akan meninggalkan PKR dalam waktu terdekat, saya pasti beliau sudah memikirkan implikasi yang bakal berlaku,” ujarnya.